The Super Mario Bros. Movie by Universal Pictures, Illumination dan Nintendo mengalami produksi yang lama dan penuh cabaran. Asalnya diumumkan pada 2018, ramai orang tidak yakin sama ada penampilan debut Mario di layar perak dapat memberi justifikasi kepada kemasyhuran sebagai ikon gaming.
Namun, selepas tayangan filem ini pada beberapa minggu lepas, kita akhirnya mempunyai jawapan. Saya sudah menonton dan ternyata, ia tidak menggagalkan jangkaan orang ramai; sebaliknya Super Mario Bros. Movie adalah filem yang cukup menyeronokkan dengan banyak nilai-nilai bagus.
Ingin tahu lebih lanjut? Teruskan membaca review saya tentang Super Mario Bros. Movie.
Jalan cerita simple tapi kuat bermain nostalgia
Kita mulakan dengan sinopsis cerita dahulu.
Mario (Chris Pratt) dan adiknya yang pemalu, Luigi (Charlie Day) telah memulakan bisnes ‘tukang paip’ sendiri (lengkap dengan iklan TV) di Brooklyn, New York. Malangnya, keadaan tidak memihak kepada mereka dan bisnes mereka tiada untung. Seluruh keluarga Mario (kecuali ibunya) mengelakkan aspirasi dan cita-cita Mario yang bertungkus lumus berusaha untuk membuktikan mereka salah.
Selepas menyiasat sebuah pembetung misteri, kedua-duanya disedut ke dalam alam semesta alternatif di mana Mario tiba di Mushroom Kingdom yang dihuni oleh Toads yang comel manakala Luigi sesa di Dark Lands, yang diperintah oleh King of the Koopas, Bowser (Jack Black).
Mario mahu menyelamatkan adiknya, lalu dibantu oleh Toad (Keegan-Michael Key). Mereka bertemu dengan Princess Peach (Anya Taylor-Joy), yang memerintah penduduk Mushroom Kingdom, dan kemudian bekerjasama dengan Donkey Kong (Seth Rogen) untuk menyelamatkan dunia daripada pemerintahan kejam Bowser.
Simple kan? Plotnya memang mudah untuk faham dan mengikut game. Tiada apa yang berbeza atau rumit.
Apa yang saya suka tentang filem ini -sebagai seorang yang membesar dengan game Mario- adalah ia penuh dengan easter egg dan rujukan yang memerlukan peminat untuk menonton dua atau tiga kali lagi bagi menangkap/memahami semua. Peminat tegar Mario pasti bersemangat kerana hampir setiap babak dalam filem penuh dengan tribut kepada legasi gaming mereka. Itulah highlight utama saya bagi filem ini dan jelas pihak produksi hanya menumpukan perhatian pada perkara tersebut sehingga terpaksa mengabaikan hal lain.
Saya pun tidak menyalahkan mereka kerana Super Mario Bros. Movie adalah filem yang dipasarkan untuk kanak-kanak dan peminat lama. Kisahnya tidak begitu kompleks dan sangat tipikal di mana Mario terpaksa mengembara dari satu dunia ke dunia lain untuk menyelamatkan dunia. Walaupun begitu; jika anda tidak begitu mengenali francais Mario, itu tidak mengapa. Anda tidak perlu bermain game itu semasa kecil untuk menikmati filem ini.
Disebabkan itu, produksi terpaksa bergantung pada elemen-elemen lain untuk membuatkan kita terhibur seperti menggandakan usaha animasi, memastikan aksi yang berlaku di paparan sentiasa menarik, muzik, lakonan suara dan lain-lain. Majoriti unsur-unsur ini melakukan tugas yang baik untuk memastikan mata saya sentiasa sibuk sepanjang tempoh tayangan, tetapi itu tidak dapat menampung kekurangan pada jalan cerita.
Satu lagi kekurangan adalah isu pacing pada jalan cerita. Banyak watak ikonik akan muncul selang beberapa minit, dan sudah tentu ia mustahil untuk menceritakan latar belakang semua orang dalam tempoh kurang dua jam. Ini bermakna banyak penjelasan dan hal-hal lain perlu diketepikan untuk menampung skrip yang bergerak pantas.
Banyak kali dalam filem ini, watak-watak akan bertemu antara satu sama lain, mempunyai konflik besar, dan tiba-tiba terus bergerak ke naratif seterusnya. Satu contoh saya boleh beri adalah hubungan antara Mario dan Donkey Kong, yang sepatutnya boleh menjadi lebih dinamik tetapi terpaksa diabaikan demi jalan cerita (sedangkan hubungan merekalah yang saya rasa paling menarik sekali).
