Gamer Santai
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4
No Result
View All Result
Gamer Santai
No Result
View All Result

Reviu Granblue Fantasy Relink: Endless Ragnarok – Segala Kelemahan Game Asas Dibaiki Untuk Expansion

Razin Syafiq by Razin Syafiq
July 7, 2026
in Action, Artikel, Berita, DLC, DLC berbayar, Game Review, Nintendo Switch 2, PC, PS4, PS5, Review, RPG, Steam
0 0
0
Reviu Granblue Fantasy Relink: Endless Ragnarok – Segala Kelemahan Game Asas Dibaiki Untuk Expansion
Share on FacebookShare on Twitter

Granblue Fantasy: Relink – Endless Ragnarok merupakan sebuah expansion yang hampir tidak direalisasikan. Dua tahun selepas pelancaran game asas, apa yang pada mulanya dirancang sekadar sebagai roadmap untuk kemas kini percuma kecil, akhirnya menjelma menjadi sebuah penambahan kandungan yang sangat besar.

Didorong oleh sokongan luar biasa daripada para pemain, pasukan pembangun memilih untuk memberikan komitmen penuh bagi membawakan kesinambungan hebat yang meluaskan lagi game ini melangkaui had asal.

Berikut adalah ulasan penuh kami.

Ancaman Ragnalia, Syarat Akses & Isu Cerita

Berlatarkan peristiwa selepas True Ending dalam game asas, Endless Ragnarok memperkenalkan ancaman baharu kepada Zegagrande Skydom melalui kemunculan raksasa jenis “Ragnalia”. Pada masa sama, rekahan dimensi misteri mula terbuka di seluruh ruang angkasa.

Portal-portal misteri ini mempunyai kaitan dengan salah satu sistem gameplay baharu terbesar dalam expansion ini, yang akan kami bincangkan sebentar lagi.

Bagi mengakses kempen baharu ini, anda perlu menyelesaikan quest “The Tale of Bahamut’s Rage” terlebih dahulu, yang memerlukan kita menewaskan Proto Bahamut pada tahap kesukaran Proud. Ini bermakna pemain baharu masih mempunyai perjalanan yang jauh sebelum dapat menikmati kandungan utama expansion ini.

Sebaliknya, kebanyakan pemain veteran pasti sudah lama melepasinya, memandangkan Proto Bahamut merupakan salah satu quest yang paling kerap di-farm untuk mendapatkan drop Terminus Weapon.

Dari segi naratif, ceritanya boleh dikatakan memuaskan tetapi bukanlah sesuatu yang luar biasa. Di sebalik beberapa babak menarik, expansion ini tidak menawarkan banyak cutscene yang benar-benar menonjol.

Babak sinematik paling hebat kebanyakannya dikhaskan untuk memperkenalkan watak-watak penting seperti Seofon, Tweyen, Fraux, dan Fediel. Masing-masing memainkan peranan penting dalam jalan cerita, malah ada yang diberikan plot cerita sendiri untuk pemain ikuti.

Malangnya, isu ini menyerlahkan semula salah satu kritikan utama terhadap Relink sejak ia dilancarkan. Endless Ragnarok tidak banyak membantu dalam meningkatkan kualiti jalan cerita agar terasa lebih sinematik. Jika mengharapkan persembahan yang dramatik bertaraf blockbuster, anda mungkin akan kecewa.

Namun, sekiranya tidak kisah dengan pendekatan penceritaan yang lebih ringkas, masih banyak sejarah dunia menarik boleh diterokai.

Di antara quest, plot cerita akan disampaikan dalam bentuk “Memories”. Format ini tidak asing bagi sesiapa yang pernah bermain Fate Episodes sebelum ini, kerana ia menggabungkan naratif suara dengan ilustrasi seni.

Biarpun tidak dipersembahkan menerusi cutscene bajet tinggi, segmen ini menyelami sejarah asal-usul dunia Granblue secara lebih mendalam, termasuklah kisah di sebalik penciptaan Six Dragons. Bagi peminat setia, world-building yang ditawarkan di sini memang sangat menarik.

Selain kempen utama, expansion ini turut menambah baik kempen game asal dengan menambah babak cerita baharu, termasuk babak tambahan pada Prologue serta cutscene khusus untuk watak-watak tertentu dalam Chapter 1.

