Gamer Santai
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4
No Result
View All Result
Gamer Santai
No Result
View All Result

Reviu Marvel’s Wolverine – Insomniac Games Buktikan Sekali Lagi Kepakaran Mereka Dalam Hidupkan Watak Ikonik Marvel

Razin Syafiq by Razin Syafiq
September 10, 2026
in Action, Artikel, Berita, Game Review, PS5, Review, Single Player
0 0
0
Reviu Marvel’s Wolverine – Insomniac Games Buktikan Sekali Lagi Kepakaran Mereka Dalam Hidupkan Watak Ikonik Marvel
Share on FacebookShare on Twitter

Selepas bertahun-tahun menyempurnakan aksi akrobatik serta latar kota New York dalam Marvel’s Spider-Man, Insomniac Games sekarang membawa kemahiran mereka ke Marvel’s Wolverine. Di sini, tiada lagi gurauan santai atau tembakan web-shooter.

Sebagai game solo Logan pertama selepas lebih 10 tahun, ia menampilkan tema yang ganas, berdarah, dan sangat-sangat peribadi. Akhirnya, kami sebagai pemain dapat menyelami mutan ikonik… Tanpa melengahkan masa, berikut adalah ulasan kami.

Sisi Manusia dan Parut Silam Logan

Marvel’s Wolverine tidak membuang masa memperkenalkan kisah asal-usul adiwira klise. Sebaliknya, naratifnya terus menyelami kisah peribadi Logan serta memori traumatik yang menghantuinya ke mana sahaja dia pergi.

Jalan cerita bergerak pada fasa-fasa berbeza dalam hidup Logan (termasuk masa silamnya yang gelap bersama Team X) secara perlahan-lahan merungkai apa sebenarnya yang berlaku kepadanya dan orang-orang di sekeliling.

Apa yang menyerlah adalah bagaimana naratif ini menyeimbangkan dua sisi Logan yang sangat berbeza. Dalam pertempuran, dia adalah entiti ganas yang menghapuskan musuh tanpa belas kasihan. Namun apabila suasana kembali tenang, game ini menunjukkan sisi dirinya yang “lembut” dan mudah terkesan.

Bab-bab yang lebih tenang ini memberi ruang kepada barisan watak untuk berbual dan berinteraksi, menambah lagi perwatakan Logan dan bukannya menunjukkan seorang lelaki bengis dengan cakar besi.

Secara asasa, bahagian awal permainan membina misteri tentang sejarah Logan, hubungannya dengan individu lain, dan kebenaran di sebalik Team X. Tanpa mendedahkan sebarang spoiler, beberapa jam pertama sudah cukup untuk membuatkan kita terpaut pada jalan cerita.

Walaupun aksi combat yang kejam menjadi tarikan utama, perjalanan emosi Logan juga merupakan antara sebab paling menarik untuk kita menamatkan game ini.

Rentak keseluruhan mengikut formula yang biasa dilihat, tetapi Insomniac pandai mengubah suasana agar tidak terasa membosankan. Kebiasaannya, kita akan meneroka sesuatu kawasan, dicampak ke dalam pertarungan yang huru-hara, kemudian beralih ke cutscene di mana Logan berbincang dengan sekutunya.

Dari situ, pemain kembali meneroka, hadap satu lagi pertarungan berdarah, dan diakhiri dengan pertembungan melawan boss. Walaupun strukturnya agak tradisional, keseimbangan yang konsisten antara babak dan aksi memastikan kita tidak berasa penat atau bosan sepanjang bermain.

Keganasan Tanpa Kompromi

Combat dalam Marvel’s Wolverine terasa pantas, agresif, dan penuh dengan elemen gore tanpa kompromi. Logan direka untuk bertarung rapat dengan musuh, menggunakan serangan cakar, tendangan, parry, dodge, serta gerakan Lunge untuk merapatkan jarak dalam sekelip mata.

