The Outer Worlds oleh Obsidian Entertainment adalah sci-fi RPG yang terkenal kerana naratifnya yang gila dan mendalam. Siapa sangka yang ia akan menjadi lebih gila apabila DLC kedua menawarkan lebih banyak misi, syarikat yang lebih berkorupsi, dan lokasi lain yang lebih menarik untuk diterokai! Diberi nama The Outer Worlds: Murder on Eridanos, DLC ini tidak menambah apa-apa kandungan post-game atau rakan kru tambahan, tetapi untuk review Murder on Eridanos ini, saya akan menjelaskan beberapa perkara penting yang wajar anda tahu!
Saya diberi kesempatan untuk cuba expansion terbaru ini sebelum pelancaran rasminya dan walaupun ia sangat berbeza dengan DLC pertama, Murder on Eridanos adalah sebuah pengalaman yang saya nikmati dari awal hingga akhir (dalam cara yang benar-benar pelik). Mari kita mulakan ulasan ini!
Naratif ala-ala misteri Noir
Dalam The Outer Worlds, pemain akan terjaga dari hibernasi di dalam kapal koloni yang sesat dalam perjalanan ke pinggir galaksi, di mana kita memegang peranan sebagai kapten untuk kapal terkenal, The Unreliable. Semasa merentasi koloni Halcyon yang dimiliki oleh korporat-korporat jahat, anda mendapati bahawa ia jatuh kepada kita untuk menyelamatkan atau menjatuhkan sistem. Di sini, anda harus menentukan sama ada ingin menjadi hero, orang jahat, atau orang gila yang tidak ada hala tuju.
Dalam DLC Murder on Eridanos, kita masih akan mengawal naratif, tetapi sekarang, pemain mesti membongkarkan siapa yang membunuh pelakon terkenal, Halcyon Helen di mana plot DLC ini mengambil sedikit inspirasi dari tema noir detektif dari tahun 1950-an tetapi berlangsung pada bandar futuristik di masa depan.
Seperti yang saya sebutkan di atas, kita harus menyelesaikan misteri ini… tetapi bagaimana? Anda perlu menyoal siasat setiap saksi, belajar tentang alibi mereka, dan berdebat siapa yang anda rasa bertanggungjawab untuk pembunuhan tersebut. Ini juga membawa kepada beberapa penamat yang menghiburkan kerana ia terserah kepada anda untuk memutuskan apa yang perlu dilakukan.
Adakah kita menuduh suspek yang tidak bersalah dengan sengaja? Adakah kita akan menutup kes ini walaupun kekurangan bukti? Bagaimana orang lain akan bertindak balas? Apa yang akan berlaku jika anda cuba meyakinkan orang bahawa ANDA lah yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan itu? Ya, itu boleh jadi!
Terokai Eridanos yang penuh rahsia
Seperti yang ditunjukkan pada peta Sistem Halcyon, DLC ini berlangsung di Eridanos, sebuah kota raya terapung yang sebelum ini tidak dapat diakses dan merupakan pusat penyulingan minuman dan bahan bakar roket. Ia menampilkan sejumlah bangunan dan landskap mewah, tetapi juga menyembunyikan beberapa rahsia gelap, seperti cara buah Rizzo dihasilkan hingga ke cara sesebuah korporasi itu beroperasi. Tidak ada lokasi lain di The Outer Worlds yang cantik seperti Eridanos, dan saya sendiri pun terkejut apa melihat diri dibawa dari ladang bunga yang luas ke kawasan yang penuh dengan pencakar langit tinggi.
Semasa tiba di Eridanos, pemain akan menginap di hotel mewah yang dimiliki oleh Sublight Corporation yang sangat-sangat berkorupsi. Hotel ini akan berfungsi sebagai kediaman baru untuk anda dan rakan-rakan. Di sini jugalah tempat kita akan banyak berfikir kerana ia dilengkapi dengan papan penyiasatan di mana pemain dapat menambahkan bukti baru dan mencari kebenaran di sebalik setiap misteri.
Seperti DLC The Outer Worlds: Peril on Gorgon, pemain tidak akan dapat mencuba kisah Murder On Eridanos sebaik sahaja mereka memulakan permainan. Kandungan baru ini tidak boleh dimainkan sehingga pemain mencapai level 30, dan mereka mesti membuka akses ke kawasan pendaratan Stellar Bay. Namun, setelah menepati semua syarat itu, maka bolehlah kita berseronok!
Senjata baru & interaksi yang lebih realistik antara krew
Pemain yang melawat Eridanos boleh menemui barang baru seperti senjata dan baju besi, termasuk tiga Science Weapon unik yang direka khusus untuk DLC ini. Di samping itu, DLC ini juga akan meningkatkan level maksimum sebanyak 5 untuk pemain dan menawarkan beberapa “Perk” dan “Flaw” baru untuk kita perolehi.
Perubahan terbesar untuk gameplay Outer Worlds dalam review Murder On Eridanos ini adalah pengenalan Discrepancy Amplifier, sebuah peranti yang mempunyai fungsi pengimbas, boleh menjadi pemandu arah, dan sebagai senjata pilihan terakhir. Memang all-in-one! Biar saya jelaskan. Discrepancy Amplifier bertindak dalam mod “Detective Vision” dan membolehkan pemain mengesan tapak kaki, petunjuk, dan kesan darah yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Ini sangat berguna untuk memudahkan gameplay, supaya orang bodoh macam saya pun boleh menyelesaikan pembunuhan ini.
Selain itu, salah satu perkara yang saya tahu ramai peminat mintak adalah supaya lebih banyak peluang diadakan untuk rakan AI membimbing kita melalui fitur interaksi dalam permainan dengan NPC. Pihak pemaju mendengar permintaan ini, dan menambah banyak interaksi menarik yang hanya dapat dilihat oleh pemain jika mereka membawa rakan tertentu dari krew. Sekiranya anda mahukan pengalaman paling gempak? Bawalah Parvati dan Felix kerana interaksi dan komunikasi antara dua watak ini membuatkan keseluruhan pengalaman saya lebih seronok dan kelakar.
Saya dapat merasakan usaha pasukan yang bekerja keras untuk memantapkan lagi jalan cerita dengan menggabungkan komunikasi yang menarik dengan elemen gameplay yang sengit. Ini adalah supaya pemain dapat merasa seperti diri mereka sendiri berada di dalam dunia The Outer Worlds, dan ternyata mereka berjaya.
Selain dari perkara di atas, tidak banyak yang berubah secara mekanikal dari permainan asas berbanding Murder on Eridanos. Sistem pertempuran masih sama, dan jika anda sudah mahir tentang cara-cara mekanik ini berfungsi, maka anda seharusnya tidak akan menghadapi banyak masalah untuk expansion ini. Pada masa yang sama, terdapat banyak NPC unik untuk kita bertemu dan berbual serta banyak misi sampingan baru, di mana semuanya menawarkan daya tarikan yang sama seperti versi asli pada tahun 2019.
Pendapat
Dari reka bentuk watak hingga ke jalan cerita, Murder on Eridanos menghebatkan lagi beberapa “kekurangan” yang ada di permainan asas. Sehingga penamatnya, ia sentiasa kekal sebagai sebuah misteri sepanjang masa, dan berjaya berpegang teguh pada tema estetika The Outer Worlds serta memberikan kesimpulan yang saya rasa sesuai untuk game ini.
Murder on Eridanos tidaklah mengubah formula The Outer Worlds secara besar-besaran, dan bagi sesiapa yang tidak kagum dengan permainan asas, mungkin akan merasa perkara yang sama untuk Murder on Eridanos. Tetapi bagi pemain yang masih ingin meneruskan pengembaraan mereka di atas kapal “The Unreliable“, anda akhirnya boleh dapatkan DLC kedua dan terakhir ini dan mula menyelesaikan misteri kepada sebuah pembunuhan yang menarik.
Itu sahaja untuk review Murder On Eridanos DLC. Ia akan dilancarkan secara rasmi hari ini untuk PlayStation, Xbox, PC, dan Nintendo Switch dan untuk maklumat lebih lanjut tentang The Outer Worlds, sila lihat segala liputan lama kami di sini. Sehingga kita berjumpa lagi, selamat ber-gaming!
Gameplay

@gamersantaimy
Discussion about this post