Memandangkan ramai pemain veteran tidak akan memulakan save file baharu semata-mata untuk melihat babak ini, pihak pembangun membolehkan semua babak baharu ini ditonton terus melalui tab Main Story dalam Lyria’s Journal.

Sistem Summon Parti, Boss Fatebreaker & Gameplay Unik Fraux

Biar kami berterus-terang: jalan cerita bukanlah daya tarikan utama bagi Relink. Game ini sentiasa menyerlah kerana sistem combat berasaskan aksi watak yang sangat lancar, responsif, dan ketagih, disokong pula oleh pertarungan boss yang sangat gah.

Kali ini, Endless Ragnarok meningkatkan lagi skala epik combat tersebut menerusi pengenalan mekanik gameplay baharu serta barisan boss yang perlu kita tewaskan dalam quest bertaraf Fatebreaker.

Sungguhpun asas combat masih mengekalkan formula lama, perubahan terbesar hadir dalam bentuk mekanik Summon. Summon berfungsi seumpama skill watak yang mempunyai cooldown tersendiri, membolehkan kita menyeru sekutu yang kuat semasa bertarung.

Memandangkan Summon ini sangat kuat, pihak pembangun menyeimbangkan mekanik ini dengan mengehadkan penggunaannya kepada empat Summon sahaja bagi setiap pertarungan; atau secara ringkasnya, sekali guna bagi setiap Summon.

Summon yang lebih kuat juga memerlukan kita mengecas penuh Summon Gauge sebelum boleh diaktifkan, untuk memastikan mekanik yang sangat kuat ini kekal seimbang.

Lyria turut mendapat peranan yang menarik semasa Chain Burst. Sebaik sahaja Link Time mencapai 100%, dia boleh mengaktifkan Primal Burst pada penghujung Chain Burst dengan menambah satu lagi serangan penamat yang gah dan menghasilkan damage yang sangat besar.

Ini merupakan tambahan yang sangat menarik, membuatkan salah satu mekanik game yang paling memuaskan terasa lebih berbaloi.

Semua penambahan ini sangat membantu dalam meluaskan strategi pemain, memandangkan quest bertaraf Fatebreaker sangat mencabar. Boss dalam fasa ini mempunyai bar nyawa yang sangat banyak sehingga pertarungan boleh memakan masa yang lama, jadi memiliki lebih banyak pilihan ofensif pastinya amat dialu-alukan.

Di samping kegunaannya yang praktikal, mekanik Summon juga sangat menyeronokkan untuk bereksperimen. Ada begitu banyak Summon untuk dikumpul sehinggakan hampir semua musuh dalam game ini seolah-olah ditukarkan menjadi Summon.

Satu lagi kelebihan utama mekanik Summon adalah ‘trait bonus’ yang disertakan bersama. Ia berfungsi seakan-akan Sigil, tetapi dengan satu kelainan besar: bonus tersebut diaplikasikan oleh seluruh ahli parti anda.

Sebagai contoh, jika salah satu Summon memiliki trait Supplementary Damage yang dinaik taraf sepenuhnya, setiap ahli pasukan akan mendapat manfaat daripada bonus tersebut, walaupun mereka tidak memakai Sigil berkenaan atau belum mencapai tahap maksimum untuk trait tersebut.

Memandangkan kita boleh memakai empat Summon sekali gus, ini bermakna kita boleh membawa empat bonus trait berbentuk ‘universal’ untuk menguatkan pasukan.

Sudah tentu, kita juga tidak boleh lupa tentang enam playable character baharu iaitu Beatrix, Eustace, Maglielle, Gallanza, Fraux, dan Fediel. Setiap daripada mereka menawarkan playstyle dan jenis senjata yang sangat unik, lalu memberikan variasi yang secukupnya untuk pemain mempelajari setiap satu.

Anda boleh merekrut kesemua watak ini pada fasa awal expansion. Namun, Fraux dan Fediel sedikit berbeza kerana mereka terikat secara langsung dengan jalan cerita utama expansion. Malah, game ini menyarankan kita untuk menunggu sehingga tiba masanya dalam Story Quest bagi merekrut mereka secara percuma.

