Akhirnya, saya telah habis menonton kesemua 13 episod Godzilla Singular Point! Jadi inilah masanya untuk mengongsikan pengalaman saya dalam menonton siri anime ini musim pertama ini di Netflix yang ditayangkan bermula 24 Jun lalu. Jom mulakan Godzilla Singular Point Review!
Godzilla Singular Point adalah siri anime Jepun Netflix Original berlesen antarabangsa yang diarahkan oleh Atsushi Takahashi. Siri ini ditulis oleh Toh EnJoe dengan produksi dikendalikan oleh Studio Bones dan Orange. Anime ini mengikuti si genius muda Mei Kamino, seorang penyelidik wanita, dan Yun Arikawa, seorang jurutera lelaki, kerana mereka menghadapi ancaman yang belum pernah terjadi sebelumnya bersama rakan-rakan mereka. Okay jom kita mulakan dengan sinopsis siri anime 13 episod ini di bawah;
Sinopsis
Pada tahun 2030, sekumpulan jurutera tempatan di kota Jepun, Nigashio, bersama dengan pasukan penyelidik saintifik bebas, menemui siaran muzik misteri (lagu dodoi yang bernama Alapu Upala) yang sepertinya telah menandakan kedatangan Debu Merah yang sama misteri di dunia. Berpunca dari apa yang disebut Titik Mufrad (Singular Point), kawasan di dunia di mana undang-undang fizik membengkok dan pecah belah.
Debu Merah ini bukan satu-satunya pelawat dunia lain yang menemui jalan ke dunia kita. Tidak lama kemudian, kaiju-kaiju yang menakutkan mula menimbulkan malapetaka di seluruh planet ini. Kawanan Rodan (kaiju terbang macam Pterodactyl) mengganas di Tokyo meluas sehingga beberapa negara jiran seperti Malaysia (pun disebut tau), Singapura dan banyak lagi; kawanan naga dalam air yang dikenali sebagai Manda menyerang Britain; dan tidak lama sebelum kaiju yang paling menakutkan Godzilla sendiri muncul, ketika itu hanya dapat berfikiran bahawa pengakhiran dunia makin hampir.
Para jurutera dari Kilang Otaki, dipimpin oleh Yun Arikawa yang sebenarnya pakar dalam fizik juga, menggunakan robot bernama Jet Jaguar untuk bertempur dengan kaiju-kaiju ini dan melindungi orang ramai dari ketakutan. Sementara itu, seorang pelajar siswazah eksentrik bernama Mei Kamino menjelajah dunia dan mendapati dirinya bekerja dengan saintis terkemuka, Prof Guiying Li, Tsunetomo Yamamoto dari fasiliti Misakioku, dan Bearach “BB” Byrne adalah pakar dalam Archetype, semuanya dengan harapan mereka dapat mengungkap misteri Titik Mufrad dan mencegah Malapetaka yang boleh mengorbankan kematian bukan hanya Bumi, tetapi alam semesta itu sendiri.
Adakah berbaloi ataupun tidak menonton anime ini?
Mungkin ada bahagian yang membuat saya sedikit lepu dan terasa nak skip sahaja kerana motifnya sama dan disebut berulang kali. Walaupun menjadi peminat Godzilla, mungkin ada sesetengah dari anime ini agak lari dari tanggapan awal saya. Tetapi saya harus memuji atas kesungguhan dalam lakaran kaiju-kaiju yang ada walaupun adegannya tidak terlalu jelas kerana debu merah yang tersebar di seluruh kawasan.
Walau bagaimanapun. Siri ini ditulis oleh Toh Enjoe yang memperoleh gelaran Ph.D dalam fizik matematik di University of Tokyo sebelum beralih ke kerjaya dalam perisian komputer, setelah itu dia akhirnya beralih ke menulis novel. Singular Point adalah pertama yang mendapat siri tv penuh, pertama kali berkecimpung dalam anime ketika dia menulis beberapa episod Space Dandy. Walaupun ini adalah lintasan kerjaya yang sangat luar biasa, latar belakangnya juga akan membantu menjelaskan mengapa sumbangannya kepada Singular Point.
Teori saintifik dan penerapannya, mungkin merupakan keutamaan tertinggi yang dimiliki dalam anime ini. Karakter, walaupun nampak comel dan hensem, semuanya tidak masuk akal (lagi-lagi orang yang macam saya paling tidak suka Sains, Fizik atau Matematik ni~) dan kira-kira 85% daripada setiap 13 episod anime dikhaskan untuk perbualan panjang, terperinci, dan sangat rumit mengenai setiap teori, kiasan, dan fakta mengenai masa depan, kenapa kaiju ini muncul dan sebagainya.