Setiap serangan mempunyai impak yang jauh lebih berat berbanding Marvel’s Spider-Man, ditambahkan dengan percikan darah, anggota badan yang terputus, gerakan finisher kejam, dan animasi padu yang membuatkan setiap hayunan terasa seronok.

Mekanik utama kepada gaya lawan agresif ini ialah sistem Rage, yang memberi ganjaran jika kita terus menyerang dan mengekalkan momentum. Namun, anda tidak boleh sekadar “button-mash” untuk menang; mekanik parry dan dodge amat penting, terutamanya apabila berdepan musuh yang lebih liat.

Secara default, tempoh masa untuk melakukan parry terasa agak panjang, tetapi anda boleh melaraskannya dalam menu tetapan atau tidak menggunakan perk bantuan jika mahukan cabaran yang lebih ketat.

Berbanding Spider-Man, asas combat di sini lebih ringkas dan tidak memberi banyak ruang untuk eksperimentasi kombo. Sistem kemajuan memang memperkenalkan skil baharu secara berperingkat, tetapi bahagian gameplay akan sentiasa bergantung kepada serangan melee, pengurusan Rage, dan “Techniques”.

Ini menterjemahkan impian pemain untuk bermain sebagai Wolverine, walaupun tahap kepuasan jangka panjang banyak bergantung pada tahap kesukaran dan variasi musuh yang dihadapi.

Game aksi yang linear kerap berdepan risiko di mana combat menjadi hambar, tetapi perkara itu jarang berlaku dalam game ini. Combat sentiasa berkembang sepanjang kempen dengan pengenalan Techniques yang berterusan dan jenis musuh yang baharu. Awalnya, kita hanya bergantung pada serangan asas, dodge, dan parry.

Namun tidak lama selepas itu, pemain akan membuka Techniques yang membolehkan Logan mencincang musuh dengan pelbagai cara kreatif.

Senarai musuh juga memastikan pemain sentiasa berwaspada. Kita bermula dengan The Reavers, kemudian berhadapan The Hand di Jepun, dan kembali melawan The Reavers yang datang bersama unit robot. Pengenalan abiliti dan ancaman baharu yang konsisten memastikan setiap pertarungan kekal seronok dari awal hingga akhir.

Pertarungan boss, sebaliknya, agak terikat dengan formula standard game aksi. Ia tidaklah mengecewakan, cuma jarang sekali meninggalkan impak yang benar-benar diingati.

Boss gergasi (seperti robot tempur) biasanya memerlukan menyerang bahagian titik kelemahan, mengelak serangan berat, dan diakhiri dengan babak sinematik Quick Time Event (QTE).

Bagi boss bersaiz manusia seperti Lady Deathstrike pula, ia memerlukan rentak berbeza yang memerlukan kita lebih lincah serta bergantung pada ketepatan masa dodge dan parry.

Walaupun game ini menawarkan pelbagai Techniques dengan kesan visual serta animasi yang menarik, tiada insentif dari segi gameplay untuk kita menyusunnya menjadi kombo yang bergaya.

Tanpa sistem penilaian gameplay (ala Devil May Cry), ini bermakna menewaskan musuh secara ringkas dan cekap adalah sama dengan bermain menggunakan kombo unik/kreatif.

Untuk memecahkan rutin combat di atas darat, dua babak kejar-mengejar bermotosikal telah diselitkan. Babak sinematik ini menyuruh kita untuk memandu di celah trafik jalan raya, mengelak halangan, dan menyerang musuh di atas jalan.

Ada masanya, Logan boleh melompat ke atas kenderaan yang sedang bergerak untuk menumbangkan sasaran. Mekaniknya agak asas, tetapi babak ini menambah tenaga sinematik yang diperlukan dan menjadi selingan yang sangat dialu-alukan antara satu fasa ke fasa yang lain.

Finisher dan Serangan Hendap Dari Bayang

Gerakan finisher juga merupakan antara tarikan utama. Didorong oleh pelbagai animasi yang kejam, melihat Logan menghapuskan musuh jarang sekali terasa membosankan.

