Gamer Santai
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4
No Result
View All Result
Gamer Santai
No Result
View All Result

Reviu ROG Flow Z13-KJP – Dunia Hideo Kojima Bertemu Kuasa ROG!

Razin Syafiq by Razin Syafiq
March 26, 2026
in Artikel, Berita, Komputer, Laptop, Review, Review Produk, Teknologi
0 0
0
Reviu ROG Flow Z13-KJP – Dunia Hideo Kojima Bertemu Kuasa ROG!
Share on FacebookShare on Twitter

Kalau kita fikirkan tentang laptop yang boleh main game berat tapi masih ringan dan senang dibawa ke mana-mana, tablet mungkin bukan benda pertama yang kita terfikir. Tapi sejak mula-mula diperkenalkan, siri ROG Flow Z13 daripada ASUS sudah pun membuktikan yang tanggapan itu tidak semestinya betul.

Edisi kolaborasi khas ini, ROG Flow Z13-KJP, dibina atas perkakasan yang memang sudah hebat, sambil mengemukakan satu persoalan yang jarang sekali produk kolaborasi lain berani jawab: Apa jadi kalau seorang artis tulen diberi kebebasan kreatif sepenuhnya untuk mereka bentuk sebuah peranti gaming?

Reka Bentuk

Kalau melihat kebanyakan laptop gaming edisi khas, biasanya sekadar tukar warna, tampal logo, dan terus jual. ROG Flow Z13-KJP langsung tidak ikut formula itu.

Reka bentuk luarannya diketuai oleh Yoji Shinkawa, Art Director di Kojima Productions; artis yang gaya visualnya menjadi tulang belakang dunia Metal Gear Solid dan Death Stranding. Penglibatan beliau bukan setakat perjanjian lesen di mana lukisan diserahkan untuk ditiru oleh kilang.

Beliau sendiri yang turun tangan mencipta elemen reka bentuk pada peranti ini. Daripada corak geometri, pemilihan bahan, sehinggalah ke susunan grafik berlapis… semuanya lahir daripada hala tuju kreatif beliau sendiri, bukan tafsiran ASUS terhadap idea orang lain.

Badan peranti ini diperbuat daripada aluminium pejal yang dipahat menggunakan CNC machining, disiapkan dalam warna Decennium Gold, dilengkapi panel carbon fiber dan bukaan pengudaraan yang dipotong secara laser.

Warna ini memang satu kelainan besar buat ROG yang selama ini lebih sinonim dengan hitam, kelabu gelap, dan merah yang garang.

Bila pegang mesin ini, terus perasan yang potongan bersudut tajam di seluruh badannya bukan sekadar corak yang dicetak atau diukir; tetapi adalah alur sebenar yang dipahat terus ke dalam aluminium, diilhamkan daripada perisai sut Ludens.

Bila pencahayaan berubah, potongan-potongan ini menghasilkan bayang yang bergerak-gerak, memberikan kesan tiga dimensi yang mustahil dicapai oleh sebarang kemasan cetakan biasa. Panel carbon fiber pun sama tulennya.

Di bawah cahaya yang datang dari sudut tertentu, tekstur berubah antara menyerap cahaya dan memancarkan kilauan halus bergantung pada arah pandangan kita.

Satu hal berguna dalam penggunaan harian ialah teks-teks kecil di seluruh badan peranti. “Ensure lock is tight” tercetak berhampiran engsel kickstand. “Do not touch lens surface” mengelilingi kamera belakang. “Li polymer battery pack here” ditanda tepat pada kedudukannya.

Sebagai peranti two-in-one yang boleh ditanggalkan, KJP menawarkan sesuatu yang hampir mustahil dicapai oleh mana-mana edisi terhad: setiap cara kita menggunakannya mendedahkan reka bentuk yang lain. Dalam mod tablet, panel belakang berinspirasikan Ludens menjadi tarikan utama.

Pasang keyboard dan kita boleh lihat dari dekat huruf keycap yang direka dengan penuh teliti. Sandarkan pada kickstand dan kontras antara aluminium bermesin dengan carbon fiber pula yang mencuri perhatian.

Pouch ROG × KJP yang turut disertakan melanjutkan lagi ketelitian reka bentuk ini. Bentuknya terinspirasi daripada kontena kargo dalam Death Stranding, dihiasi dengan karya seni lukisan tangan Shinkawa, dan tagline “For Ludens Who Dare” (gabungan moto Kojima Productions “From Sapiens to Ludens” dengan moto ROG “For Those Who Dare”).