Visual memukau mata menyerupai game
Saya beri seribu pujian untuk bahagian animasi dalam Super Mario Bros. Movie. Filem ini merupakan impian bagi sesiapa yang mahu melihat dunia Mario dihidupkan dengan ketulenan visual yang tinggi di mana pengarah Aaron Horvath dan Michael Jelenic memastikan bahawa dunia filem pun menyerupai reka bentuk di dalam game.
Bukan mudah untuk mengadaptasikan medium dengan sejarah berpuluh-puluh tahun ke medium baharu, jadi saya tabik Illumination kerana berjaya melakukan tugas yang bagus dalam mempersembahkan semua itu dalam cara yang berwarna-warni dan menyeronokkan. Illumination telah meluangkan masa untuk membuat kajian dan berkat itu, mereka berjaya merealisasikan ‘rupa ikonik Mario’ dengan cemerlang pada skrin.
Banyak adegan yang membuatkan saya berasa seolah-olah bermain game sebenar seperti adegan platforming awal di Brooklyn, sesi kejar-mengejar di Rainbow Road, dan pertarungan Mario vs. Donkey Kong. Itu antara adegan animasi terbaik yang wajib korang layan nanti!
Lakonan
Memandangkan plot jalan cerita sangat generik, adakah persembahan pelakon berjaya menyelamatkan keadaan? Malangnya, tidak. Dari segi persembahan, Jack Black merupakan individu paling menyerlah sebagai Bowser, dan juga watak paling menarik dalam filem ini dengan adegannya yang lawak dan penuh perasaan (lagi-lagi semasa muzikal).
Selain itu, Charlie Day juga amat sesuai sebagai Luigi, sang penakut yang cuba membantu abangnya manakala Seth Rogen terasa secocok sebagai Donkey Kong yang angkuh tetapi baik hati. Namun, persembahan Anya Taylor-Joy dan Keegan-Michael Key, masing-masing sebagai Peach dan Toad, tidak begitu memberangsangkan dan hanya sekadar lepas.
Akhir sekali, kita ada Chris Pratt, yang berlakon sebagai Mario. Sejak pertama kali diumumkan, ramai sangsi jika dia boleh membawa watak Mario sedang pelakon suara original masih aktif di dalam industri. Kenapa tidak memilih dia? Itu saya pun tidak pasti. Sekurang-kurangnya selepas menonton filem, saya boleh kata persembahannya amat normal – tidak terlalu teruk, tidak cukup bagus. Ini pun amat mengejutkan sedangkan Pratt menyuntik begitu banyak semangat untuk wataknya dalam filem Lego Movie.
Pendapat
Kini, kita sampai di penghujung review ini dan saya harus mengaku.. keputusan saya agak bercampur baur. Sejujurnya, Super Mario Bros. Movie menyampaikan semua yang saya inginkan sebagai peminat lama kepada francais game; ia padat dengan pelbagai easter egg dan kameo, animasinya memang cemerlang 100% dan aksi yang terpapar pun sangat menarik. Sebagai penonton sasaran, saya meninggalkan pawagam dengan gembira.
Tetapi jika dilihat daripada perspektif kritikal, filem ini terlalu bergantung pada elemen nostalgia. Pacing cerita terlalu laju dan plotline yang generik dan simple tidak akan menggembirakan hati penonton yang inginkan sesuatu dengan nilai lebih berat, malah pelakon suara pun seolah-olah tidak sesuai dan bersemangat (kecuali Bowser). Nasib baiklah, ia mempunyai cukup momentum yang mencukupi untuk mengelakkan kita daripada bosan dan memenuhi tanggungjawabnya sebagai filem animasi kanak-kanak.
Fikir-fikir semula, saya akan mengikut bias dan beri rating 8/10! Super Mario Movie berjaya menambat hati saya yang meminati francais dan kerana itu, saya beri rating yang agak tinggi bagi filem ini.
Pada masa ini, Super Mario Bros. Movie telah memecahkan berpuluh-puluh rekod box office dan bakal menjadi salah satu filem animasi paling berjaya dalam sejarah. Dengan gembar-gembur begini, adakah sebuah sekuel akan datang tidak lama lagi? Kemungkinan ya, menurut adegan post-credit di penghujung filem.
Itu sahaja untuk ulasan saya bagi Super Mario Bros Movie! Kita jumpa lagi di review seterusnya!
Baca segala liputan kami tentang francais Mario di SINI.
@gamersantaimy
Discussion about this post