The Colors Within merupakan karya terbaru daripada Naoko Yamada, seorang pengarah yang cukup dikenali di kalangan peminat animasi Kyoto Animation.
Yamada mula mencipta nama sebagai pengarah melalui K-On! pada tahun 2009, sebelum terus menghasilkan karya-karya memukau seperti Tamako Market, A Silent Voice, dan Liz and the Blue Bird. Selepas meninggalkan Kyoto Animation pada tahun 2020, Yamada menyertai Science SARU dan kini mempersembahkan The Colors Within selepas kejayaan Heike Monogatari dan Garden of Remembrance.
Filem ini telah menerima pengiktirafan antarabangsa apabila merangkul Anugerah Filem Animasi Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Shanghai ke-26 di China. Kini, The Colors Within akan mula ditayangkan di Malaysia pada 21 November 2024 di TGV Cinemas, dibawa oleh Encore Films.
Dengan gabungan Naoko Yamada sebagai pengarah, Reiko Yoshida sebagai penulis skrip, dan Kensuke Ushio sebagai penggubah muzik di bawah bumbung studio animasi Science SARU, apakah yang membuat The Colors Within begitu istimewa?
Warna Menceritakan Peribadi Orang
Cerita ini mengisahkan Totsuko Higurashi, seorang pelajar sekolah menengah yang mempunyai kebolehan unik untuk melihat “warna” orang di sekelilingnya. “Warna” ini, yang menyerupai konsep aura dalam anime shounen, melambangkan tenaga atau suasana hati seseorang.
Namun, dalam The Colors Within, warna-warna tersebut lebih kepada mencerminkan personaliti atau “perasaan” seseorang, seperti kebahagiaan, keterujaan, atau ketenangan.
Kehidupan harian Totsuko berjalan seperti biasa sehingga suatu hari dalam kelas Pendidikan Jasmani. Ketika bermain dodgeball, dia terpukau melihat warna paling indah yang pernah dilihatnya—warna milik Kimi, seorang rakan sekolahnya. Terpesona, Totsuko memutuskan untuk mendekati Kimi dan menjalin persahabatan.
Persahabatan itu membawa mereka membentuk sebuah band bersama Rui, seorang peminat muzik yang mereka temui di sebuah kedai buku. Ketiga-tiga mereka berlatih di sebuah gereja lama, di mana mereka berkongsi minat terhadap muzik dan mengeratkan hubungan mereka.
Filem ini mengingatkan saya kepada karya-karya terdahulu Naoko Yamada seperti K-On! dan Tamako Market. Walaupun ia cuba membawa suasana iyashikei seperti dalam K-On!, pelaksanaannya kurang berjaya dan terasa sedikit hambar.
Antara kelemahan utama filem ini ialah kurangnya pembinaan cerita untuk peristiwa-peristiwa penting, seperti pembentukan kumpulan trio atau kugiran mereka. Dalam satu babak, mereka kelihatan seperti baru sahaja berkenalan, tetapi pada babak seterusnya, mereka sudah bermain bersama dengan keserasian yang hampir sempurna.
Walaupun terdapat momen-momen yang membantu perkembangan watak utama dan menggerakkan cerita, struktur naratif yang tidak teratur membuatkan sukar untuk penonton benar-benar memahami atau terhubung dengan watak-watak.
Namun, kelemahan cerita ini diimbangi oleh kekuatan muzik yang dimainkan oleh band tersebut. Lagu-lagu seperti “Amen, I’m Going Somewhere,” “Walk,” dan “Apology Letter: The True, The Good, The Beautiful” sangat memikat, malah kami memasukkannya ke dalam playlist.
Ketiga-tiga lagu ini, tanpa mendedahkan terlalu banyak, mencerminkan perasaan atau pengalaman yang dilalui oleh watak-watak utama, diterjemahkan melalui muzik.
Walaupun separuh kedua filem ini kurang jelas dari segi arah cerita, bagi peminat genre slice of life, perkara ini tidak asing. Malah, ia menjadi kelebihan kepada filem ini kerana dapat menyerlahkan visualnya.
Meskipun filem ini mungkin tidak memberikan impak emosi yang kuat, ia tetap meninggalkan kesan hangat dan lembut yang membuatkan anda teringat-ingat perasaan itu selepas menontonnya.
Watak-Watak Yang Boleh Difahami
Kita diperkenalkan kepada tiga watak utama: Totsuko Higurashi, Kimi Sakunaga, dan Rui Kagehira. Watak-watak ini mudah difahami oleh penonton kerana mereka menyembunyikan kebenaran daripada orang terdekat demi mengejar minat mereka dan menghadapi cabaran hidup masing-masing.
Walaupun jalan cerita berpusat pada Totsuko, yang memiliki kebolehan untuk melihat “warna” orang lain serta menemui keindahan dalam diri Kimi dan Rui, watak yang benar-benar menonjol dan berkembang sepanjang cerita adalah Rui dan Kimi.
Kedua-dua mereka berjaya meluahkan emosi melalui kecintaan terhadap muzik, walaupun terpaksa berhadapan dengan cabaran dan tentangan daripada ahli keluarga.
Dari segi rekaan watak, filem ini tidak menggunakan gaya seni yang serupa dengan karya Masaaki Yuasa atau produksi biasa dari Science SARU—sesuatu yang menjadi kebimbangan sesetengah peminat selepas Heike Monogatari menampilkan pendekatan sedemikian.
Sebaliknya, gaya seni dalam filem ini lebih selaras dengan apa yang peminat jangkakan daripada karya arahan Naoko Yamada, menawarkan estetika yang lebih halus dan mendalam.
Visual Lembut Ala Pastel
Pertama sekali, visual dalam filem ini benar-benar memukau dan sangat menenangkan untuk dilihat. Filem ini menggunakan palet warna pastel yang lembut, mengingatkan kita kepada A Silent Voice, Liz and the Blue Bird, dan sedikit sebanyak Tanaka-kun Is Always Listless—ringkas, tetapi tetap bergaya. The Colors Within seperti menghidupkan kembali gaya seni khas Naoko Yamada semasa beliau bersama KyoAni.
Salah satu ciri khas Naoko Yamada dalam karyanya adalah penggunaan sudut pandangan kaki untuk menyampaikan emosi watak, dan The Colors Within tidak terkecuali.
Filem ini menggunakan sudut tersebut untuk menggambarkan emosi watak utama, selain memaparkan momen kehidupan harian watak latar sebagai peralihan antara adegan—contohnya, babak watak latar berinteraksi dengan kucing atau pelanggan yang berurusan dengan juruwang.
Selain itu, filem ini kerap menggunakan pandagan statik pada persekitaran atau bangunan kosong ketika watak-watak sedang bercakap, menambah elemen butiran visual.
Tidak dapat dinafikan, visual filem ini merupakan kekuatan utamanya. Dengan penggunaan palet warna yang lembut dan sinematografi yang halus, filem ini benar-benar memanfaatkan tema utama tentang “melihat” warna dan mencari warna diri sendiri.
Walaupun elemen ini sudah dijangka, The Colors Within tetap berjaya melampaui jangkaan awal kami dari segi keindahan visualnya.
Pendapat
Meskipun The Colors Within mungkin tidak setanding dengan karya-karya terdahulu Naoko Yamada, filem ini tetap menghiburkan dan memikat. Ia menyajikan pengalaman visual yang cantik dan menyentuh emosi, mencerminkan gaya penceritaan lembut khas Naoko Yamada.
Walaupun ada kelemahan dari segi tempo naratif dan perkembangan hubungan antara watak, kekuatan filem ini terletak pada kehebatan visualnya, eksplorasi tema ekspresi diri, dan runut bunyi yang penuh perasaan.
Sebagai sebuah karya slice-of-life yang reflektif, filem ini berjaya menyerlahkan keindahan dalam pelaksanaannya, sering kali mengatasi kekurangan dari segi naratif. Ia meninggalkan kesan yang hangat dan mendalam kepada penonton, membuatkan filem ini terus diingati selepas selesai ditonton.
Menonton karya arahan Naoko Yamada sentiasa menjadi pengalaman yang menyenangkan, dan kami yakin pawagam adalah tempat terbaik untuk benar-benar menikmati filem ini.
@gamersantaimy
The Review
The Colors Within
Sebagai sebuah karya slice-of-life yang reflektif, filem ini berjaya menyerlahkan keindahan dalam pelaksanaannya, sering kali mengatasi kekurangan dari segi naratif. Ia meninggalkan kesan yang hangat dan mendalam kepada penonton, membuatkan filem ini terus diingati selepas selesai ditonton.
PROS
- Visual pastel yang memukau, mengingatkan kepada karya Kyoto Animation arahan Naoko Yamada
- Sinematografi ekspresif dengan sudut dan perspektif menarik untuk menyampaikan emosi
- Lagu-lagu tidak dapat dilupakan yang meningkatkan emos penceritaan
- Watak-watak yang melalui perjalanan terhadap minat mereka dan cabaran peribadi yang dapat dirasakan oleh penonton
CONS
- Kekurangan naratif untuk adegan penting, membuatkan cerita terasa tidak tersusun
- Keserasian kugiran terasa tergesa-gesa dan cetek
- Struktur naratif yang tidak kemas menjadikan jalan cerita sukar difahami
Discussion about this post