Jika anda memilih untuk memperoleh mereka lebih awal, anda perlu membelanjakan dua keping Crewmate Card (berbanding satu sahaja seperti biasa), di samping berdepan risiko terdedah kepada spoiler jalan cerita.

Daripada barisan watak baharu ini, Fraux adalah watak paling menarik bagi saya. Ini bukan kerana reka bentuk wataknya yang menonjol, tetapi lebih kepada playstyle yang sangat dinamik dan rancak.

Sebagai ‘monk-style fighter’, dia boleh bertukar antara dua stance seperti Narmaya, namun bermain dalam tempo yang lebih pantas berbanding Ghandagoza walaupun memegang peranan yang serupa.

Gameplay Fraux fokus kepada perbuatan menukar stance secara bergilir-gilir untuk mengisi bar indicator khas. Sebaik sahaja bar tersebut penuh, dia boleh mengaktifkan tiga skill serta-merta tanpa sebarang kos cooldown.

Ini memberikan ritma kepada corak permainannya, di mana kita akan sentiasa cuba mengisi bar tersebut secepat mungkin sambil bertukar stance.

Walau bagaimanapun, ini juga menjadikan Fraux sebagai salah satu watak yang paling mencabar untuk mahir. Sebagai fighter jarak dekat, pergerakannya mudah terganggu oleh boss agresif yang kerap melancarkan serangan AoE.

Untuk memanfaatkan kebolehannya sepenuhnya, anda bukan sahaja perlu mengekalkan kombo, malah perlu mahir dodge dan block tepat pada masanya sambil kekal rapat dengan musuh untuk mengekalkan tekanan.

Master Styles, Penggunaan MSP & Senjata Seofon, Tweyen & Sandalphon

Untuk menawarkan lebih banyak variasi playstyle di samping memberi cara baharu untuk kita menguatkan watak, Endless Ragnarok memperkenalkan Master Traits; sebuah sistem kemajuan yang sangat luas untuk diterokai.

Secara am, Master Traits membolehkan kita membuka pelbagai bonus statistik yang dibahagikan kepada tiga “Master Style” yang berbeza. Setiap style hadir dengan Style Rank Perk yang mampu mempengaruhi build watak secara drastik. Semakin banyak pelaburan dalam satu style, semakin banyak bonus pasif yang akan dibuka secara berperingkat.

Mari kita ambil Fraux sebagai contoh sekali lagi. Salah satu Style Rank Perk miliknya memfokuskan kepada menguatkan skill percuma yang diperoleh selepas mengecas penuh bar indicator khasnya. Pada peringkat awal, perk ini hanya meningkatkan Skill Damage biasa.

Namun, apabila mencapai rank yang lebih tinggi, ia berubah menjadi lebih berguna dengan memberikan status ‘invincibility’ semasa dia menggunakan skill percuma berkenaan.

Ini memberikan kelebihan yang sangat besar kerana sesetengah skill Fraux memerlukan dia berdiri kaku seketika, menjadikannya sasaran mudah kepada serangan musuh.

Dengan adanya perk ini, anda tidak perlu lagi bimbang tentang risiko serangan diganggu, sekali gus membolehkan kita bermain dengan lebih agresif setiap kali melancarkan skill percuma tersebut.

Dan harus diingat, itu hanyalah satu Style untuk satu watak sahaja. Memandangkan Fraux masih mempunyai Master Style lain yang mampu mengubah gaya permainannya, anda boleh bayangkan berapa banyak masa yang akan diluangkan untuk meneroka setiap build watak yang ada bagi keseluruhan watak game ini.

Proses membuka Master Traits tahap tinggi memerlukan jumlah MSP yang sangat besar; sumber sama yang digunakan untuk sistem ‘Masteries’.

Memandangkan kebanyakan pemain sudah memaksimumkan Masteries watak masing-masing dalam game asas, sistem baharu ini memberikan tujuan untuk terus mengumpul MSP dalam fasa endgame daripada membiarkannya terkumpul tanpa sebarang kegunaan.

Jika sistem Master Traits masih tidak cukup untuk membuatkan anda terpikat, Endless Ragnarok turut meluaskan perkembangan watak melalui Sigil baharu, termasuk beberapa trait eksklusif yang hanya boleh didapati dengan menaik taraf senjata.

