Selepas dilancarkan pada tahun 2021 di PC dan juga PS4 di beberapa negara terpilih, akhirnya Edge of Eternity tersedia di PlayStation Asia pada April ini. Kami berpeluang untuk mencubanya di konsol untuk memberikan pandangan kami mengenainya. Sejujurnya, saya telah bermain versi PC, jadi agak teruja juga untuk mencuba versi PS4. Disebabkan Edge of Eternity versi PS4 mempunyai lakonan suara bahasa Jepun, jadi kami telah bermain game ini dengan pilihan bahasa tersebut. Tanpa membuang masa, ini review jujur saya untuk game JRPG oleh Midgard Studio.
Penceritaan Edge of Eternity
Bagi saya, plot untuk game ini masih bagus, dengan beberapa plot twist dan pertembungan dengan beberapa makhluk aneh sepanjang penceritaan. Ceritanya berpusat di Heryon, di mana peperangan antara dunia itu dengan tentera makhluk asing yang digelar sebagai Archelite, sedang berlaku. Anda akan bermain sebagai protagonis, Daryon yang keseorangan selepas keseluruhan skuadnya telah dihapuskan oleh serangan yang berlaku serta Corrosion, penyakit maut yang disebarkan oleh Archelite. Setelah mendapat surat daripada adiknya, Selene, Daryon mengambil keputusan untuk pulang dan melihat keadaan ibunya yang juga dijangkiti oleh Corrosion. Bersama-sama Selene, dia kini mempunyai misi baru iaitu mencari penawar untuk penyakit maut tersebut dan menyembuhkan ibunya.
Ceritanya agak terus terang tetapi kadang-kadang ada juga terasa seperti ianya panjang, membuatkan kami hampir berhenti bermain. Tetapi jika anda kisah mengenainya, layan sahaja pengembaraan Daryon bersama-sama rakannya yang ditemui sepanjang misinya.
Gameplay Edge of Eternity
Bila saya kata ianya turn-based RPG, ia sememangnya game RPG. Kedua-dua watak pemain dan musuh mempunyai bar masa tersendiri iaitu ATB, yang akan menjadi menentukan giliran anda. Jadi, anda tidak akan mendapat susunan giliran yang sama, memandangkan setiap watak mempunyai kelajuan ATB yang berbeza. Seperti JRPG yang lain, anda boleh memberikan serangan fizikal, serangan magik, dan menggunakan item. Terdapat juga kekuatan dan kelemahan elemental untuk setiap musuh. Jadi, sila tumpukan perhatian padanya untuk memberikan damage maksimum.
Anda juga boleh bergerak sekeliling musuh untuk mengelak serangan yang akan datang berdasarkan grid berbentuk hex. Jika anda menyerang musuh dari belakang, anda boleh memberikan bonus damage kepada mereka. Kadangkala pertarungan boleh menjadi agak lama, jika anda selalu bergerak dan ia akan mengambil satu giliran anda. Anda juga mungkin berlawan dengan musuh yang sangat mudah atau sangat susah. Ia agak menjengkelkan apabila berlawan dengan musuh yang ramai.
Terdapat enam watak yang boleh dimainkan tetapi anda hanya boleh membawa empat watak sahaja dalam pertarungan. Untuk membina parti juga agak mudah. Anda hanya perlu menggunakan armor dan upgrade senjata. Setiap senjata juga mempunya skill tree masing-masing setiap kali naik level. Magic spell dan skill pasif juga boleh diterapkan pada senjata ini dengan menggunakan Crystal yang anda jumpai sepanjang pengembaraan ini. Kalau anda ingin menggunakan senjata level tinggi, sudah tentu ianya ada tetapi agak susah untuk krafnya. Kebanyakkan item yang diperlukan agak sukar untuk dikesan dan dijumpai. Jadi, anda mungkin menghabiskan masa mencari item tersebut berbanding main quest game ini. Seperti game RPG yang lain, EoE juga mempunyai side quest yang diberi oleh NPC. Tetapi kebanyakkannya meminta pemain untuk menghalau atau berlawan dengan raksasa asing.
Grafik dan Audio yang mantap dengan sedikit kekurangan
Kalau anda fikir studio indie hanya menggunakan grafik biasa, anda salah. Heryon ada banyak tempat-tempat cantik dan kelihatan seperti game AAA yang sekarang. Segala butiran yang ada memang hebat dan anda boleh lihat segala usaha Midgard Studio letakkan untuk environment Heryon. Anda juga boleh menunggang “Nekaroo”, seekor kusing gergasi yang peranannya hampir sama dengan Chocobo dalam Final Fantasy. Walaupun ada kawasan yang kelihatan kosong, tetapi anda masih boleh lagi bertarung dengan raksasa yang berkeliaran di tempat itu. Terdapat beberapa perkara lain yang anda boleh buat seperti mencari peti, selesaikan side quest serta menyelesaikan puzzle yang tersedia di Heryon.
Walaupun environment Heryon indah, saya harap Midgard boleh letakkan sedikit usaha pada model 3D watak dan animasi untuknya. Kadang-kadang pergerakan model kelihatan agak janggal dan tidak kena dengan situasi. NPC tidak perlu ceritakan lebih, mereka kelihatan kaku sahaja. Kalau anda ingin tahu, watak yang anda kawal tidak boleh melompat atau memanjat, jadi pergerakan anda terbatas semasa meneroka Heryon. Nekaroo juga tidak mampu menolong anda.
Bercakap tentang audio, Edge of Eternity mempunyai soundtrack yang hebat lebih-lebih lagi semasa pertarungan dengan boss-boss. Soundtrack hebat ini telah dihasilkan oleh Mitsuda Yasunori, yang juga terkenal dengan hasil gubahannya untuk siri Chrono. Jadi, anda tidak perlu risau sangat mengenainya.
Saya telah bermain versi PC sebelum ini, jadi tidak banyak yang saya boleh komen mengenai lakonan suara bahasa Inggeris. Untuk sebuah studio indie, bakat lakonan suara yang dipilih mereka memang bagus. Tambahan suara dalam bahasa Jepun juga menjadi sebab kenapa EoE ini berbaloi dimainkan. Jadi, kalau anda lebih suka untuk menggunakan suara Jepun, bolehlah dapatkan versi PS4 ini.
Bug yang menjengkelkan
Bug memang akan ada dalam setiap game, memang peliklah kalau EoE tidak mempunyainya. Saya telah bermain di PS5 dan terkejut juga apabila saya mula-mula sampai di bandar Inel, kawasan pertama yang anda akan tiba. Terdapat texture model yang timbul, dan agak menyakitkan mata apabila bermain. Saya perlu tutup dan buka semula game untuk hilangkan masalah itu. Semasa pertarungan juga, kadang-kadang saya tidak boleh menggerakkan watak, jadi saya terpaksa menerima segala damage yang diberikan. Memang geram juga apabila perkara itu terjadi.
Kesimpulan
Untuk sebuah studio indie kecil, Edge of Eternity yang dihasilkan sememangnya mempunyai potensi yang bagus tetapi dengan beberapa perkara yang boleh diperbaiki. Dunia Heryon dicipta dengan indah tetapi jika model watak juga diberi perhatian lebih sedikit, saya memang tidak akan bantah. Beberapa mekanik gameplay juga perlu digilap sedikit kerana ada beberapa yang tidak digunakan sangat dalam game. Apapun, kalau anda peminat JRPG, EoE masih lagi sebuah game hebat untuk dimainkan.
@gamersantaimy
The Review
Edge of Eternity
PROS
- Lakonan suara yang baik
- Soundtrack yang mantap
- Environment yang indah dan mengagumkan
CONS
- Bug yang menjengkelkan
- Animasi watak yang kelihatan pelik
- Sesetengah kawasan kelihatan kosong
Discussion about this post