Dragon’s Dogma 2 adalah sebuah game yang mudah buat kita habiskan puluhan jam tanpa sedar. Dengan dunianya yang luas, musuh yang susah dijangka, serta kebebasan memilih Vocation, sentiasa ada jalan baharu untuk dilalui atau raksasa yang berbaloi untuk dilawan. Dark Arisen tidak cuba mengubah formula tersebut.
Sebaliknya, ia membawa Arisen dan para Pawn ke tempat yang baharu iaitu Norgan; kawasan berais yang dipenuhi musuh lebih kuat, muka bumi berbahaya, dan banyak sebab untuk terus meneroka.

Expansion ini juga memperkenalkan jalan cerita tentang Fallen Dragon, bersama cara baharu untuk mencari equipment yang lebih baik melalui Relic system. Ia mungkin bukan jenis expansion yang mengubah Dragon’s Dogma 2 secara total.
Namun, selepas meluangkan masa di Norgan dan melihat bagaimana kandungan baharu ini sesuai dengan game sedia ada, perkara itu tidak dirasakan sebagai satu masalah.
Dark Arisen memberi kita satu lagi sebab untuk kembali bermain salah satu action RPG terbaik oleh Capcom, dan yang paling penting, memberi banyak sebab untuk terus meneroka.
Formula dan Gameplay Asal Dragon’s Dogma 2
Dragon’s Dogma 2 ialah sebuah action RPG yang dibina berasaskan konsep pengembaraan berbanding kemudahan. Kita bermain sebagai Arisen, watak terpilih yang jantungnya telah dicuri oleh seekor Dragon, sebelum terlibat dalam konflik lebih besar merebut takhta Vermund.
Walaupun jalan cerita menjadi asas perjalanan, dunianya sendiri yang sering menjadi tarikan utama.

Dunia open world game ini menggalakkan kita berjalan kaki, ditemani Pawn yang sentiasa membawa kita ke penemuan baharu, musuh, jalan pintas, dan tempat menarik di sepanjang jalan. Ketiadaan ciri-ciri mudah yang biasa ada pada game open world lain membuatkan laluan yang biasa dilalui pun susah dijangka.
Perjalanan yang ringkas boleh bertukar menjadi pertarungan melawan Griffin, Ogre, atau sekumpulan raksasa yang kebetulan lalu di depan pemain pada masa yang salah.

Reka bentuk ini turut dibawa ke dalam sistem combat. Setiap Vocation dalam Dragon’s Dogma 2 mempunyai pendekatan berbeza semasa bertarung, manakala musuh besar boleh dipanjat dan diserang secara terus.
Pawn pula melengkapkan sistem ini dengan abiliti dan tingkah laku combat sendiri, menjadikan ‘party composition’ sebagai bahagian penting dalam cara kita mengharungi dunia permainan ini.

Ia sebuah RPG yang lain daripada biasa, sama seperti Dragon’s Dogma pertama. Dragon’s Dogma 2 mengekalkan identiti itu dan tidak cuba mengubah siri ini menjadi sebuah blockbuster open world biasa. Komitmen terhadap idea asalnya inilah yang membuatkan game ini sangat diingati.
Peta Berais Norgan, Buruan Relic, dan Ancaman Fallen Dragon
Penambahan terbesar dalam Dark Arisen ialah Norgan, sebuah kawasan berais di utara dunia asal game ini. Sudah lama ditinggalkan dan dipenuhi sisa-sisa perang lalu, Norgan terasa berbeza daripada kawasan hijau dalam Dragon’s Dogma 2.
Pembangun juga menjadikan kawasan ini jauh lebih berbahaya; cuaca buruk, rupa bumi berbahaya, dan musuh yang lebih liat memaksa kita meneroka dengan lebih berhati-hati.

Norgan bukan sahaja latar tempat baharu untuk deretan quest lain. Ia ada gameplay loop tersendiri iaitu mengumpul ‘Spoils’ dan membawanya pulang untuk dinilai menerusi ‘appraisal’. Spoils ini boleh ditukar menjadi Relic, yang memberikan senjata dan armor kuat dengan peningkatan stats serta abiliti baharu bagi sesetengahnya.
Ini memberi matlamat yang lebih jelas kepada penerokaan, kerana sentiasa ada equipment baharu yang boleh menjadikan ekspedisi yang seterusnya lebih berbaloi.