Lebih menarik lagi, rakan seperjuangan yang berdekatan boleh turut serta dalam aksi tersebut; contoh seperti Jean atau Sabretooth akan melakukan gerakan tag-team finisher yang unik apabila berlawan berhampiran kita.

Sistem stealth pun ringkas tetapi masih memuaskan. Menyelinap di belakang musuh dan menumbangkan mereka dari bayang-bayang terasa seronok kerana kepelbagaian animasi takedown.

Walaupun selepas berkali-kali membersihkan bilik secara senyap, aksi Logan mencakar dan membunuh musuh tanpa membunyikan penggera sentiasa seronok untuk dirasa.

Eksplorasi Bersifat ‘Grounded’

Meskipun Marvel’s Wolverine bukan sebuah game open-world seperti Spider-Man, ia juga tidak mengurung kita di dalam kawasan yang sempit sepanjang masa. Kempen ini kebanyakannya bersifat linear dan dipacu jalan cerita, namun kerap membuka ruang ke kawasan hub yang lebih luas.

Dalam bab di Jepun sebagai contoh, kita diberikan kawasan beberapa blok bandar untuk diteroka, lengkap dengan lorong dan laluan sampingan yang terpisah daripada objektif utama.

Meluangkan masa meneroka kawasan sekeliling memberikan ganjaran yang berguna. Anda boleh mencari botol wiski tersembunyi untuk mendapatkan upgrade point, atau mencari Nightmare Doors yang menawarkan cabaran sampingan, laluan traversal, serta maklumat lanjut tentang kisah silam Logan.

Ini memang tidak setanding skala open world, tetapi kandungan sampingannya cukup untuk membuatkan usaha melencong dari laluan utama terasa berbaloi.

Mekanik pergerakan milik Logan pun terasa lancar. Dia boleh memecut, melompat antara bumbung bangunan, meluru melepasi jurang, serta membenamkan cakarnya pada dinding dan batang pokok untuk memanjat. Dia memang tidak boleh berayun pantas seperti Spider-Man, tetapi dia bergerak lebih laju dan lincah daripada yang dijangkakan.

Animasinya memberikan rasa pergerakan yang terasa “grounded”, serta membuktikan bahawa Insomniac membina mekanik ini khusus untuk Wolverine dan bukannya mengitar semula aset daripada projek terdahulu.

Kelemahan utama eksplorasi adalah kita hampir sentiasa mencari tiga benda yang sama: botol wiski, peti berisi bahan peningkatan armor, dan Nightmare Doors. Barangan ini kebanyakannya diletakkan di tempat yang terlalu mudah dilihat, jadi membuatkan aspek ini kurang mencabar untuk dikesan.

Pada masa yang sama, ada beberapa kawasan sampingan yang nampak menarik tetapi dibiarkan kosong tanpa sebarang isi, lantas menbuat sesetengah segmen eksplorasi terasa seperti peluang yang disia-siakan.

Perlu dinyatakan juga bahawa game ini langsung tidak mengandungi teka-teki. Jika mengharapkan ujian persekitaran atau mini-game untuk mengubah rentak gameplay, anda tidak akan menemuinya dalam game ini.

Cara untuk meneruskan perjalanan sentiasa jelas, bermakna kita tidak perlu berhenti untuk berfikir terlalu lama tentang jalan mana yang perlu dituju.

Nightmare Doors & Trials

Seperti kami jelaskan tadi, pemain akan terjumpa portal yang dipanggil Nightmare Doors. Pintu-pintu ini terletak betul-betul di sepanjang laluan utama, jadi anda tidak perlu risau jika terlepas pandang.

Berinteraksi dengan Nightmare Door juga membuka fungsi Mission Replay, yang sangat penting jika anda mahu berpatah balik untuk mencapai status 100% bagi mengutip Material Crates atau botol wiski yang tertinggal. Pun begitu, sistem ini mempunyai satu kelemahan yang agak menjengkelkan.

Oleh kerana setiap lokasi dikunci pada misi tertentu, anda tidak boleh kembali ke kawasan lama secara bebas melainkan dengan memainkan semula keseluruhan babak dari mula, yang boleh memakan masa agak lama.

