Dikenali dengan kualiti periferalnya yang hebat, sejak beberapa tahun kebelakangan ini Razer telah memberi fokus tambahan pada barisan gaming laptop. Jika saya nak kata tentang model mana yang berjaya meningkatkan reputasi Razer di pasaran laptop gaming, sudah semestinya saya akan pilih Razer Blade 15. Pada tahun 2021, Razer kini melengkapi laptop gaming tersebut dengan pilihan paparan baru dan GPU RTX terbaru Nvidia! Adakah itu menjadikan Razer Blade 15 lebih baik? Mari kita lihat. Ini adalah review Razer Blade 15 Advanced (2021) saya.
Reka bentuk & keyboard
Tidak banyak yang berubah dengan reka bentuk Razer Blade 15. Ia menggunakan casis aluminium hitam yang sama bersama dengan logo RGB Razer di bahagian muka depan. Pengguna yang tidak suka RGB yang melampau-lampau pasti suka reka bentuk hitam laptop gaming yang tidak mempunyai lampu RGB berlebihan.
Bahagian dalaman juga dilengkapi dengan bahan aluminium hitam sama dan menampung papan kekunci kecil yang dikelilingi oleh dua pembesar suara dan touchpad besar. Seperti biasa, posisi webcam masih terletak di atas paparan. Pertama sekali saya nak puji ialah casis logam Blade 15 terasa amat premium dan diperbuat dari bahan yang tahan lasak. Malangnya, laptop ini mudah meninggalkan cap jari dan kalau kita tidak berhati-hati, ia juga boleh tercalar.
Sekarang, jom kita sembang tentang papan kekunci Razer. Secara khusus, saya tidak suka reka bentuknya yang kecil. Mengapa papan kekuncinya kecil sedangkan laptop ini agak besar? Ini kerana saiz beberapa butang terpaksa dikecilkan (seperti butang “anak panah”), untuk memberi ruang kepada pembesar suara di kedua-dua belah sisi dan perubahan perkakasan. Dengan dua pembesar suara yang besar di sisi kiri dan kanan, saiz papan kekunci pun terpaksa dimampatkan.
Walaupun papan kekunci rasa cukup selesa untuk menaip dan bermain tetapi suisnya bukan yang terbaik di pasaran. Sedangkan banyak syarikat kini memilih suis mekanikal, saya merasa agak aneh bahawa Razer tidak cuba untuk melakukannya, sedangkan mereka telah menambah suis mekanikal di Razer Blade Pro 17.
Selain itu, ia mempunyai Per-key RGB Razer Chroma, yang lampunya boleh diubahsuai melalui tab Lighting di aplikasi Razer Synapse. Touchpad yang berukuran 5.1 x 3.1 inci pula diperbuat daripada kaca dan terasa sangat-sangat lancar, di mana touchpad ini boleh berfungsi dengan Windows 10 gesture, seperti “two-finger scrolling” dan “three-finger tabbing”.
Disebabkan saya kini bekerja dari rumah, saya juga bersyukur kerana Razer menyediakan banyak port berguna untuk menghubungkan laptop dengan mudah ke monitor tambahan, papan kekunci dan tetikus. Antara sambungan yang disediakan termasuk:
- 1 x Thunderbolt™ 3 (USB-C), menyokong pengecas 20V USB-C bersama PD 3.0
- 3 x USB 3.2 Gen 2 (USB-A)
- USB-C 3.2 Gen 2, menyokong pengecas 20V USB-C bersama PD 3.0
- SD Card Reader, UHS-III
- HDMI 2.1 output (Up to 8K 60Hz or 4K 120Hz)
- Kensington Lock
- 3.5 mm Combo Audio
Paparan
Nasib baik lah, Razer telah membuat beberapa perubahan pada paparan di model 2021, dengan memuatkan panel refresh rate setinggi 360Hz. Semasa menguji paparan 15.6 inci FHD ini, memang semua kelihatan cantik, dimana resolusi memastikan setiap visual kelihatan tajam dan warna kelihatan lebih realistik, dan tidak terlalu “saturated”.
Seperti yang kata di atas, laptop ini mempunyai refresh rate setinggi 360Hz dan ini merupakan spesifikasi utama yang akan menarik perhatian kebanyakan gamer. Refresh rate merujuk kepada jumlah gambar sesaat yang dipaparkan di skrin. Angka yang lebih tinggi lebih bagus kerana, dengan menghasilkan lebih banyak gambar sesaat, animasi akan lebih lancar. Dalam permainan video tertentu, ia juga dapat memberikan kelebihan daya saing, bagi memastikan tidak ada “delay” antara butang yang ditekan dan aksi yang dilakukan dalam permainan.
Sudut pandangan pula bukanlah yang paling luas pernah saya uji. Warna boleh berubah jika saya melihat paparan pada arah yang berlainan kecuali secara langsung tetapi memandangkan fokus Blade 15 adalah pada gaming, ini bukan masalah besar. Ini hanya bermaksud laptop ini tidak sesuai untuk kita menonton movie dengan lebih daripada satu orang.
Liputan warna gamut juga amat mengagumkan. Menurut Razer, laptop gaming ini terbukti mampu merangkumi 100% gamut warna sRGB. Bagi mereka yang tidak tahu, liputan gamut adalah penting untuk para pencipta kandungan profesional yang bekerja dalam bidang reka bentuk, fotografi atau filem. Ia merupakan faktor utama yang membantu memastikan warna di paparan adalah tepat seperti yang kita lihat di dunia sebenar, sebelum dipaparkan di media pilihan secara digital atau fizikal.
Prestasi & benchmark
Unit Razer Blade 15 yang saya menguji mempunyai spesifikasi berikut:
- Intel® Core™ i7-10875H 8 Core 10th Gen (2.3GHz / 5.1GHz)
- NVIDIA® GeForce RTX 3080 Laptop GPU 8GB GDDR6 VRAM
- 1TB SSD (M.2 NVMe PCIe 3.0 x4) + Open M.2 PCIe 3.0 x4 slot
- Dual-channel 32GB DDR4-2933MHz (16GB x 2)
Apa yang paling istimewa tentang Razer Blade 15 2021 adalah ia merupakan komputer riba Razer Pertama yang menggunakan kad grafik RTX 30-series oleh Nvidia. Baru dilancarkan tahun lepas, siri RTX 30 adalah barisan utama GPU Nvidia yang menawarkan ciri “ray tracing” dan prestasi umum yang jauh lebih cepat daripada generasi RTX 20-series. Semasa ujian, terbukti GPU Nvidia RTX 3080 milik Razer Blade terbukti mampu menyokong hampir setiap permainan pada tetapan maksimum. Nilai jumlah lebih 60fps dianggap oleh kebanyakan gamer sebagai minimum untuk permainan kompetitif, dan Razer berjaya mencapai melebih angka ini dengan selesa.
Dengan semua tetapan pada maksimum pada resolusi 1080p, berikut adalah hasil ujian saya termasuk tangkapan gambar:
Valorant mampu berjalan pada nilai lebih 200 fps manakala, Horizon Zero Dawn kekal stabil pada nilai lebih 60 fps (hampir cecah 70 fps). Malangnya, Cyberpunk 2077 ternyata masih menjadi salah satu permainan dengan tuntutan grafik paling sukar dan tidak mampu cecah 60 fps pada resolusi 1080p.
Sambil mengaktifkan ciri ray-tracing, Cyberpunk 2077 berjalan pada nilai sekitar 50-55 fps. Semasa adegan pertarungan, nilai FPS akan turun ke bawah 40fps. Walaupun dibantu oleh teknologi DLSS yang bertujuan untuk membantu mengurangkan beban kerja pada GPU, saya masih mengalami beberapa masalah semasa bermain Cyberpunk 2077.
Selepas itu, saya melakukan beberapa ujian penanda aras di Blade 15 Advanced (2021) untuk melihat jika prestasi laptop ini sepadan dengan pengalaman dunia sebenar (semasa membuat kerja rendering, animasi, dan sebagainya). Anda dapat melihat hasil keputusan di bawah:
Satu isu besar yang saya jumpa semasa menguji prestasi Razer Blade 15 adalah tahap kepanasan ketika berada di bawah tekanan. Setelah bermain Cyberpunk 2077 selama 15 minit, bahagian atas papan kekunci dan kawasan di mana saya merehatkan tapak tangan terasa sangat panas dan tidak selesa.
Walaupun mempunyai teknologi “Vapor Chamber Cooling”, ia tidak cukup untuk menampung proses GPU RTX 3080 yang memakan kuasa tinggi. Untuk mengelakkan diri dari rasa tidak selesa, saya sarankan kepada anda semua supaya memakai papan kekunci tambahan jika ingin bermain di Razer Blade 15 (2021).
Bateri
Barisan laptop gaming tidak pernah terkenal dengan jangka hayat bateri yang lama. Sekiranya itu adalah keutamaan anda, maka ini bukan laptop terbaik untuk anda.. Oleh itu, saya tidak terlalu terkejut semasa melihat hasil keputusan Blade 15 dalam ujian bateri kami. Dengan menggunakan komputer riba semasa bekerja, ia biasanya dapat bertahan hampir 1 jam lebih sebelum saya terpaksa mencari port pengecas.
Saya mencuba menguji peranti dalam satu sesi gaming, dan dengan cepat, bateri saya menurun hampir 30% hanya dalam beberapa minit. Secara ringkas saya nak kata, Blade 15 (2021) tidak akan bertahan lama dari segi bateri. Jika anda ingin membawa laptop ini secara on-the-go, guna lah pengecas komputer riba USB-C 20V yang juga berfungsi melalui port Thunderbolt.
Audio
Untuk bahagian audio, saya tidak beberapa puas hati. Audio nya agak bagus untuk mendengar muzik, tetapi tidak seronok semasa permainan terutamanya pada efek khas seperti menyerang musuh, berinteraksi dengan objek, dan sebagainya. Ini kerana bunyi efek kedengaran lemah dan tidak mendalam. Namun, suara dalam permainan amat jelas dan tajam.
Seterusnya, Razer memasuki teknologi THX Spatial Audio untuk aplikasi PC, yang terdiri dari Music, Cinema, Game, Voice dan Custom. Masing-masing mempunyai equalizer dan, selain dari mod Custom, semua equalizer sudah diselaraskan. Mengubah pra tetapan akan memberi kesan yang besar pada audio, tetapi tidak ada apa-apa tetapan yang sesuai, bagi saya, untuk menjadikan audio permainan terdengar baik (dari pembesar suara).
Pendapat
Razer Blade 15 Advanced (2021) adalah peningkatan yang besar untuk model sebelum. Walaupun tidak memperbaiki masalah haba, tetapi peranti ini mampu menjadi antara laptop gaming terbaik pada tahun 2021 berkat GPU RTX 30-series baru. Review Razer Blade 15 Advanced (2021) ini memang satu pengalaman baru sebab jarang-jarang saya dapat mengulas tentang laptop yang dilengkapi kuasa besar seperti ini.
Kita mendapat prestasi grafik yang mantap, paparan yang tajam dengan refresh rate tinggi tetapi harus diperhatikan bahawa prestasi CPU bukanlah yang terbaik, laptop boleh mudah panas, dan papan kekunci yang terlalu kecil. Saya tidak kata bahawa Razer Blade 15 Advanced (2021) adalah sempurna, tetapi jika anda suka produk Razer dan kisah tentang kekurangannya, laptop ini adalah pilihan yang bagus.
Untuk maklumat lanjut tentang produk ini, sila layari halaman rasmi Razer.
@gamersantaimy
Discussion about this post