Kali ini, setiap watak mendapat akses kepada lebih banyak senjata, termasuk watak-watak yang menyertai barisan selepas pelancaran game asas seperti Seofon, Tweyen, dan Sandalphon, yang akhirnya menerima Terminus Weapon tersendiri.

Mod Solo Roguelite “The Conflux” & Solusi Grinding Bahan

Memandangkan pelbagai sistem baharu diperkenalkan, anda pasti perlu ‘farming’ material dalam kuantiti yang lebih banyak. Mujurlah pihak pembangun sedar perkara ini, lalu memperkenalkan satu mod solo bercirikan roguelite yang dipanggil “The Conflux” bagi meringankan beban ‘grinding’ tersebut.

Dalam mod ini, setiap sesi permainan (atau “Cycle”) terdiri daripada beberapa fasa yang menggabungkan combat dan mini-game. Sebelum mara ke kawasan seterusnya menerusi sebuah portal, kita diberi kebebasan untuk memilih cabaran dan ganjaran yang ingin disasarkan.

Sepanjang pusingan, kita akan menemui pelbagai buff yang dibahagikan kepada beberapa kategori. Memandangkan kebanyakannya agak bergantung pada situasi, saya biasanya lebih gemar memilih kategori “Destruction” kerana ia menawarkan peningkatan damage yang konsisten.

Namun begitu, kategori lain tidak boleh diabaikan. Contohnya, kategori “Calamity/Salvation” menawarkan antara buff terkuat dalam mod ini, tetapi datang dengan syarat yang berat.

Sebelum menerima bonus yang sangat kuat tersebut, anda perlu menanggung penalti yang kejam terlebih dahulu; sama ada berupa peningkatan statistik yang drastik atau dikenakan status Blight yang mengekalkan paras nyawa pada 1 HP.

Hanya setelah berjaya melepasi beberapa portal lagi, anda akan menerima fasa “salvation”, yang akhirnya memberikan buff berkuasa seperti yang dijanjikan.

Selain menjadi sebuah mod permainan yang menyeronokkan, nilai sebenar The Conflux terletak pada sistem ganjaran. Berbanding memberikan lambakan material secara rawak, ganjaran dikumpulkan mengikut ‘bundle’ berdasarkan tujuannya, memudahkan kita menumpukan perhatian kepada apa yang diperlukan.

Sebagai contoh, anda boleh memilih bundle khusus yang mengandungi semua bahan untuk ‘awaken’ Terminus Weapon, dan game ini akan menyerlahkan watak dalam parti yang senjatanya masih belum dinaik taraf.

Ada juga bundle yang menyediakan Sigil berguna, material berharga yang biasanya sukar didapati seperti Silver Centrum, malah material eksklusif yang sebelum ini memerlukan kita bermain quest Lucilius.

Sekalipun sesetengah ganjaran dihadkan had tuntutannya, ia merupakan alternatif bagus bagi pemain baharu yang menghadapi kesusahan menewaskan Lucilius tetapi masih mahu kemajuan.

Material bukan sahaja dikategorikan dengan kemas mengikut fungsinya, malah jumlah drop yang diberikan juga amat memuaskan, membuatkan setiap sesi terasa sangat berbaloi. Ia menawarkan variasi permainan yang ‘segar’ berbanding terpaksa mengulang quest yang sama berulang-ulang kali.

Satu-satunya perkara yang mengecewakan adalah The Conflux mengehadkan gameplay secara solo sahaja, yang terasa seperti satu kerugian besar memandangkan sebahagian besar elemen menarik Relink tertumpu kepada mod co-op.

Apa yang penting, The Conflux berjaya mengurangkan tekanan grinding material di samping menghargai masa pemain. Grinding untuk material spesifik dalam game asas sering memakan masa yang lama, terutamanya apabila sumber-sumber tersebut bertaburan di beberapa quest berbeza.

Sebaliknya, The Conflux memudahkan keseluruhan proses tersebut tanpa menghilangkan kepuasan dalam menaik taraf kelengkapan kita.

Bagi menjadikan mod ini lebih memuaskan, ia turut membawakan sistem kemajuan kekal dipanggil Resonance. Ia berfungsi hampir serupa dengan sistem Masteries, cuma bezanya setiap naik taraf memerlukan sumber yang dipanggil RP berbanding MSP. Jika mahu membuka lebih banyak bonus Resonance, anda hanya perlu bermain mod ini.