Tarikan utama di dalam pintu-pintu ini ialah “Trials”, di mana Logan masuk ke memori silamnya menerusi tiga mod cabaran berbeza:

  • Combat: Penuhi objektif lawan khusus, seperti menewaskan musuh tertentu sebanyak tiga kali.
  • Traversal: Lumba melawan masa di mana anda perlu melakukan gerakan parkour untuk melepasi halangan secepat mungkin.
  • Gauntlet: Mod arena ala roguelite di mana kita melawan gelombang musuh, sambil memilih perk pasif antara setiap pusingan.

Masa penyelesaian yang lebih pantas memberikan ganjaran yang lebih lumayan, termasuk “Adaptations” tambahan untuk membuka lebih banyak perk. Cabaran Gauntlet turut memberi ganjaran berupa komponen kostum eksklusif, membuka sut pakaian yang lebih bergaya dalam game.

Secara keseluruhan, Trials memberi cabaran yang menyeronokkan daripada kempen utama. Cabaran Traversal adalah yang paling memuaskan kerana menguji kemahiran parkour dan pergerakan pemain tanpa dipengaruhi oleh kekuatan Logan.

Sebaliknya, cabaran Combat dan Gauntlet mula “hilang taring” apabila kita sudah membuka Techniques dan Adaptations tahap tinggi. Ini membuatkan dua mod tersebut terlalu mudah untuk ditewaskan walaupun pada tetapan difficulty paling tinggi.

Membina Versi Wolverine Yang Terkuat

Sistem kemajuan disusun dengan kemas dan mudah difahami. Kita tidak perlu mengumpul pelbagai jenis senjata, hanya fokus pada membuka Techniques bagi meluaskan aski gerakan dan lawan Logan.

Pemain boleh melengkapkan sehingga empat “Special Techniques” pada satu-satu masa, yang memberikan fleksibiliti untuk menyesuaikan gaya lawan mengikut keselesaan anda.

Selain gerakan aktif, kita turut perlu menguruskan Adaptations, yang berfungsi sebagai perk pasif. Adaptations meningkatkan pelbagai atribut seperti penjanaan Rage, tempoh parry window, kecekapan stealth, dan keupayaan lawan secara keseluruhan.

Digandingkan dengan mekanik Rage, peningkatan ini membuatkan serangan Logan lebih kuat seiring perkembangan cerita. Apa yang menarik adalah kebanyakan peningkatan ini benar-benar mengubah cara kita berlawan dan bukannya sekadar menaikkan angka statistik semata-mata.

Kita boleh meningkatkannya dengan mengumpul botol wiski dan menyelesaikan cabaran Trials.

Walau bagaimanapun, keseimbangan sistem ini terjejas sekiranya anda seorang pemain yang teliti (a.ka. completionist) yang mahu menyelesaikan segalanya dalam satu pusingan tanpa menyentuh mod New Game+. Adaptations dihadkan pada Level 10 (atau 68/68).

Sebaik sahaja kita mencapai had tersebut, setiap botol wiski atau ganjaran Nightmare Door tambahan menjadi tidak berguna melainkan anda membawanya ke pusingan gameplay yang seterusnya.

Kami mencapai had Level 10 ketika kempen cerita berada pada tahap sekitar 70%, yang serta-merta melenyapkan motivasi kami untuk meneroka baki bab yang tinggal. Jika tidak berniat bermain New Game+, game ini seolah-olah berhenti memberi ganjaran kepada ketelitian pemain jauh sebelum kredit penamat bermula.

Selain itu, ada Material Crates yang membekalkan sumber untuk menghasilkan sut serta Gear… kebanyakannya memerlukan antara 150 hingga 300 bahan bagi setiap satu. Mengumpul Gear bukan hanya untuk tujuan kosmetik. Mencapai aras tertentu akan meningkatkan tahap nyawa maksimum Logan secara kekal, sehingga had maksimum 200%.

