Marvel’s Spider-Man: Miles Morales akhirnya tiba di PC dua tahun selepas pelancaran PS4/PS5, dan secara umumnya adalah upgrade yang besar berbanding game original. Sejak daripada kecil lagi, Spider-Man adalah superhero kegemaran saya. Malah, sebab utama saya membeli PS5 pun hanya untuk bermain Miles Morales. Kembali ke masa kini, saya berpeluang untuk bermain game ini sekali lagi di PC dan ternyata, ia masih seronok.
Jadi tanpa melengahkan masa lagi, berikut adalah review saya untuk Marvel’s Spider-Man: Miles Morales versi PC!
Rumusan jalan cerita
Sebelum saya teruskan review ini, saya ingin semua orang faham bahawa saya tidak akan menjelaskan tentang gameplay ataupun mekanik Miles Morales kerana semuanya sudah dibincangkan dalam versi PS yang korang boleh baca di SINI. Di sini, saya hanya akan memberi rumusan ringkas tentang jalan cerita dan menceritakan tentang ciri-ciri PC serta pengalaman saya di platform ini.
Naratif diteruskan dari kesimpulan Marvel’s Spider-Man, secara khususnya peristiwa di DLC “The City That Never Sleeps”, di mana Miles Morales digigit oleh labah-labah radioaktif dan memperoleh kuasa yang serupa dengan mentornya Peter Parker.
Setahun selepas peristiwa game pertama, Miles dilatih oleh Peter, berpindah dari Brooklyn ke Harlem, dan kini cuba membiasakan diri dengan kehidupannya sebagai Spider-Man baru. Namun, dia masih dalam proses belajar dan ragu-ragu sama ada boleh memenuhi legasi Peter.
Di permulaan game, kita dapat tahu yang Peter terpaksa meninggalkan New York untuk pergi ke Symkaria selama beberapa minggu bagi membantu teman wanitanya Mary Jane Watson dan menyerahkan tugas melindungi bandar kepada Miles semasa dia tiada.
Kini Miles ialah satu-satunya Spider-Man dan harus menyeimbangkan kehidupannya sebagai pelajar sekolah dan tanggungjawabnya sebagai hero untuk melindungi semua orang daripada syarikat Roxxon Energy Corporation yang berkorupsi dan sekumpulan penjahat high-tech bergelar “Underground.”
Berbanding dengan pendahulunya, Miles Morales menawarkan pengalaman yang lebih ‘straightforward’ dan pendek. Walaupun isinya tidak banyak seperti dahulu, keseronokan masih sama seperti game pertama.
Seperti saya kata tadi, jalan cerita jauh lebih pendek dan kebanyakan bahagian yang tidak begitu penting telah dikeluarkan (majoriti content yang dikurangkan adalah jumlah collectible untuk pemain kutip). Selain itu, jumlah misi sampingan juga dikurangkan supaya pemain dapat pengalaman yang lebih memfokuskan pada kandungan utama, lantas menjadikan game ini ideal untuk memahami kisah Miles.
Mari kita ke bahagian prestasi PC!
Sekarang, jom kita sembang tentang topik utama review ini iaitu prestasi Miles Morales di PC! Berikut adalah spesifikasi yang saya mainkan:
- CPU – 12th Gen Intel Core i9-12900HX
- GPU – NVIDIA GeForce RTX 3080 Ti Laptop GPU
- RAM – 64GB
- Display – 4K 120hz
Prestasi amat optimum, mampu sokong semua pilihan grafik!
Pada resolusi 4K, DLSS ON, ray-tracing ON dan tetapan High untuk semua setting, saya mulakan pengembaraan di bandar New York yang sesak. Apa yang mengejutkan adalah FPS dalam game tidak pernah jatuh dan selalu di lingkungan 60-70 semasa bermain. Cuma kadangkala, frame rate boleh jatuh hingga 50 jika terlalu banyak aksi berlaku di atas skrin (contohnya, berlawan dengan ramai musuh sekali gus di jalan yang sesak).
Misi utama dan dunia open world semuanya mencapai 60fps dengan mudah (sedangkan di sinilah game menelan paling banyak kuasa untuk memproses persekitaran), walaupun saya bermain dengan ray-tracing pada resolusi 4K. Secara ringkas, game ini sangat optimum untuk dimainkan.
