Computer Entertainment Supplier’s Association (CESA) telah mengumumkan pelantikan watak-watak popular Sanrio sebagai duta utama Family Game Park 2026, sebuah zon khas untuk seisi keluarga di Tokyo Game Show (TGS) akan datang.
Sempena sambutan ulang tahun TGS yang ke-30 tahun, zon mesra keluarga ini akan berlangsung selama tiga hari untuk orang awam, bermula dari 19 September hingga 21 September 2026.

Bagi memberi keselesaan kepada keluarga agar tidak bersesak dengan pengunjung di dewan pameran utama, lokasi acara telah dipindahkan ke TKP Tokyo Bay Makuhari Hall di Chiba, yang terletak hanya beberapa langkah sahaja dari dewan utama.
Kemasukan adalah percuma untuk kanak-kanak dan pelajar sekolah menengah rendah (setaraf Tingkatan 3) ke bawah, bersama ibu bapa atau penjaga yang menemani mereka.
Pengunjung boleh masuk melalui laluan khas tanpa perlu beratur di kaunter tiket ekspo utama, namun mereka yang ingin masuk ke dewan pameran utama Makuhari Messe masih perlu membeli tiket masuk TGS yang berasingan.
Sanrio mengambil peluang keemasan untuk memperkenalkan jenama gaming mereka, “Sanrio Games”. Ikon kegemaran ramai seperti Hello Kitty dan Pompompurin akan berganding bahu dengan “Sanapii”, iaitu ketua editor majalah gaming kanak-kanak popular Televi Game Magazine dari Jepun.
Para pengunjung boleh bergambar di sudut foto khas di pintu masuk serta menyaksikan persembahan pentas kolaborasi harian pada jam 11:15 pagi hingga 11:45 pagi. Di pentas ini, watak-watak Sanrio akan muncul bersama maskot dinosaur rasmi CESA, iaitu CESAsaurus.
Selain itu, kanak-kanak yang hadir akan menerima naskhah percuma “Oshigoto BOOK” (Buku Panduan Kerjaya) yang dihiasi watak Sanrio, bagi mendedahkan mereka kepada peluang kerjaya kreatif dalam industri gaming.
Ruang acara dibahagikan kepada dua zon bertema yang menggabungkan elemen bermain dan pembelajaran kreatif.
Di zon bermain “Asobiba!”, pemain cilik berpeluang mencuba 19 game konsol mesra kanak-kanak menerusi sesi test-play. Barisan game ini termasuk Dragon Quest VII Reimagined, Mega Man: Dual Override, dan Tamagotchi Connection: Corner Shop – Order Up! (Nintendo Switch 2 Edition).
Demo game lain yang turut disediakan termasuklah Bluey: Happy Snap, Sanrio Party Land, Super Bomberman Collection, Once Upon a Katamari, eFootball Kick Off!, serta Puyo Puyo Champions.
Sementara itu, zon pembelajaran “Manabiba!” memberi tumpuan kepada bengkel hands-on yang memberi peluang kepada kanak-kanak merasa sendiri proses pembangunan permainan video sebenar.
Kanak-kanak boleh mempelajari asas gubahan muzik digital menggunakan KORG Gadget di konsol Nintendo Switch, atau menyertai bengkel penghasilan muzik anjuran Sony Music Labels. SEGA turut mengadakan sesi coding menggunakan Puyo Puyo untuk mengajar asas logik programming secara langkah demi langkah.
Antara aktiviti menarik lain ialah perlumbaan lukisan 3D Little Planet (di mana lukisan kereta yang diwarnakan di atas kertas akan diimbas dan dijelmakan sebagai kereta lumba 3D di skrin digital) serta mini JAMMM oleh Bufff Inc. (yang membolehkan lakaran atau foto diubah menjadi watak game yang boleh dimainkan).

Sesi meet-and-greet pula akan menampilkan pelbagai watak popular, antaranya Chocobo daripada Final Fantasy, Palico daripada Monster Hunter Wilds: Ascendance, Shirobon daripada Bomberman, Bluey, serta maskot besbol Konami iaitu Powapro-kun.
Pengumpul barangan koleksi pula boleh mengunjungi reruai merchandise rasmi yang dibuka buat pertama kali di Family Game Park, selain mesin gachapon eksklusif yang menawarkan charm akrilik pada harga ¥500 setiap pusingan.
Kanak-kanak juga boleh menyertai stamp rally di seluruh ruang acara untuk menebus pelekat timbul 3D eksklusif, atau mengisi borang kaji selidik ringkas untuk memutar roda cabutan bertuah tradisional “Gara Pon” dengan peluang memenangi salah satu daripada 30 hadiah utama.

Family Game Park akan beroperasi dari jam 9:30 pagi hingga 5:00 petang pada 19 September dan 20 September, manakala 21 September merupakan hari cuti umum di Jepun, ia akan ditutup lebih awal iaitu pada jam 4:00 petang. Pintu masuk mungkin dibuka sehingga 30 minit lebih awal bergantung kepada kepadatan pengunjung pada waktu pagi.
Keluarga yang merancang lawatan boleh melihat jadual penuh dan pelan lantai di laman web rasmi TGS di tgs.cesa.or.jp/jp/fgp.









Discussion about this post