Dengan ketebalan lebih kurang 12mm dan berat hanya 1.1kg tanpa keyboard (kira-kira 1.3kg bila keyboard dipasang) Z13-KJP hampir separuh berat berbanding laptop gaming 15 inci biasa, dan kualiti binaannya tetap tidak terjejas.

Kickstand boleh dilaraskan sehingga 170 darjah, sesuai untuk macam-macam kegunaan daripada menyunting video di meja, menandatangani dokumen secara mendatar, sehinggalah bermain game dengan controller.

Kepelbagaian inilah yang selama ini menjadikan siri Z13 lain daripada mesin gaming yang lain, dan secara diam-diam menarik minat ramai pengguna di luar kalangan pemain game tegar.

Keyboard dan Input

Keyboard boleh tanggal generasi ini sudah melalui penambahbaikan yang cukup drastik. Key travel terletak pada sekitar 1.5mm dengan kekunci yang disusun selesa, lantunan yang mantap, dan permukaan yang sedikit bertekstur supaya masih selesa walaupun menaip dalam tempoh yang lama.

Edisi KJP memilih reka bentuk keycap berjenama berbanding lampu latar RGB. Ini adalah keputusan yang sengaja dibuat agar tampilan keyboard seragam dengan keseluruhan peranti tanpa mewujudkan gaya visual yang bercanggah.

Trackpad memang bersaiz kecil tapi responsif, menyokong isyarat berbilang jari dengan permukaan licin yang mengesan gerakan secara tepat. Sistem palm rejection semasa menaip turut berfungsi dengan baik di mana jarang sekali kursor bergerak tanpa sengaja ketika menaip, dan perbezaan ini cukup terasa pada peranti sebesar ini.

Secara keseluruhan, untuk keyboard padat yang boleh ditanggalkan, pengalaman menaip dan navigasinya memang mengatasi standard.

Paparan

Z13 membawa Nebula Display bersaiz 13 inci pada resolusi 2560×1600 dengan refresh rate 180Hz dan response time 3ms. Spesifikasi ini memang canggih apabila dengar, dan skrin ini sama hebat dalam penggunaan sebenar.

Liputan warna mencecah 100% DCI-P3 dengan pengesahan Pantone, memberikan ketepatan warna yang memadai untuk kerja color grading ringan tanpa sebarang penyimpangan. Prestasi HDR turut meyakinkan dengan butiran bayang-bayang terserlah tanpa menghancurkan warna hitam, dan bahagian terang yang terkawal.

Ketika menonton kandungan Dolby Vision, peralihan kontras kelihatan kaya dan selesa ditonton dalam tempoh yang panjang. Untuk skrin bersaiz 13 inci, ini sudah hampir mencapai tahap terbaik yang ada di pasaran ketika ini.

Port dan Sambungan

Walaupun badannya nipis, aspek sambungan tidak dikorbankan. Z13-KJP menyediakan dua port USB4 Type-C dengan pengecasan power delivery dan output DisplayPort 2.1, satu port HDMI 2.1 yang menyokong 4K pada 144Hz, satu port USB-A 3.2 Gen2, slot kad MicroSD UHS-II, dan bicu audio 3.5mm.

Bagi peranti semudah alih ini, pilihan port yang ditawarkan memang cukup lengkap. Cuma dalam amalan sebenar, port USB-A yang hanya satu memang menimbulkan sedikit masalah bila kita perlu sambungkan mouse, keyboard luaran, dan USB lain secara serentak.

Kekangan ini muncul lebih kerap daripada yang dijangka terutama bila digunakan seperti desktop.

Peranti ini juga menyokong dok GPU external XG Mobile daripada ROG, yang membuka laluan kepada prestasi grafik setaraf desktop apabila kita bekerja dari lokasi tetap; mudah alih bila di luar, kuasa penuh bila disambungkan ke dok.

Sambungan tanpa wayar pula menggunakan modul MediaTek Wi-Fi 7 dan Bluetooth 5.4, dan sepanjang tempoh pengujian, prestasinya stabil sama ada untuk pemindahan fail, tonton video, mahupun cloud syncing.