Sokongan Cross-Play, Alternatif Curio Gacha & Kelemahan Isu Kitar Semula

Endless Ragnarok bukan sahaja memfokuskan kepada penambahan kandungan baharu, malah turut membawakan beberapa perubahan quality-of-life (QoL) yang sangat dialu-alukan berdasarkan maklum balas pemain. Ini menunjukkan bahawa pihak pembangun benar-benar mendengar apa yang disuarakan oleh komuniti.

Salah satu penambahbaikan terbesar adalah cara kita mendapatkan Terminus Weapon. Dalam game asas, senjata ini hanya diperoleh sebagai ganjaran rawak daripada Proto Bahamut, yang bermakna tiada sebarang jaminan walaupun berkali-kali mencuba.

Lebih mengecewakan, senjata yang diperoleh pula mungkin untuk watak yang langsung tidak digunakan. Bagi mengatasi masalah ini, Endless Ragnarok membolehkan kita mencipta Terminus Weapon menggunakan material daripada The Conflux atau daripada beberapa quest spesifik, termasuklah Proto Bahamut.

Sekalipun masih perlu mengumpul sumber yang diperlukan, bezanya anda tahu dengan pasti bila akan memperoleh senjata tersebut berbanding bergantung kepada tuah RNG.

Mendapatkan Sigil Supplementary Damage V+ yang menjadi rebutan ramai juga dipermudahkan. Dalam game asas, Sigil ini hanya boleh diperoleh melalui proses penilaian Curio dengan Zathba (umpama sistem gacha), yang menjadikannya salah satu grinding yang paling leceh dalam Relink.

Meskipun meluangkan masa mengumpul lebih seratus kotak Curio untuk dinilai sekaligus, kebarangkalian untuk kita pulang dengan tangan kosong masih sangat tinggi.

Menerusi fasa endgame baharu, Supplementary Damage V+ boleh didapati dengan lebih mudah sebagai ‘first-clear reward’ atau sebagai drop rawak daripada quest bertaraf Chaos. Ini tidaklah bermakna proses penilaian Curio kehilangan nilai, cuma tidak lagi dirasakan sebagai satu-satunya jalan untuk mendapatkan Sigil berharga ini.

Ada banyak lagi perubahan lain, termasuk QoL lebih kecil yang membantu melancarkan keseluruhan pengalaman bermain. Perkara paling penting adalah Endless Ragnarok bukan sekadar melambakkan kandungan baharu, tetapi menunjukkan usaha pembangun dalam menambah baik game secara keseluruhan.

Berbanding memanjangkan fasa endgame, mereka memastikan pemain mempunyai akses yang lebih baik kepada sumber yang diperlukan dengan kemajuan yang lebih selesa.

Di samping itu, pengenalan ciri cross-play merupakan antara ciri terbaik dalam expansion ini. Ia bukan sahaja memudahkan sesi multiplayer, malah membantu memastikan Relink dapat mengekalkan pangkalan pemain yang sihat dan aktif untuk jangka masa lebih lama.

Meskipun begitu, expansion ini tidak lari daripada kekurangan. Salah satu kekecewaan terbesar bagi saya adalah kekerapan game ini menggunakan semula boss daripada game asas.

Relink sudah banyak kitar semula pertarungan untuk quest Maniac dan Proud, jadi melihat Endless Ragnarok meneruskan pendekatan yang sama adalah sesuatu yang agak sedih.

Keadaan ini agak mengelirukan memandangkan pertarungan “ujian” melawan Seofon dan Tweyen direka dengan begitu cemerlang.

Ia meletakkan penanda aras yang terlalu tinggi dan membuatkan kita teruja untuk melihat apa yang ditawarkan seterusnya, hanya untuk sedar bahawa kebanyakan pertarungan berikut terdiri daripada boss yang sudah biasa kita hadapi sebelum ini.

Biarpun hadir dengan mekanik baharu dan menawarkan cabaran yang lebih sengit, sekitar 90% daripada pertarungan tersebut adalah boss yang telah kita tewaskan berulang kali sebelum ini.

Keadaan ini membuatkan keterujaan awal pudar, sehinggalah anda melangkah cukup jauh dalam expansion untuk menghadapi bos baharu yang benar-benar luar biasa seperti The World.

Selain itu, langkah memudahkan cara mendapatkan Terminus Weapon juga dilihat sebagai pedang bermata dua. Walaupun memberikan kelegaan besar buat sebahagian besar pemain, pada masa yang sama ia mengikis nilai eksklusif yang hadir bersama pemilikan senjata tersebut.

Selain pencapaian trofi, tidak banyak ganjaran berprestij yang ada untuk ditonjolkan kepada pemain lain.

Ini sangat berbeza dengan falsafah game browser/mobile Granblue Fantasy yang terkenal dengan sistem grinding yang sangat leceh . Banyak ganjaran terbaiknya memerlukan komitmen main yang sangat tinggi untuk diperoleh, dengan watak Eternal sebagai contoh terbaik.

Proses merekrut seorang sahaja watak Eternal memerlukan usaha yang sangat besar, dan menaik taraf mereka ke tahap 6-Star menambah beberapa lagi lapisan yang memakan masa dan tenaga.

Sangat sedikit daripada falsafah grinding tersebut dikekalkan dalam Relink. Malah watak khas seperti Sandalphon, yang asalnya memerlukan material khusus daripada quest Lucilius untuk direkrut, boleh dibuka sekadar menggunakan Crewmate Card biasa.

Sekalipun pendekatan ini membuatkan game lebih mesra pemain dan mengurangkan grinding yang menjemukan, sebahagian daripada komuniti Granblue sebenarnya menikmati sasaran jangka panjang yang memberi prestij.

Meluangkan masa berbulan-bulan demi mengejar ganjaran eksklusif yang boleh dibanggakan telah lama menjadi identiti siri ini, dan mengekalkan beberapa aspek seperti itu dalam Relink mungkin dapat memberikan jangka hayat permainan yang lebih lama.

Pendapat

Secara keseluruhan, Granblue Fantasy: Relink – Endless Ragnarok merupakan sebuah expansion hebat yang bukan sahaja menambah kandungan baharu, malah turut menangani banyak isu yang dihadapi pemain dalam game asas.

Meskipun aspek cerita masih kurang menyengat dan kerap memunculkan boss lama, sebahagian besar aspek lain adalah satu lonjakan kualiti yang besar.

Mekanik Summon, Master Traits, serta mod The Conflux menjadikan aspek combat dan perkembangan watak lebih mengujakan, sementara penambahbaikan QoL membuktikan keikhlasan pembangun dalam mendengar maklum balas pemain.

Sungguhpun langkah memudahkan ganjaran endgame mungkin bercampur baru di kalangan peminat tegar Granblue yang gemarkan grinding tradisional, tidak boleh dinafikan bahawa perubahan ini mengubah Relink kepada sebuah game yang lebih menyeronokkan untuk majoriti.

Sekiranya ini merupakan expansion besar terakhir untuk Granblue Fantasy: Relink, maka Endless Ragnarok adalah penutup yang sangat cemerlang.

Ia mungkin tidak membaiki setiap kelemahan game asas, tetapi berjaya mengukuhkan segala kekuatan siri ini, lantas menjadikannya cara terbaik untuk menikmati Relink, terutamanya bagi pemain baharu.

Game ini dilancarkan bermula 9 Julai 2026 di Nintendo Switch 2, PlayStation 5, PlayStation 4, dan PC melalui Steam. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.

The Review

Granblue Fantasy: Relink - Endless Ragnarok

9 Score

Meskipun dihantui cerita yang lemah, kamera lock-on yang clunky, dan boss kitar semula, expansion Endless Ragnarok adalah penutup berbaloi buat Granblue Fantasy: Relink menerusi mekanik Summon, Master Traits, mod kurang grinding The Conflux, penambahbaikan QoL, serta ciri cross-play.

PROS

  • Mekanik Summon sangat menyeronokkan dan menambah nilai gah dalam combat
  • Setiap watak baharu yang boleh dimainkan terasa sangat unik dan menarik untuk dipelajari, terutamanya Fraux
  • Master Traits menawarkan sistem kemajuan watak yang membuka ruang bereksperimen yang luas
  • Lebih banyak pilihan untuk menguatkan watak melangkaui had mereka sebelum ini
  • The Conflux ialah alternatif mod roguelite yang sangat menyeronokkan berbanding grinding biasa
  • Pelbagai penambahbaikan QoL bermakna yang menyelesaikan rungutan paling kerap daripada komuniti
  • Ciri cross-play merupakan ciri besar dalam menjamin jangka hayat jangka panjang game ini

CONS

  • Penyampaian dan naratif cerita kekal sebagai aspek paling lemah dalam expansion ini
  • Terlalu bergantung kepada boss kitar semula, terutamanya selepas pertarungan awal yang hebat meletakkan jangkaan terlalu tinggi
  • Fungsi target lock-on masih clunky dan kerap mengundang situasi tidak diingini semasa berlawan
  • Beberapa ganjaran endgame terasa terlalu mudah untuk diperoleh, lalu mengikis nilai prestijnya

Review Breakdown

  • Rating 0
Tags: Granblue Fantasy: Relink - Endless Ragnarokreviu
ShareTweetSend
Previous Post

“Indonesia Pun Boleh Menang Lawan Brazil” – Bagaimana Captain Tsubasa 2: World Fighters Mengubah Gameplay

Razin Syafiq

Razin Syafiq

Dahulu, saya membesar seperti mana-mana kanak riang lain iaitu bersama komik, game, dan anime (Kreko, Utopia, Gempak, cd anime yang dijual kat kedai). Mula-mula, niat nak masuk bidang animasi sebab bersemangat, tapi terus tukar ke bidang game development sewaktu lanjut pelajaran. Entah bagaimana, saya kini berada dalam dunia journalism, dan memang jatuh cinta dengan industri ini. Banyak yang saya belajar, dan banyak yang saya ingin kongsi kepada awak semua di luar sana. Untuk hubungi saya, sila lawat mana-mana halaman media sosial yang diberi. Terima kasih kerana membaca penulisan, dan membenarkan saya berkembang maju. Sehingga kita berjumpa lagi!

Related Posts

“Indonesia Pun Boleh Menang Lawan Brazil” – Bagaimana Captain Tsubasa 2: World Fighters Mengubah Gameplay
Temuramah

“Indonesia Pun Boleh Menang Lawan Brazil” – Bagaimana Captain Tsubasa 2: World Fighters Mengubah Gameplay

July 7, 2026
Previu Captain Tsubasa 2: World Fighters – Lagi Banyak Guna Otak Berbanding ‘Spam’ Butang
Preview

Previu Captain Tsubasa 2: World Fighters – Lagi Banyak Guna Otak Berbanding ‘Spam’ Butang

July 7, 2026
Akaun PlayStation Yang 3 Tahun Tidak Aktif Boleh Dipadam Bersama Semua Game Digital
Berita

Akaun PlayStation Yang 3 Tahun Tidak Aktif Boleh Dipadam Bersama Semua Game Digital

July 7, 2026

Discussion about this post

Discord Kami

Sertai Discord kami

Facebook Kami

YouTube Kami

Twitter/X Kami

Follow @GamerSantaiMY

Tweet to @GamerSantaiMY

Anime

TV Tokyo Rancang Beberapa Projek Game Naruto Sempena Ulang Tahun Ke-25, Paling Awal Keluar Tahun 2027!
Anime

TV Tokyo Rancang Beberapa Projek Game Naruto Sempena Ulang Tahun Ke-25, Paling Awal Keluar Tahun 2027!

June 2, 2026
Gintama the Movie: Yoshiwara in Flames Akan Datang Ke GSC, Bersama Fan Screening!
Anime

Gintama the Movie: Yoshiwara in Flames Akan Datang Ke GSC, Bersama Fan Screening!

June 1, 2026
Anime Tomb Raider King Akan Mula Tayangan 8 Julai Ini!
Anime

Anime Tomb Raider King Akan Mula Tayangan 8 Julai Ini!

May 29, 2026
Jam Tangan Ulang Tahun Ke-30 Initial D Dibuka untuk Pra-Tempah di Malaysia!
Anime

Jam Tangan Ulang Tahun Ke-30 Initial D Dibuka untuk Pra-Tempah di Malaysia!

May 28, 2026
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami
  • Privacy & Policy

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd