Kami baru sahaja menguji MSI Cyborg 15 Max, sebuah laptop gaming yang direka untuk mudah dibawa ke mana-mana tanpa mengorbankan kuasa pemprosesan. Dengan berat hanya 2kg, ia memang dibina khas untuk mereka yang mahukan peranti ringan tetapi masih berkuasa tinggi.

Bagi spesifikasi dalaman, laptop ini dijana oleh pemproses 10-core Intel Core 7 240H, GPU NVIDIA RTX 5070 Laptop dengan VRAM 8GB GDDR7, RAM DDR5 16GB (5600MHz), dan SSD NVMe 512GB. Kedua-dua RAM dan storan boleh dinaik taraf pada bila-bila masa, malah ada satu slot M.2 tambahan jika anda memerlukan storan SSD NVMe ekstra.

Peningkatan paling ketara berbanding model terdahulu terletak pada kad grafik dan kapasiti sistem. Komponen laptop biasanya dihadkan kuasa bagi mengawal haba, tetapi rekaan sistem penyejukan baharu membolehkan CPU dan GPU menarik kuasa gabungan sehingga 140W.
Ini memberi ruang luas kepada perkakasan untuk melonjakkan prestasi sambil mengekalkan suhu yang stabil.
Itu sahaja untuk spesifikasi penting, sekarang jom ke ulasan sebenar!
Prestasi Gaming
Untuk menguji prestasi semasa gaming, kami mencuba tiga game: Cyberpunk 2077, Stellar Blade, dan Apex Legends.
Cyberpunk 2077

Bagi Cyberpunk 2077, kami bermain pada resolusi 1080p tetapan High dengan Ray Tracing diaktifkan. Tanpa frame generation, laptop ini memberikan purata frame rate stabil sekitar 80 hingga 85 FPS. Di kawasan padat, frame rate turun ke sekitar 70 FPS, manakala kawasan terbuka yang lapang mampu melonjak sehingga 104 FPS.
Sebaik sahaja 4x Multi Frame Generation diaktifkan, purata frame rate melonjak drastik ke sekitar 180 FPS. Kawasan sesak hanya turun sedikit ke 167 FPS, manakala kawasan terbuka boleh mencecah sehingga 205 FPS. Angka ini agak mengagumkan, tetapi perlu diingatkan bahawa frame generation boleh menambah sedikit input lag.
Dalam Cyberpunk 2077, lag ini tidak berapa ketara, tetapi masih relevan jika anda amat sensitif terhadap kepekaan kawalan.
Stellar Blade

Untuk Stellar Blade, pada tetapan Very High bersama DLSS 4, game mencatatkan purata sekitar 95 FPS semasa aksi biasa dan turun ke kira-kira 70 FPS ketika combat sengit. Apabila Frame Generation dihidupkan, purata FPS naik ke sekitar 170 FPS, manakala combat berat hanya menurunkannya ke sekitar 100 FPS.
Namun, input delay lebih jelas dalam game ini. Memandangkan Stellar Blade banyak bergantung pada respons pantas untuk parry dan dodge, sedikit peningkatan dalam latency sudah cukup untuk mengubah keadaan. Lag ini tidaklah merosakkan pengalaman bermain, tetapi perubahan timing dapat dirasakan.
Jika anda mengutamakan kawalan tepat berbanding visual, lebih baik matikan frame generation untuk game aksi seperti ini.
Apex Legends
Bagi game shooter kompetitif dan pantas seperti Apex Legends, Cyborg 15 Max tiada masalah untuk mengekalkan prestasi tinggi. Ia konsisten di julat 144 FPS (sepadan dengan paparan skrin 144Hz) dan hanya turun ke sekitar 94 FPS semasa team fight yang kucar-kacir.
Keputusan Benchmark

Beralih ke ujian benchmark, laptop ini menunjukkan prestasi yang agak baik secara keseluruhan.
- 3DMark Steel Nomad: GPU mendapatkan skor 2,670. Bagi ujian CPU Profile, ia mencatatkan 7,618 mata untuk Max Threads (yang menunjukkan keupayaannya menjalankan tugasan berat seperti suntingan video dan rendering 3D), serta 5,982 mata untuk 8 Threads, yang mencerminkan beban kerja game moden.
- Cinebench: GPU mencatatkan skor 50,420 mata. Bagi CPU pula, ia merekodkan 3,432 mata dalam ujian Single Core dan 420 mata dalam ujian Single Thread.
Paparan Skrin