Penyejukan dan Bunyi

Memasukkan pemproses berprestasi tinggi ke dalam badan setebal 12mm memang satu cabaran terma. Z13 menangani hal ini dengan kipas Arc Flow generasi kedua, vapor chamber bersaiz besar, dan liquid metal yang disapukan terus pada CPU.

Gabungan ini mampu mengalirkan haba dengan berkesan walaupun dalam ruang dalaman yang terhad.

Dalam penggunaan sebenar, walaupun di bawah beban berat yang berterusan seperti menjalankan aplikasi besar atau suntingan berat, bunyi kipas rasa terkawal tanpa lonjakan mendadak yang boleh mengganggu keselesaan. Ini sering jadi masalah pada mesin gaming nipis.

Suhu permukaan pun kekal dalam lingkungan yang boleh diterima sepanjang masa. Haba tertumpu kebanyakannya pada panel belakang, manakala kawasan keyboard dan tapak tangan terasa sejuk semasa penggunaan biasa.

Melalui Armoury Crate, kita boleh akses profil kipas Silent, Performance, dan Turbo, jadi senang untuk sesuaikan bunyi dan prestasi mengikut keperluan semasa.

Ujian Prestasi

Unit yang diuji kali ini dilengkapi pemproses AMD Ryzen AI Max+ 395 dengan 16 core dan 32 thread pada clock asas 3 GHz, GPU bersepadu AMD Radeon 8060S, serta 128GB unified shared memory, dan berjalan atas sistem Windows 11 64-bit.

Dalam ujian Cinebench 2026, Ryzen AI Max+ 395 meraih skor multi-core 6,517, skor single-core 467, skor GPU render 12,813, dan nisbah multi-core 13.95x. Skor single-core 467 meletakkannya di peringkat sederhana dalam kalangan pemproses utama masa kini.

Keputusan ini menggambarkan reka bentuk cip yang lebih mengutamakan kecekapan berbanding mengejar kelajuan single-thread yang paling tinggi.

Angka yang lebih penting sebenarnya ialah skor multi-core: 6,517 berserta MP Ratio 13.95x memperlihatkan pemprosesan selari yang sekata merentas kesemua 16 core tanpa sebarang tanda kejatuhan kelajuan di bawah beban berterusan.

Ini adalah satu pencapaian yang benar-benar mengagumkan bila kita ambil kira batasan terma badan yang setipis ini.

Dalam 3DMark Time Spy, skor keseluruhannya ialah 10,197, dengan skor grafik 10,112 dan skor CPU 10,714. Keputusan ini memperoleh penarafan “Good” dan berada sedikit di atas purata 10,010 bagi konfigurasi perkakasan yang serupa.

Data pemantauan menunjukkan kelajuan clock GPU kekal cemerlang antara 4,500 dan 5,000 MHz sepanjang ujian grafik tanpa kejatuhan, dan tingkah laku CPU semasa ujian CPU pula konsisten.

Anggaran 3DMark menunjukkan sekitar 95+ FPS dalam Battlefield V pada tetapan 1440p Ultra.

Dalam PCMark 10, skor keseluruhan yang dicatatkan ialah 9,804, meletakkannya dalam kalangan teratas laptop pengguna bagi ujian produktiviti am. Sub-skor Productivity sebanyak 15,537 adalah kategori terkuat, dengan skor Spreadsheets mencecah 21,265.

Digital Content Creation pula mencatat 15,387, dengan Photo Editing pada 21,864 dan Rendering and Visualization pada 18,465, membuktikan keupayaan yang solid untuk pemprosesan Lightroom dan kerja Blender.

Titik lemah relatifnya ialah Video Editing pada 9,025, yang mencerminkan keterbatasan hardware acceleration Radeon 8060S terhadap format profesional termasuk AV1 dan ProRes.

Sepanjang ujian yang berlangsung kira-kira 22 minit, kelajuan clock CPU kekal konsisten dalam lingkungan 3,500 hingga 4,500 MHz tanpa sebarang kejatuhan berpanjangan yang ketara.

Prestasi Gaming

Semua ujian gaming dilakukan dalam mod Turbo sambil disambungkan ke sumber kuasa, menggunakan resolusi asli peranti iaitu 2560×1600, dengan beberapa game yang menuntut dari segi grafik dan membebankan sistem.