Sebaik sahaja had nyawa ini dicapai, bahan tersebut hanya berfungsi untuk membuka sut tambahan. Nasib baiklah perkara ini tidak begitu mengecewakan berbanding had Adaptations, kerana sut yang boleh dibuka memang nampak sangat bergaya.

Lebih 100 Pilihan Kebolehcapaian

Insomniac mempunyai pakej kebolehcapaian yang sangat luar biasa dengan menampilkan lebih 100 tetapan yang boleh diubah suai. Pemain boleh melaraskan hampir setiap aspek gameplay merangkumi sistem combat, susun atur kawalan, grafik, audio, dan bantuan gameplay secara umum.

Secara peribadi, ini adalah antara sistem kebolehcapaian paling menyeluruh yang pernah dihasilkan untuk sebuah game single-player moden.

Antara tetapan utama yang disertakan:

  • Global Game Speed
  • High Contrast Visuals
  • Audio Descriptions
  • Screen Reader
  • Subtitle Customisation
  • Lock-On Assistance
  • Aim Assistance
  • Enemy Health Adjustment
  • Stealth Awareness Adjustment
  • Combat Difficulty Options
  • Visual Comfort Settings
  • Camera Movement Adjustments
  • Strong Haptic Signals
  • Controller Vibration Settings
  • Hold / Toggle Options
  • Simplified Controls
  • Navigation Assistance
  • Traversal Assistance
  • Dynamic Blood Toggle
  • Dismemberment Toggle
  • Adult Language Filter
  • Visual and Audio Cues
    • (…dan banyak lagi)

Satu ciri yang menarik perhatian ialah pilihan untuk mengaktifkan atau mengurangkan paparan darah dan pemotongan anggota badan (dismemberment). Wolverine cukup sinonim dengan keganasan, tetapi pemain yang sensitif terhadap unsur darah melampau boleh mengurangkan tahap ngeri mengikut keselesaan mereka.

Insomniac wajar dipuji dalam aspek ini kerana memberikan kawalan seluas ini untuk membolehkan game tersebut dinikmati oleh kelompok khalayak yang lebih luas.

Visual yang Membawa Identiti Tersendiri

Marvel’s Wolverine tampil dengan visual yang sangat hebat. Cuma ia bukanlah satu lonjakan grafik yang drastik jika dibandingkan dengan game PS5 lain keluaran Insomniac.

Model watak nampak tajam, ekspresi wajah sangat hidup, dan arahan seni yang lebih gelap serta bayang-bayang membina identiti yang berbeza daripada latar terang Marvel’s Spider-Man.

Kualiti animasi pun menjadi bintang utama untuk visual ini. Pergerakan Logan terasa berat, “grounded”, dan ganas. Sudut kamera yang dekat, percikan darah, anggota badan yang terputus, kesan partikel, dan takedown yang kejam memberikan impak yang bertenaga.

Pertarungan berskala besar kadangkala boleh nampak sedikit menjengkelkan apabila pelbagai kesan visual muncul serentak, tetapi apabila ia bergerak, game ini cukup menakjubkan.

Satu sentuhan visual yang kami suka ialah kerosakan fizikal secara real-time. Pakaian Logan akan koyak-rabak ketika bertarung, menunjukkan luka, kecederaan dan kesan cakar pada tubuhnya yang kemudian bercantum semula secara perlahan-lahan berkat kuasa penyembuhannya (healing factor).

Ini pun adalah butiran kecil yang menyerlahkan lagi keperitan setiap pertembungan (apa yang aneh adalah bajunya pun cantum sekali).

Ini mungkin bukanlah game paling mengagumkan dari sudut teknikal PS5, tetapi visual keseluruhan berada di kelas tersendiri. Paling penting, ia mempunyai identiti visual yang unik dan tidak sesekali terasa seperti game Spider-Man yang ditukarkan watak utamanya kepada Logan.

Mengujinya pada konsol PS5 standard, kami meluangkan sebahagian besar masa dalam Fidelity Mode, yang berjalan lancar pada 30 FPS yang konsisten.

Jika anda mengutamakan tindak balas input yang lebih pantas, Performance Mode menaikkan kadar bingkai kepada 60 FPS untuk membuatkan aksi parry dan dodge terasa lebih responsif dengan kompromi visual minimum.

Sentuhan Malaysia Dalam Game

Sebagai gamer dari Asia Tenggara, melihat Malaysia dan Indonesia diwakilkan secara autentik merupakan satu pengalaman yang amat membanggakan. Mereka bukan sekadar meletakkan sebuah lokasi fiksyen dengan rupa bentuk Asia secara umum.

Persekitarannya penuh dengan butiran halus yang mana-mana pemain SEA akan kenal serta-merta.

Contoh paling besar adalah di Madripoor, sebuah bandar fiksyen yang mengambil inspirasi daripada budaya dan kehidupan bandar Asia Tenggara. Melangkah di lorong-lorongnya, pemain akan melihat deretan kedai, seni bina, serta ciri-ciri budaya tempatan.

Orang awam berbual dalam bahasa Melayu dan bukannya bahasa Inggeris, gerai tepi jalan menyajikan sate dan laksa, manakala papan tanda menunjukkan bahasa Melayu, Cina, dan Tamil. Memang kami terasa seperti sebuah bandar di Malaysia, bukannya tiruan kosong.

Pendapat

Marvel’s Wolverine memberikan hampir semua yang diimpikan oleh peminat daripada sebuah game solo Logan. Combatnya pantas, berdarah, dan amat memuaskan, manakala pengenalan berterusan bagi Techniques, variasi musuh, gerakan finisher, dan pembunuhan stealth menghalang aksi daripada menjadi hambar.

Juga sama penting, kempen ini mengambil masa untuk menyajikan kisah yang peribadi dan menyentuh sisi manusia Logan. Ini lebih baik daripada melayannya seperti mesin pembunuh yang mengamuk tanpa hala tuju.

Namun, game ini masih mempunyai beberapa kelemahan. Eksplorasinya agak asas dan jarang memberi ganjaran kepada rasa ingin tahu pemain, pertarungan boss bersandar pada formula aksi yang “selamat”, dan sistem kemajuan mencapai had maksimum terlalu awal bagi pemain yang teliti.

Sistem combat juga tidak menyediakan insentif kombo bagi mereka yang ingin mengasah kemahiran teknikal/kombo.

Walaupun dengan kekurangan tersebut, Marvel’s Wolverine tetap adalah sebuah judul aksi yang sangat menyeronokkan untuk main. Disokong oleh animasi yang luar biasa, visual yang mantap, prestasi yang solid, serta pakej kebolehcapaian yang luas, ia membuktikan bahawa Insomniac Games benar-benar memahami jiwa watak ini.

Mereka tidak mencipta apa-apa yang revolusi dalam game ini, tetapi membawakan sebuah pengalaman Wolverine yang autentik, dan brutal dari mula hingga akhir.

Game ini akan keluar secara eksklusif di PlayStation 5 pada 15 September 2026. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.

The Review

Marvel’s Wolverine

8.5 Score

Menampilkan combat ganas, animasi mantap, dan naratif peribadi yang memanusiakan Logan, Marvel’s Wolverine cemerlang menterjemahkan jiwa sebenar watak tersebutt. Walaupun eksplorasi serta pertarungan boss-nya agak hambar, aksi yang ditawarkan menjadikannya game hebat yang wajib dimainkan.

PROS

  • Combat ganas, padu, dan sentiasa memuaskan sepanjang permainan
  • Pelbagai jenis musuh dan animasi finisher yang kejam
  • Penceritaan matang dan menyelami sisi emosi Logan
  • Kualiti animasi combat dan pergerakan luar biasa
  • Mekanik traversal yang lincah, dan menyeronokkan
  • Pakej kebolehcapaian hebat dengan lebih 100 pilihan tetapan
  • Pilihan sut komik dan rekaan asal yang menarik untuk dibuka

CONS

  • Eksplorasi kurang mendalam dan jarang memberi ganjaran kepada penerokaan luar laluan
  • Pertarungan boss mengikut formula game aksi yang biasa dan mudah dijangka
  • Perkembangan status dan perk mencapai had maksimum terlalu awal dalam playthrough pertama
  • Tiada insentif mekanikal untuk bereksperimen dengan kombo yang bergaya atau berkemahiran tinggi
  • Langsung tiada teka-teki atau aktiviti sampingan yang bermakna untuk mempelbagaikan rentak gameplay

Review Breakdown

  • Rating 0
Tags: Marvel’s Wolverinereviu
ShareTweetSend
Previous Post

Final Fantasy VII Revelation Tiada ‘True Ending,’ Penjelasan Naratif & Gameplay Menurut Pengarah Serta Produser

Next Post

Reviu Two Point Hospital: Full Health Collection – Rawatan  ‘All-in-One’ Untuk Konsol Moden

Razin Syafiq

Razin Syafiq

Dahulu, saya membesar seperti mana-mana kanak riang lain iaitu bersama komik, game, dan anime (Kreko, Utopia, Gempak, cd anime yang dijual kat kedai). Mula-mula, niat nak masuk bidang animasi sebab bersemangat, tapi terus tukar ke bidang game development sewaktu lanjut pelajaran. Entah bagaimana, saya kini berada dalam dunia journalism, dan memang jatuh cinta dengan industri ini. Banyak yang saya belajar, dan banyak yang saya ingin kongsi kepada awak semua di luar sana. Untuk hubungi saya, sila lawat mana-mana halaman media sosial yang diberi. Terima kasih kerana membaca penulisan, dan membenarkan saya berkembang maju. Sehingga kita berjumpa lagi!

Related Posts

Tujuh Game Indie Popular Bakak Keluar Di iPhone & iPad Minggu Ini Termasuk Vampire Crawlers & No Man’s Sky 
iOS

Tujuh Game Indie Popular Bakak Keluar Di iPhone & iPad Minggu Ini Termasuk Vampire Crawlers & No Man’s Sky 

October 12, 2026
Reviu Total War: SHOGUN 2 – Complete Edition – Masa Terbaik Untuk Belajar Tawan Jepun
Review

Reviu Total War: SHOGUN 2 – Complete Edition – Masa Terbaik Untuk Belajar Tawan Jepun

One Piece – Zoro Akhirnya Kuasai Conqueror’s Haki
Manga

One Piece – Zoro Akhirnya Kuasai Conqueror’s Haki

October 12, 2026
Next Post
Reviu Two Point Hospital: Full Health Collection – Rawatan  ‘All-in-One’ Untuk Konsol Moden

Reviu Two Point Hospital: Full Health Collection - Rawatan  ‘All-in-One’ Untuk Konsol Moden

Discussion about this post

Discord Kami

Sertai Discord kami

Facebook Kami

YouTube Kami

Twitter/X Kami

Follow @GamerSantaiMY

Tweet to @GamerSantaiMY

Anime

One Piece – Zoro Akhirnya Kuasai Conqueror’s Haki
Manga

One Piece – Zoro Akhirnya Kuasai Conqueror’s Haki

October 12, 2026
NARUTO × NINKŪ – Sebuah Anime Crossover 4 Episod Dengan Karya Yang Ilhamkan Naruto
Anime

NARUTO × NINKŪ – Sebuah Anime Crossover 4 Episod Dengan Karya Yang Ilhamkan Naruto

October 12, 2026
Masashi Kishimoto Kembali Dengan Manga Baru ‘Naruto: Shadow Rising’
Manga

Masashi Kishimoto Kembali Dengan Manga Baru ‘Naruto: Shadow Rising’

October 12, 2026
Selepas 10 Tahun Di Pasaran China, Game Naruto Mobile Akhirnya Akan Keluar Secara Global
Mobile

Selepas 10 Tahun Di Pasaran China, Game Naruto Mobile Akhirnya Akan Keluar Secara Global

October 12, 2026
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami
  • Privacy & Policy

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd