Virtua Fighter 5 Ultimate Showdown merupakan sebuah game genre fighting dan remake kepada siri Virtua Fighter 5 yang dilancarkan oleh Sega. Game ini telah diumumkan semasa acara Tokyo Game Show 2020 dan telah menerima peningkatan dari segi grafik serta ciri online kerana menggunakan game engine Yakuza. Virtua Fighter 5 telah dilancarkan pada 1 Jun 2021 yang lalu, serta DLC Legendary Pack yang memberikan pemain koleksi costume untuk disesuaikan dengan karakter mereka, termasuk model Virtua Fighter yang lama.
Anda boleh mendapatkan game ini secara percuma di PlayStation Store untuk pelanggan PlayStation Plus, tidak termasuk DLC Legendary Pack dan akan tersedia sehingga 2 Ogos ini. Kami telah berpeluang untuk bermain game ini di PlayStation 5, dan tanpa berlengah lagi, jom baca review kami mengenai game Virtua Fighter 5 Ultimate Showdown!
Peningkatan Grafik lebih cun
Salah satu perubahan terbesar yang boleh dilihat dari game remake Virtua Fighter 5 ini adalah dari segi grafiknya. Setiap karakter dalam game ini menerima tekstur model yang telah dipertingkatkan, dan ianya kelihatan lebih menarik kerana menggunakan enjin Ryu Ga Gotoku dari game Yakuza.
Walaupun grafik game ini cukup menarik, tetapi untuk pemain yang pernah bermain Yakuza, pastinya persamaan grafik antara dua game tersebut sangat ketara kerana menggunakan enjin game yang sama. Jadi karakter dalam Virtua Fighter 5 Ultimate Showdown mempunyai rupa semi-realisme macam Yakuza. Tetapi ianya satu usaha yang bagus dari Sega kerana game ini nampak lebih kearah 3D Fighter moden dan sama tahap dengan Tekken.
Dari segi audio pula, mereka seperti menggunakan suara dari game lama yang dan boleh dikatakan hampir sama seperti di arcade. Malah, suara untuk setiap watak juga diguna pakai semula dari game lama dan Sega seperti cuba mengekalkan identiti Virtua Fighter itu sendiri dalam game ini. Tapi bagi kami, ianya tidak jadi masalah kerana dapat merasai semula kenangan bermain Virtua Fighter yang lama dan perasaan seperti bermain di arcade.
Penyesuaian watak dengan pelbagai pilihan
Virtua Fighter 5 Ultimate Showdown telah menyediakan lebih 2000 item untuk pemain membuat penyesuaian kepada watak mereka. Kesemua 19 watak yang ada dalam game ini boleh dipasangkan dengan pelbagai jenis item yang diinspirasikan dari budaya seni pertahanan diri Cina, biksu shaolin serta luchador.
Disamping itu, beberapa watak boleh memiliki gimik yang berlainan, seperti perubahan sikap apabila anda membuat penyesuaian padanya. Walaupun saya tidak mencuba kesemua watak yang ada dalam game ini, tetapi berdasarkan dari gameplay saya semasa bermain mod online dan Arcade, kebanyakkan watak dilihat tidak memiliki masalah atau kecacatan apabila anda menyesuaikan gimik lain pada mereka.
Gameplay
Sebagai sebuah game genre fighting, Virtua Fighter sangat menekankan konsep disiplin bertarung itu sendiri dan gameplay-nya masih kekal sama seperti Virtua Fighter 5 Final Showdown. Sistem kombo juga sangat mudah untuk dilakukan kerana pemain hanya perlu membuat kombinasi beberapa Punch dan diselang dengan Kick. Perlu diingatkan yang anda cuma perlu memberi input yang sedikit tanpa perlu membuat input gerakan, kerana sekiranya pemain menekan Punch terlebih atau tidak padan dengan Kick, mereka akan mendapat kombo yang berbeza.
Selain itu, game ini turut menyedia sistem quick recovery untuk pemain jika mereka telah dihentak dengan teruk oleh pihak lawan. Cara untuk melakukan quick recovery ini adalah dengan menekan ketiga-tiga butang bagi membebaskan karakter anda dari serangan lawan, tetapi ianya hanya boleh dilakukan sekali sahaja untuk setiap knockdown. Jika pemain menggunakan quick recovery terlalu awal atau terlambat, karakter anda tidak akan dapat lari dari serangan lawan seterusnya.