Cyborg 15 Max dilengkapi skrin 15.6 inci 144Hz IPS-level dengan liputan warna 100% sRGB.
Sudah semestinya, visual permainan nampak sangat tajam dan menyerlah pada panel. Warna-warni neon dalam Cyberpunk 2077 nampak menawan dan hidup, manakala refresh rate144Hz memang padan dengan keupayaan RTX 5070 bagi game pantas seperti Apex Legends.
Bagi mereka yang terlibat dalam bidang kreatif, liputan 100% sRGB adalah bonus besar. Anda tidak lagi memerlukan monitor lain untuk kerja-kerja foto atau video yang sensitif warna, menjadikannya pilihan serba boleh untuk kerja dan hiburan.
Sistem Penyejukan dan Haba

Satu lagi peningkatan utama berbanding generasi sebelum ialah rekaan baharu sistem penyejukkan.
Cyborg 15 Max sekarang menggunakan dua kipas penyejuk yang 27% lebih besar, bersama tiga heat pipe. Ini membolehkan sistem mengendalikan kuasa gabungan CPU dan GPU sehingga 140W sambil mengekalkan kelajuan kipas pada paras sederhana.
Hasilnya, laptop dapat mengekalkan prestasi tinggi secara berterusan tanpa perlu menurunkan kuasanya secara “throttling” demi mengawal suhu.
Semasa ujian Cyberpunk 2077 pada tetapan High dengan Ray Tracing, GPU beroperasi pada beban penuh tetapi suhunya stabil sekitar 73°C hingga 76°C. Bagi sebuah laptop gaming nipis, ini adalah julat suhu yang cukup mengagumkan bawah bebanan berat.
CPU pula berada bawah beban yang lebih rendah semasa ujian tersebut, tetapi kekal sejuk antara 65°C hingga 69°C.
Jangka Hayat Bateri

Dari segi bateri, prestasinya seiring dengan apa yang biasa dijangkakan daripada sebuah laptop gaming.
Dengan bateri berkapasiti 60Wh, anda boleh mendapatkan beberapa jam untuk kegunaan ringan. Bermain game menggunakan bateri akan menghabiskan kuasanya dengan cepat, memandangkan komponen dalaman boleh menarik kuasa sehingga 140W.
Ia turut didatangkan dengan power adapter 180W, dan inilah pilihan wajib adalah untuk memasang pengecas semasa bermain. Jadi, walaupun jangka hayat bateri bukanlah tarikan utama, itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan bagi laptop pada kelas ini.
Pendapat

Secara keseluruhan, MSI Cyborg 15 Max ialah pilihan yang sangat menarik jika anda mencari laptop gaming ringan tanpa perlu mengorbankan prestasi.
Kita mendapat pemproses Intel Core 7 240H, GPU RTX 5070 Laptop, RAM dan storan yang boleh dinaik taraf, paparan 144Hz 100% sRGB, serta sistem penyejukan baharu yang membolehkan perkakasan digunakan secara optimum.
Ia mampu menjalankan game moden pada 1080p dengan mudah, di samping menawarkan kuasa mencukupi untuk tugasan produktiviti seperti suntingan video dan rendering.
Sudah tentu, tarikan utamanya adalah pada beratnya: keseluruhan mesin ini hanya seberat 2kg. Untuk laptop gaming dengan spesifikasi sebegini, ia memang sangat ringan.

Perkara utama yang perlu dipertimbangkan ialah harganya. Dengan tanda harga RM7,799 di laman web rasmi MSI, Cyborg 15 Max agak mahal… terutamanya memandangkan siri Cyborg sebelum ini dikenali sebagai barisan laptop gaming bajet MSI.
Namun, dengan peningkatan prestasi yang drastik berbanding generasi terdahulu serta perkakasan padu dalam rangka yang ringan, kelebihannya mengatasi harganya.
Jika anda mahukan laptop gaming yang boleh dibawa ke mana-mana tanpa terasa seperti menggalas batu bata, MSI Cyborg 15 Max memang berbaloi untuk dipertimbangkan.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.

![[BIC2026] Visi Jangka Panjang Toei Games Menuju Ke Projek Berskala Besar; Game Kamen Rider/Super Sentai Tidak Terkecuali](https://cdn.gamersantai.com/2026/08/Hiroaki-Nagashima-TOEI_BIC_FI-350x250.jpg)
![[BIC2026] Bukan Isekai Biasa! Bagaimana Creator Chronicles Mengaburkan Dunia Realiti & Maya](https://cdn.gamersantai.com/2026/08/Creator-Chronicles_BIC_FI-350x250.jpg)
![[BIC2026] Usaha Sedekad Mengangkat Game Indie, Itulah Misi Isabella Seo Jungsook](https://cdn.gamersantai.com/2026/08/Isabella-Seo-Jungsook_BIC_FI-350x250.jpg)





Discussion about this post