SEGA dan Sonic Team akan mengadakan acara rasmi SONIC 35th Official Fan Meeting Tour di Kuala Lumpur pada hari Sabtu, 7 November 2026. Acara ini diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-35 francais Sonic, dan memberi peluang kepada peminat untuk berjumpa dengan pencipta di sebalik game ini. Masuk adalah percuma.
Tarikan utama acara ini ialah kehadiran dua orang penting daripada Sonic Team: Pengarah Kreatif Kazuyuki Hoshino, individu yang mereka bentuk rupa dan gaya visual Sonic selama ini, serta Pengarah Audio Tomoya Ohtani, komposer yang mencipta lagu dan runut bunyi popular untuk game seperti Sonic Unleashed, Sonic Colors, dan Sonic Frontiers.
Pada sebelah petang, kedua-dua tetamu ini akan naik ke pentas untuk sesi bual bicara, di mana mereka akan mengimbas semula sejarah dan proses pembikinan pelbagai game klasik Sonic. Selain itu, pengunjung boleh menyertai sesi tandatangan autograf, sesi cabutan bertuah dengan hadiah menarik, serta menikmati makanan ringan secara percuma. Acara ini akan dikendalikan dalam bahasa Inggeris. Pintu akan dibuka pada jam 12:00 tengah hari dan aktiviti pentas berlangsung dari jam 1:00 petang hingga 6:30 petang.

Oleh kerana ruang acara di Kuala Lumpur adalah terhad, pemilihan peserta akan dibuat melalui sistem cabutan, bukan siapa cepat dia dapat. Acara ini terbuka kepada penduduk di Malaysia sahaja, dan setiap orang hanya boleh hantar satu permohonan. Peserta yang berumur bawah 18 tahun juga boleh hadir, tetapi mesti mendapat kebenaran daripada ibu bapa atau penjaga yang sah.
Peminat yang berminat boleh mendaftar selewat-lewatnya pada hari Khamis, 15 Oktober 2026, jam 11:59 malam melalui Borang Pendaftaran Google rasmi.
Anda tidak akan menerima e-mel pengesahan serta-merta selepas menghantar borang. Sebaliknya, SEGA akan menghantar e-mel secara berperingkat kepada peserta yang terpilih bermula hari Jumaat, 16 Oktober 2026, bersama maklumat lokasi sebenar acara. Pihak penganjur juga akan memaklumkan status pemilihan peserta melalui saluran rasmi Sonic the Hedgehog.









Discussion about this post