Virtua Fighter 5 Ultimate Showdown telah memberikan fokus yang lebih untuk pemain melakukan serangan lebih hebat. Karakter anda boleh melancarkan Down Attack, yang menyebabkan lawan mereka menerima damage sangat parah dan memudahkan pemain untuk menewaskannya lebih cepat. Tetapi Down Attack sangat sukar dilakukan, kerana anda perlu cari mencari masa yang tepat untuk melancarkan knockdown serta diikuti dengan serangan ini. Namun, jika serangan Down Attack ini gagal, anda akan terdedah di bahagian udara dan siap sedia untuk menerima hentaman bertubi-tubi dari pihak lawan.
Acara e-Sukan di Virtua Fighter
Virtua Fighter 5 Ultimate Showdown telah menerima sebuah sistem baru, dimana pemain boleh menyertai Virtua Fighter Esports. Dalam acara ini, ia mempunyai banyak ciri yang menjadikannya nampak kearah e-Sukan yang kompetitif, kerana anda boleh bertarung dengan pemain lain secara rawak sambil ditonton oleh pemain Virtua Fighter 5 lain. Para penonton juga boleh menghantar chat mereka melalui sticker kepada pemain yang sedang bertarung di skrin utama.
Tambahan pula, Sega turut mengumumkan bahawa game ini bakal menerima mod Tournament, dimana anda boleh membuat pertandingan sendiri. Namun, mod tersebut belum lagi tersedia di dalam game Virtua Fighter 5 buat masa ini. Tetapi pemain boleh bermain mod Ranked dan Room Match untuk membolehkan mereka bertarung dengan pemain rawak di online, tanpa mengira rank.
Walaupun ciri online dan konsep eSukan ini sudah berjaya memberikan pandangan yang menarik untuk Virtua Fighter 5 Ultimate Showdown, tetapi ia masih ada kekurangan seperti di mod Room Matches. Kekurangan mod ini ialah anda tidak boleh mengajak rakan ke Match Room dan terpaksa mencari mereka di setiap room jika ingin bermain bersama. Masalah ini agak menyusahkan kepada para pemain untuk bertarung bersama rakan mereka dalam game.
Penutup
Secara keseluruhannya, Virtua Fighter 5 Ultimate Showdown mempunyai banyak peningkatan dari segi grafiknya berbanding di Virtua Fighter 5 asal. Anda pasti sangat berpuas hati dengan grafik pada watak serta pemandangan arena perlawanan yang dihasilkan oleh Sega.
Dari segi gameplay pula, ianya sebuah game fighting untuk platform konsol yang sangat berbaloi untuk anda dapatkan. Walaupun game ini percuma untuk pelanggan PS Plus, tetapi ia mempunyai banyak sistem dalam in-game yang seronok untuk pemain cuba. Mungkin juga ia nampak lebih hebat jika anda membeli DLC Legendary Pack game ini di masa akan datang.
Dari segi sistem online, Virtua Fighter 5 Ultimate Showdown berjaya memberikan perkhidmatan yang sangat baik bagi meluaskan pengalaman gameplay pemain. Walaupun terdapat isu pada Matches Room yang menyebabkan pemain sukar untuk mencari rakan mereka, tetapi ia tidak menjadi sebab untuk kami katakan yang game ini teruk. Mungkin apabila Sega telah membuka mod Tournament nanti, sistem di Matches Room turut diperbaiki lebih elok.
Akhir sekali, untuk sistem e-Sukan pula, Sega telah memberikan pengalaman baru untuk para pemain Virtua Fighter dengan ciri menonton perlawanan pemain lain. Walaupun penonton hanya boleh menghantar sticker di dalam ruang chat, tetapi ianya boleh menjadikan suasana perlawanan lebih meriah untuk ditonton.
Bagi pelanggan PS Plus, anda boleh terus dapatkan Virtua Fighter 5 Ultimate Showdown ini pada pautan yang telah kami sediakan. Anda juga boleh membeli DLC Legendary Pack untuk mendapatkan lebih banyak pilihan item pakaian bagi membuat penyesuaian pada watak. Jadi, jangan lupa untuk dapatkan game ini sementara ianya masih percuma di PlayStation Store!
@gamersantaimy
Discussion about this post