Lagipun, screenshot di atas sebenarnya diambil daripada screen recording, yang bermaksud saya bermain game ini sambil merakam skrin. Tanpa screen recording, FPS yang ditunjukkan sepatutnya boleh pergi lebih tinggi.
Dari segi prestasi dengan ray tracing OFF (tetapi DLSS masih dihidupkan), purata FPS yang saya dapat adalah antara 70 hingga 90.
Bagi menyokong para gamer dengan setup PC berbeza, Miles Morales boleh serasi dengan; AMD FSR 2.1, Intel XeSS dan IGTI (Insomniac Games Temporal Injection) dan teknologi NVIDIA DLSS/ DLAA/ Reflex NVIDIA. Tidak kira jika korang mempunyai kad grafik yang hebat atau tidak, game ini mampu menyokong hampir setiap jenis build yang tersedia di pasaran.
Pada pendapat saya, pilihan DLSS dan AMD FSR mempunyai kualiti visual paling tajam. Apabila menggunakan XeSS atau IGTI, objek di hadapan kelihatan tajam, tetapi objek di belakang mula kelihatan kabur atau tidak selari. Sekilas pandang, perbezaannya tidak banyak kerana kita akan menghabiskan majoriti masa berayun atau berlawan – yang semuanya berlaku dengan laju.
Cuma, sebelum ambil gambar di Photo Mode, saya sarankan korang memakai tetapan grafik yang paling cantik.
Ray-tracing menambah baik suasana
Tidak perlu disoalkan, teknologi ray-tracing meningkatkan kecantikan seluruh suasana, tetapi terdapat beberapa masalah yang saya hadapi. Asalnya saya menukar semua tetapan kepada ‘Very High’ termasuk mengaktifkan ray tracing tetapi peliknya, PC saya langsung tidak dapat menjalankan Miles Morales.
Spesifikasi PC saya sepatutnya dapat menampung grafik Miles Morales walaupun ditetapkan pada ‘Very High’ tapi atas sebab-sebab tertentu, ia memakan banyak kuasa. Selepas mengusik beberapa ‘setting’, rupanya isu sebenar terletak pada ray-tracing, khususnya pilihan ‘ray-tracing shadows.’ Ini adalah punca sebenar dan untuk sebab pelik, ia memakan terlalu banyak kuasa pemproses PC.
Mungkin ini sahaja isu Miles Morales berkaitan prestasi PC.
Walaupun ray-tracing shadow kuat makan kuasa GPU, peningkatan visualnya sebenarnya tidak terlalu ketara. Memandangkan perbezaann tidak banyak, saya sarankan korang semua untuk matikan terus pilihan ‘ray tracing shadow’ atau sekurang-kurangnya meletakkan tetapan pada ‘low’ jika boleh.
Tetapi itu hanya untuk ray tracing shadow sahaja! Secara keseluruhan, tetapan lain untuk ray tracing sangat optimum dan berbaloi untuk dihidupkan.
Sepanjang tempoh bermain, game Miles Morales terbukti sangat mengagumkan dalam semua aspek visual. Kamu sebenarnya akan mengurangkan daya tarikan game ini jika tidak memakai ciri ray-tracing atau menurunkan tetapan grafik. Apabila menghidupkan ray-tracing, sesi menerokai bandar terasa lebih menyeronokkan dan realistik manakala cutscene menjadi lebih menyerlah, terutamanya pada waktu malam apabila hiasan Krismas berkilauan.
Dari segi prestasi dan pengoptimuman, Miles Morales sehebat seperti game Marvel’s Spider-Man Remastered (kecuali isu saya sebutkan tadi), jadi menghidupkan efek RT sambil mengekalkan 60 FPS bukanlah masalah yang sukar.
Perbezaan Controller & Keyboard/Mouse
Skema kawalan untuk versi PC lebih kurang sama seperti Spider-Man Remastered, tetapi bagi saya, ia rasa lebih lancar untuk dimainkan kerana animasi Miles yang lebih akrobatik (gaya hayunan dan pertarungan Peter sangat berbeza daripada Miles dan lebih bersifat straightforward).
Kedua-dua controller DualSense dan Xbox disokong, dan berfungsi seperti yang dijangkakan. Tetapi menggunakan DualSense adalah cara terbaik untuk menikmati game ini kerana ia menyokong maklum balas haptik, adaptive trigger dan spatial 3D audio.