Mungkin ceritanya lebih kepada manusia dan tiada sebarang flashback dari asal usul kaiju tersebut. Apa yang menarik perhatian saya hanya ketika keadaan aksi daripada perbualan panjang yang sememangnya membuat saya mengantuk. Sebagai contoh ada episod yang Jet Jaguar menentang kaiju seperti labah-labah, episod itu menarik perhatian saya kerana Jet Jaguar menonjol memberi aksi tanpa henti walaupun hampir diambang kematian. Sehingga saat-saat gudang yang dipenuhi kaiju tersebut terbakar, Jet Jaguar menyuruh Yun dan rakan-rakannya terus ke bot dahulu. Sangkakan dia akan mati di situ, nasib menyelebahi, Jet Jaguar sempat keluar dari gudang tersebut lari ke bot dan merehatkan dirinya.
Rasa seronok walaupun rupa Jet Jaguar agak kebudak-budakkan sikit, melihat Yun menaik tarafnya sikit demi sedikit dan yang paling comel ketika menjadi Jet Jaguar PP (bermula sebagai budak) tetapi terlebih bijak dan senang belajar. Dia juga yang mampu dan paling berani menentang Godzilla sendiri.
Satu lagi watak AI yang menarik adalah Pelops II, mungkin sebab AI nya adalah kucing, mulutnya teletah sambil membantu Mei Kimano, kadang terasa nak ada sahaja dia dalam peranti saya. Pelops II banyak membantu Mei dalam penyelesaian jawapan yang dicarinya. Dari awal hanya berada dalam laptop dan tekefon pintar, dia akhirnya mempunyai badan robot yang kecil memang pelik bentuknya digabungkan dengan perangainya yang agak “clumsy”.
Unsur-unsur serangan tanpa henti memang dapat dilihat, tetapi dari menonton tentera yang berperang dengan Manda atau pun Rodan, sememangnya kisah lebih kepada jalan penyelesaian dunia yang hampir berakhir ini. Dengan lagu dodoi Alapu Upala yang masih terngiang-ngiang kat kepala saya sampai sekarang, ianya akan terus muncul di kawasan-kawasan kaiju berdekatan dalam anime. Jadi siri ini lebih kepada saintifik yang mungkin kurang masuk akal dari lebih kepada serangan Kaiju tanpa henti di bandar seperti siri asal Godzilla.
Jadi apa yang boleh dikatakan, kita akan pelajari sedikit sejarah dan lebih kepada kajian fizik untuk maklumat kemunculan kaiju-kaiju ini. Tetapi untuk melihat manusia tercedera akibat diserang kaiju… Jangan risau ada banyak juga adegan tersebut. Okay kita teruskan pada watak-watak utama dalam Singular Point…
Penampilan watak yang agak menarik kena dengan suaranya
Dengan suara A.I. yang bertenaga positif, karya suara semua watak utama disampaikan dengan cemerlang. Setiap suara sesuai dengan keperibadian individu dengan luar biasa, dan setiap pelakon merasa seperti mereka memberikan yang terbaik untuk menghidupkan watak-watak itu. Satu-satunya yang agak menjengkelkan adalah suara-suara watak tambahan yang macam menggunakan suara sama berulang kali.
Mei Kamino (CV Yume Miyamoto)
Mei Kamino adalah pelajar siswazah genius di Godzilla Singular Point. Dia sedang mengkaji Debu merah dan bagaimana kaiju berasal dari dimensi lain, dalam perjalanan yang membawanya untuk mengungkap misteri di sebalik Titik Mufrad.
Yun Arikawa (CV Shouya Ishige)
Yun Arikawa berusia 24 tahun dan salah satu watak utama di dunia di Godzilla: Singular Point. Dia adalah seorang jurutera dan bekerja di Kilang Otaki. Dia berani tetapi nampak pemalu dan mempunyai gerak hati yang baik.
Haberu Katou (CV Tarou Kiuchi)
Haberu Kato adalah rakan sekolah Mei Kamino dan rakan sekerja Yun Arikawa dari Kilang Otaki di Godzilla Singular Point. Hobinya termasuk bersenam mengangkat berat ketika tidak sibuk.
Goro Otaki CV (Wataru Takagi)
Goro Otaki adalah jurutera genius tua dan pemilik kedai elektronik, Kilang Otaki, dari Godzilla Singular Point. Dia memiliki banyak hak paten di seluruh dunia dan membiayai untuk penghasilan Jet Jaguar, yang dia gunakan untuk melindungi Bumi. Pada awal anime, dia yang menggemudi sendiri Jet Jaguar, sebelum diambil alih AI yang Yun masukkan.
Jet Jaguar
Jet Jaguar dari kesinambungan Singular Point adalah mecha buatan yang dibina oleh anggota Kilang Otaki. Ia membuat debut dalam siri animasi eksklusif Netflix 2021, Godzilla Singular Point. Dalam anime, Jet Jaguar diberi nama oleh penciptanya, Goro Otaki. Bentuk asalnya dikenal sebagai Prototaip Jet Jaguar, untuk menetapkannya sebagai versi kerja yang asli. Bentuknya yang ditingkatkan adalah Jet Jaguar β, yang menunjukkan bahawa ia adalah varian penerus untuk prototaip, dan secara formal Jet Jaguar Yung setelah Yung menyambungkan kecerdasan buatan peribadi Yun yang menghuni mecha. Selepas pengaktifan “Protokol untuk menjadikan Jet Jaguar Invincible” dan kolaborasi Yung dengan Pelops II, JJ mengadopsi nama baru untuk dirinya sendiri: Jet Jaguar PP.
Pelops II
Pelops II adalah AI buatan yang muncul di Godzilla Singular Point. Dicipta oleh Yun Arikawa sebagai cabang AI peribadinya sendiri, Jung, Pelops muncul setelah Mei Kamino memasangnya ke komputer riba, di mana Pelops II memperoleh keperibadian mereka. Sejak itu, dia telah melayani Mei sebagai pembantu peribadinya. Pelops II memang bijak, dia juga yang banyak membantu ketika akhir-akhir episod.
Grafik digabungkan antara kerja 2D dan 3D
Jadi yang tadi tu lah dia beberapa watak utama sepanjang 13 episod musim pertama Godzilla Singular Point. Bila kita lihat anime ini, ia tidak lah nampak terlalu moden seperti yang dikejari zaman sekarang. Ia menampilkan reka bentuk watak yang bersih dan karya seni 2D yang menarik dari Studio Bones.
Karya untuk semua kaiju dan robot Singular Point yang sangat unik pula dikendalikan oleh Studio Orange, yang mungkin merupakan pemimpin industri dalam membuat 3D CG bergaya dan dicampur dengan baik untuk anime televisyen. Terutama ketika penggerakan kaiju, anda boleh nampak agak realistik dari kesan sampinganya. Penampilan baru Godzilla sangat menarik bagi saya, cuma permainan warna adakalanya seperti tidak stabil dan kurang menampakkan kaiju lagi-lagi ketika debu merah di sekeliling.
Saya agak sukakan hasil lakaran Godzilla, anda boleh melihat pada sisi-sisi Godzilla benar-benar menakutkan, ketelitian sediap sisi memang memuaskan. Sama juga seperti kaiju yang lain seperti Manda, ia memang nampak seperti naga bezanya ianya tinggal di air, setiap sisinya nampak jelas walaupun hanya sementara tiba di beberapa episod anime ini.
Maka kesimpulannya~
Sebenarnya saya agak sedih kerana pratagonis utama Yun dan Mei hanya berkomunikasi dari jauh, awal episod pun hanya komunikasi dari panggilan telefon, kemudian mereka berinteraksi “tanpa dikenali” melalui chatting selepas Mei dan Pelops II menggodam Jet Jaguar. Memang paling banyak berinteraksi dengan chat lah dengan perkongsian terkini apa yang jadi sebenarnya, dalaman saintifik dan fizik… sehinggalah akhir episod hanya sedikit bahagian menampakkan Mei berjumpa dengan Yun.
Walaupun agak kecewa sedikit, Godzilla: Singular Point adalah karya fiksyen sains yang sangat baik, dan jelas terdapat banyak masa, usaha, dan cinta untuk menjadikannya siri anime yang baik. Animasi ini terkenal dari awal hingga akhir, skor Ken Sawada menggunakan tema klasik selain bahan baru memang agak menarik pada peminat. Penulisannya sememang baik, karya yang hebat, serta setiap lakaran anime sebenarnya memang saya sangat suka. Walaupun banyak bercakap, tetapi intonasi setiap watak diberi dengan begitu baik juga.
Baiklah sampai di sini Godzilla Singular Point Review dari saya, hingga kita jumpa lagi dalam sambungan musim kedua nanti ok! Jangan lupa tonton kesemua 13 episod anime ini di Netflix ~!
@gamersantaimy
Discussion about this post