Sistem ini berfungsi dengan sangat baik kerana ia masuk dengan cara permainan asal Dragon’s Dogma. Kita masih meredah kawasan berbahaya, melawan apa sahaja musuh di depan mata, dan mengikut apa yang menarik perhatian. Bezanya, Norgan memberi ganjaran tambahan jika pemain melencong dari laluan asal.
Kita bukan sahaja membersihkan kem musuh kerana disuruh oleh quest, tetapi kerana mungkin ada barang berguna sedang menanti di dalamnya.

Persekitarannya juga berjaya membuatkan Norgan tidak terasa seperti peta lama yang sekadar di-reskin. Ais boleh dipecahkan untuk dijadikan ‘environmental hazard’, manakala runtuhan salji dan ais jatuh boleh digunakan untuk melawan musuh.
Makhluk baharu seperti Direwolves dan haiwan berbulu tebal gergasi turut memerlukan cara lawan yang berbeza. Ini memberi kawasan ini identiti tersendiri dan tidak mengitar semula musuh daripada base game.

Selain itu, ada ancaman Fallen Dragon. Rupa fizikalnya seperti undead dan tidak mempunyai jantung menjadikannya ancaman yang berbeza daripada naga-naga dalam game asal.
Hubungannya dengan Eir yang misteri menjadi fokus jalan cerita Forsaken Dominion, sekaligus memberi tujuan penceritaan yang lebih kukuh kepada, bukan sebagai tempat baharu untuk diterokai semata-mata.

Paling penting, Norgan mengekalkan rasa seronok yang sama seperti dalam Dragon’s Dogma 2. Anda tidak tahu apa yang bakal ditemui di misi seterusnya. Gabungan penerokaan, combat, dan environmental hazard inilah mencipta saat-saat menarik yang membuatkan kami terfikir, “Macam mana benda itu boleh jadi tadi?”
Tiada Vocation Baharu, Tetapi Sistem Sedia Ada Ditambah Baik

Satu perkara yang cepat kita perasan ialah Dark Arisen tidak cuba merombak semula Dragon’s Dogma 2 dari awal. Tiada Vocation baharu diperkenalkan, dan expansion ini juga tidak merombak sistem asas combat. Sebaliknya, Capcom memberi fokus untuk menambah baik sistem yang sudah ada.
Ini bukanlah perkara buruk. Vocation sedia ada memang antara bahagian paling solid dalam Dragon’s Dogma 2, dan skil baharu dalam expansion ini memberi cara baharu untuk pemain lama bermain.
Daripada memaksa pemain mempelajari kelas baharu sepenuhnya, Dark Arisen membuatkan Vocation lama terasa lebih segar untuk dimainkan semula.

Relic system turut menyumbang kepada perkara ini. Mencari equipment yang lebih kuat bukan perkara baharu dalam RPG, tetapi keperluan meneroka Norgan, mengumpul Spoils, dan memilih barang mana yang berbaloi untuk appraisal membuatkan kemajuan terasa lebih aktif dalam pengembaraan.
Kita terdorong untuk terus pergi lebih jauh kerana upgrade bernilai yang seterusnya mungkin ada di luar laluan sekarang.

Satu lagi penambahan besar ialah Lost Rites. Terdapat 12 cabaran dungeon unik di seluruh dunia asal, masing-masing dengan gaya combat dan penerokaan sendiri. Cabaran ini turut mengandungi equipment milik Arisen terdahulu, memberi alasan kukuh kepada pemain lama untuk kembali ke kawasan yang pernah mereka lawati.
Di sinilah skop Dark Arisen yang lebih terfokus menjadi satu kelebihan. Daripada membebankan pemain dengan terlalu banyak sistem baharu, ia meluaskan bahagian dalam Dragon’s Dogma 2 yang memang sudah bagus.
Norgan memberi kawasan baharu untuk diterokai, Relic system memberi reward loop yang lebih baik untuk penerokaan, skilskil s baharu menyegarkan Vocation lama, dan Lost Rites menambah cabaran combat dalam dunia asal.

Ada juga beberapa penambahan kecil seperti gaya rambut dan tatu baharu, manakala side content di Norgan memberi lebih banyak sebab untuk meneroka selain jalan cerita utama.
Ciri-ciri ini mungkin bukan tarikan utama yang menjual expansion ini, tetapi jika digabungkan, ia membuatkan Dark Arisen terasa seperti sambungan yang bermakna dan bukannya sekadar pek cerita pendek.

Hasilnya ialah sebuah expansion yang faham apa yang membuatkan Dragon’s Dogma 2 istimewa dari awal. Ia tidak perlu membuang sistem sedia ada untuk menjadikannya menarik semula. Kadang-kadang, memberi tempat baharu untuk diteroka dan sebab baharu untuk berlawan sudah mencukupi.
Pendapat
Dragon’s Dogma 2: Dark Arisen adalah tepat seperti apa yang diperlukan oleh game ini. Ia tidak cuba mengubah formula yang ada, dan memang tidak perlu berbuat begitu. Sebaliknya, ia mengambil kekuatan utama Dragon’s Dogma 2 dan membina pengembaraan baharu berdasarkannya.
Norgan ialah penambahan yang sangat baik… kawasan berais, pertembungan musuh berbahaya, dan environmental hazard memberi identiti unik kepada penerokaan.
Relic Expedition Cycle pula memberi sebab yang memuaskan untuk terus pergi jauh ke dalam kawasan ini, manakala skil baharu dan musuh yang mencabar memberi variasi yang cukup supaya Vocation lama kekal seronok dimainkan.

Kekurangan terbesar expansion ini juga agak jelas: pemain yang mahukan perubahan besar atau cara bermain yang betul-betul baharu mungkin merasakan Dark Arisen agak konservatif. Tiada Vocation baharu, dan kebanyakan pengalaman bermain masih bergantung kepada sistem sama dalam base game.
Beberapa penambahan kecil, seperti pilihan character customization, juga lebih bersifat sampingan daripada terasa seperti satu expansion besar.

Namun itu tidak mengurangkan apa yang berjaya dicapai oleh Dark Arisen. Dragon’s Dogma 2 sememangnya sebuah RPG di mana perjalanan itu sendiri lebih diingati daripada destinasi, dan expansion ini memberi tempat baharu yang hebat untuk perjalanan tersebut diteruskan.
Tidak banyak game yang mampu memberi rasa seronok keluar mengembara bersama Pawn dan melihat ke mana arah laluan membawa kita sebaik Dragon’s Dogma 2. Dark Arisen memahami perkara ini lebih baik daripada kebanyakan expansion lain, dan penambahannya menjadikan pengembaraan yang sudah menarik ini lebih berbaloi.

Expansion ini akan datang bermula 9 Oktober 2026 di PlayStation 5, Xbox Series X|S, PC (melalui Steam), dan Nintendo Switch 2. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.
The Review
Dragon’s Dogma 2: Dark Arisen
Dragon’s Dogma 2: Dark Arisen bawa kita meneroka kawasan berais baru iaitu Norgan, lengkap dengan sistem buruan Relic, skill baharu untuk Vocation sedia ada, dan 12 cabaran dungeon Lost Rites. Walaupun tiada Vocation baharu atau rombakan besar pada sistem combat, expansion ini masih cemerlang kerana berjaya mengukuhkan kekuatan utama game asal tanpa merosakkan formulanya.
PROS
- Norgan ialah kawasan baharu yang cukup besar dan mempunyai identiti tersendiri
- Proses appraisal untuk Relic memberi gameplay loop baharu yang memuaskan untuk penerokaan
- Skill baharu membuatkan Vocation lama berbaloi untuk dimainkan semula
- Musuh baharu dan interaksi persekitaran yang sangat baik
- Ancaman baharu yang susah dilupakan
- 12 Lost Rites menambah cabaran berbaloi ke dalam dunia asal
- Masih mengekalkan rasa pengembaraan dan penerokaan hebat daripada Dragon's Dogma 2
CONS
- Tiada Vocation baharu atau rombakan besar pada sistem combat
- Beberapa penambahan terasa agak kecil berbanding skala Norgan itu sendiri









Discussion about this post