Jika anda tidak mempunyai controller, jangan risau. Mouse dan keyboard adalah pilihan yang sama bagus untuk Miles Morales. Semasa menulis review ini, sejujurnya saya banyak memakai DualSense, tetapi semasa melakukan satu misi pengintipan, saya tiba-tiba teringat M/KB dan ingin lihat bagaimana skemanya.
Walaupun tidak mempunyai pemahaman atau tutorial yang menyeluruh tentang fungsi setiap kekunci, pertempuran tidaklah susah seperti yang saya dijangkakan dan saya dapat membiasakan diri dengan mudah.
Jadi sentiasa ingat – fungsi haptic feedback dan adaptive trigger hanyalah bonus, dan DualSense tidak diperlukan sama sekali untuk menikmati Miles Morales.
Pilihan accessibility sangat luas
Satu lagi bahagian yang Miles Morales amat cemerlang adalah pilihan accessibility. Kebanyakan game PlayStation Studios yang dibawa ke PC termasuk God of War atau Spider-Man Remastered menawarkan banyak pilihan setting untuk pelbagai jenis gamer. Nasib baiklah, Miles Morales memang tidak mengecewakan.
Terlalu banyak pilihan untuk disenaraikan seperti QTE yang boleh diselesaikan secara automatik bagi pemain yang ingin fokus pada jalan cerita sahaja; hingga ke penambahan warna kontras untuk mereka yang mempunyai masalah penglihatan membezakan watak.
Saya faham bahawa kebanyakan pilihan ini sebenarnya sudah wujud daripada Marvel’s Spider-Man Remastered, tetapi ia masih menggembirakan untuk melihat studido mengekalkan trend seperti ini supaya lebih ramai orang dapat mengakses game dengan lebih senang.
Isu teknikal yang dialami?
Sebelum menamatkan review, saya ingin bercakap tentang masalah ralat teknikal. Sepanjang tempoh bermain game ini, tidak ada satu kali game ini “crash”. Tiada misi yang bermasalah dan semuanya berjalan lancar sekali. Ini ulasan jujur saya!
Tetapi masih terdapat beberapa gangguan, seperti kamera tiba-tiba tenggelam di bawah tanah dan model badan musuh yang tiba-tiba bermasalah (kepala musuh terpusing 180′).
Secara keseluruhan, semua isu ini tidak merosakkan pengalaman saya dan hanya berlaku sekali-sekala. Jika berlaku, korang boleh reload game untuk membetulkan masalah.
Pendapat
Secara keseluruhan, Spider-Man: Miles Morales versi PC adalah game bagus yang ramai patut cuba! Lengkap dengan jalan cerita menyeronokkan dan gameplay mantap, Nixxes melakukan kerja yang hebat dengan port PC ini, bersama Insomniac Games selaku pemaju original.
Terdapat begitu banyak tetapan grafik untuk korang mendapatkan prestasi maksimum tidak kira build PC apa yang digunakan. Malah, tetapan ‘ray-tracing’ pun ada pelbagai pilihan – di mana semuanya boleh diubah suai mengikut kehendak hati pemain.
Saya 100% mencadangkan korang untuk mencuba game ini bagi sesiapa yang tidak sempat memainkannya. Bagi mereka yang sudah menamatkan Spider-Man 1, ini pun adalah kesinambungan yang bagus! Ia tidak sepanjang game pertama, tetapi saya boleh jamin korang akan suka.
Jika berminat, anda boleh tekan SINI untuk membeli Miles Morales PC di Steam atau Epic Games Store. Untuk membaca segala liputan kami tentang francais Spider-Man, sila tekan pautan ini.
@gamersantaimy
The Review
Marvel's Spider-Man: Miles Morales
Secara keseluruhan, Spider-Man: Miles Morales versi PC adalah game bagus yang ramai patut cuba! Lengkap dengan jalan cerita menyeronokkan dan gameplay mantap, Nixxes melakukan kerja yang hebat dengan port PC ini, bersama Insomniac Games selaku pemaju original.
PROS
- Pilihan grafik yang luas
- Sokongan untuk semua kad grafik termasuk GPU yang bersifat budget
- Gameplay dan jalan cerita yang solid
CONS
- Harga agak mahal untuk sebuah game PC
- Jalan cerita lebih pendek berbanding game pertama
Discussion about this post