Hasilnya lebih menggalakkan daripada yang dijangka di mana GPU ini pada resolusi asli mampu melepasi jangkaan kebanyakan orang terhadap kategori ini.

Death Stranding 2 sudah tentu membawa makna istimewa pada mesin ini. Pada tetapan Very High (maksimum), frame rate kekal stabil pada 25 hingga 30 fps, dengan adegan statik atau kurang aksi mencecah sekitar 45 fps.

Bila diturunkan ke tetapan High, purata meningkat kepada kira-kira 40 fps; adegan yang lebih ringkas kadangkala melepasi 70 fps, manakala urutan dinamik berada dalam lingkungan 25 hingga 30 fps secara konsisten, tanpa kejatuhan mendadak atau gagap yang boleh mengganggu pengalaman bermain.

Untuk pengalaman yang lancar dan stabil secara menyeluruh, tetapan Medium adalah pilihan paling seimbang, mampu mengekalkan sekitar 50 fps walaupun semasa combat yang sengit.

Where Winds Meet menunjukkan prestasi mengagumkan pada tetapan Ultra, iaitu yang tertinggi tersedia. Senario berbilang pemain memang ada sedikit penurunan frame rate sekali-sekala, tetapi mod single-player berjalan hampir tanpa cacat sepanjang masa.

Perubahan frame rate ketika combat aktif terlalu kecil untuk memberi apa-apa kesan nyata terhadap pengalaman bermain.

Crimson Desert mewakili “beban paling berat” dalam senarai ujian. Pada tetapan Cinematic dan Ultra, frame rate menetap dalam julat 20 hingga 25 fps, yang memang tidak cukup selesa untuk dimainkan. Bila diturunkan ke tetapan High, prestasi naik kepada sekitar 40 fps dengan adegan dinamik kekal melebihi 30 fps.

Pada platform ini, tetapan High adalah pilihan yang paling realistik.

Marathon pula menjadi game yang paling konsisten dalam kumpulan ini. Pada tetapan Highest, frame rate bertahan dengan stabil sekitar 50 fps, menurun hanya sedikit kepada lebih kurang 45 fps semasa combat aktif. Sepanjang sesi, lengkung frame rate agak mendatar.

Secara keseluruhan untuk semua game, Radeon 8060S membuktikan bahawa grafik yang digandingkan dengan kumpulan unified memory yang besar benar-benar mampu menyampaikan pengalaman bermain yang boleh dinikmati pada resolusi tinggi dalam game AAA terkini.

Kelebihan memori 128GB paling terserlah dalam adegan open world dan adegan yang padat dengan aset. Platform ini memang ada hadnya, dan game yang paling menuntut pada tetapan maksimum pasti akan menemui had tersebut.

Namun bagi kebanyakan situasi yang pemain hadapi dalam penggunaan harian, keputusan di sini cukup kuat untuk membina tanggapan yang meyakinkan.

Pendapat

ROG Flow Z13-KJP memang susah nak dimasukkan ke dalam satu kategori sahaja. Ia memang tablet gaming, tapi dari segi reka bentuk, ia lebih dekat kepada barangan koleksi. Ia memang edisi terhad hasil kolaborasi dua jenama, tapi kerjasamanya jauh lebih bermakna berbanding kebanyakan produk seumpamanya.

Dari sudut perkakasan, Ryzen AI Max+ 395 menyampaikan prestasi multi-core dan produktiviti yang setanding dengan laptop berprestasi tinggi konvensional, manakala Radeon 8060S pula berprestasi jauh mengatasi jangkaan.

Keyboard yang boleh ditanggalkan, kickstand 170 darjah, dan rangkaian port yang lengkap menjadikan format two-in-one ini terasa praktikal dan bukannya sekadar kompromi.

Kalau ada kelemahan yang memang perlu diakui, ia adalah prestasi single-core, kekangan terhadap codec video profesional, serta port USB-A tunggal yang boleh menyusahkan dalam konfigurasi desktop yang lebih kompleks.

Sama ada edisi KJP ini berbaloi dengan harga premiumnya berbanding Z13 standard, bergantung sepenuhnya pada sejauh mana kita menghargai reka bentuk sebagai sebahagian daripada nilai keseluruhan. Bagi mereka yang hanya mementingkan prestasi, perkakasannya sama dan model standard sudah memadai tanpa kos tambahan.

Premium yang dibayar untuk edisi KJP ialah alur yang dipahat ke dalam aluminium, tekstur carbon fiber yang tulen, dan arahan bergaya misi di seluruh badan peranti.

Bagi sesiapa yang percaya bahawa peranti yang dibuat dengan baik nilainya melampaui sekadar senarai spesifikasi, ROG Flow Z13-KJP adalah antara segelintir laptop di pasaran sekarang yang sudah membuktikan tempatnya.

Produk ini bernilai RM17,999.00. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.

Tags: reviuROG Flow Z13-KJP
ShareTweetSend
Previous Post

Siri Remake “Harry Potter” Bakal Ditayangkan Disember 2026, Ini Pandangan Pertama!

Next Post

STRANGER THAN HEAVEN – Bawa Pemain Ke 5 Era Sejarah Jepun, Cameo Snoop Dogg, Kaitan Dengan Yakuza?

Razin Syafiq

Razin Syafiq

Dahulu, saya membesar seperti mana-mana kanak riang lain iaitu bersama komik, game, dan anime (Kreko, Utopia, Gempak, cd anime yang dijual kat kedai). Mula-mula, niat nak masuk bidang animasi sebab bersemangat, tapi terus tukar ke bidang game development sewaktu lanjut pelajaran. Entah bagaimana, saya kini berada dalam dunia journalism, dan memang jatuh cinta dengan industri ini. Banyak yang saya belajar, dan banyak yang saya ingin kongsi kepada awak semua di luar sana. Untuk hubungi saya, sila lawat mana-mana halaman media sosial yang diberi. Terima kasih kerana membaca penulisan, dan membenarkan saya berkembang maju. Sehingga kita berjumpa lagi!

Related Posts

Sebelum Segalanya Musnah, Silo Season 3 Membongkarkan Konflik Kuasa & Memori Yang Dipadam
Temuramah

Sebelum Segalanya Musnah, Silo Season 3 Membongkarkan Konflik Kuasa & Memori Yang Dipadam

June 29, 2026
Pokémon Center SINGAPORE Buka Semula 1 Julai 2026; Maskot Solgaleo, Rupa Baharu & Merch Tempatan
Jom Singgah!

Pokémon Center SINGAPORE Buka Semula 1 Julai 2026; Maskot Solgaleo, Rupa Baharu & Merch Tempatan

June 29, 2026
Khabar Angin Hanya Salah Faham, Rockstar Tegas Tidak Akan Keluar CD Fizikal GTA VI
Berita

Khabar Angin Hanya Salah Faham, Rockstar Tegas Tidak Akan Keluar CD Fizikal GTA VI

June 29, 2026
Next Post
STRANGER THAN HEAVEN – Bawa Pemain Ke 5 Era Sejarah Jepun, Cameo Snoop Dogg, Kaitan Dengan Yakuza?

STRANGER THAN HEAVEN - Bawa Pemain Ke 5 Era Sejarah Jepun, Cameo Snoop Dogg, Kaitan Dengan Yakuza?

Discussion about this post

Discord Kami

Sertai Discord kami

Facebook Kami

YouTube Kami

Twitter/X Kami

Follow @GamerSantaiMY

Tweet to @GamerSantaiMY

Anime

TV Tokyo Rancang Beberapa Projek Game Naruto Sempena Ulang Tahun Ke-25, Paling Awal Keluar Tahun 2027!
Anime

TV Tokyo Rancang Beberapa Projek Game Naruto Sempena Ulang Tahun Ke-25, Paling Awal Keluar Tahun 2027!

June 2, 2026
Gintama the Movie: Yoshiwara in Flames Akan Datang Ke GSC, Bersama Fan Screening!
Anime

Gintama the Movie: Yoshiwara in Flames Akan Datang Ke GSC, Bersama Fan Screening!

June 1, 2026
Anime Tomb Raider King Akan Mula Tayangan 8 Julai Ini!
Anime

Anime Tomb Raider King Akan Mula Tayangan 8 Julai Ini!

May 29, 2026
Jam Tangan Ulang Tahun Ke-30 Initial D Dibuka untuk Pra-Tempah di Malaysia!
Anime

Jam Tangan Ulang Tahun Ke-30 Initial D Dibuka untuk Pra-Tempah di Malaysia!

May 28, 2026
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami
  • Privacy & Policy

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd