Demon’s Souls ialah antara permainan yang menarik hati saya semasa pelancaran PS5 di mana isi kandungan dan gameplay telah ditambah baik secara drastik tetapi masih mengekalkan semua elemen yang membuat peminat jatuh cinta pada permainan klasik pada 2009.
Gameplay-nya yang unik dan rumit ialah antara sebab utama saya ingin mencuba Demon’s Souls, tetapi jangan salah anggap. Ia juga merupakan salah satu permainan yang paling cantik di PS5, kerana menggabungkan beberapa elemen misteri, kesan pencahayaan yang menakutkan, “level design” yang luar biasa, dan pilihan warna yang suram tapi sesuai dengan suasana. Bagi sebuah permainan yang terkenal dengan kesukarannya, Demon’s Souls adalah suatu judul yang kemas, walaupun isi-isinya bersifat kejam.
Walaupun begitu, siri Souls bukanlah untuk semua jenis pemain, di mana Remake ini pun tidak memudahkan pengalaman untuk pemain-pemain baru. Ia masih kekal menjadi permainan mencabar yang sering suka “menghukum” pemain tidak kisah beberapa kali. Sekiranya anda benar-benar ingin mencuba, Demon’s Souls boleh menjadi salah satu permainan yang paling bagus buat masa ini, dan ialah entri yang bagus untuk memulakan generasi konsol baru.
Naratif & Latar Belakang
Sebuah kabus aneh telah melanda kerajaan Boletaria, sehingga penghuninya diasingkan daripada seluruh dunia dan diburu oleh raksasa-raksasa berbahaya. Kita akan bermain sebagai wira yang berjaya memasuki kerajaan Boletaria, demi mencari kekayaan. Jauh daripada pemandangan indah yang disangkakan, keadaan sebenarnya jauh lebih seram. Sebuah “Nexus” sedang mengurung roh, lantas memerangkap mangsa dalam keadaan separuh mati. Sebagai salah satu roh yang sesat, kita harus mengalahkan raksasa yang merancang perbuatan terkutuk ini, dan membongkarkan kebenaran disebalik sumpahan Boletaria.
Seperti permainan lain dalam siri Souls, jalan cerita Demon’s Souls agak linear, tetapi memberi gambaran visual yang kuat. Jangan pula anda mengharapkan cutscene yang panjang atau “plot twist” yang besar. Kebanyakkan naratif akan didedahkan melalui dialog dan perubahan pada alam sekitar. Sekiranya anda memberi perhatian, jalan cerita sebenarnya menarik, dan kadang-kala menyentuh perasaan saya. Sekiranya anda bermain Demon’s Soul tetapi tidak merasakan emosi yang saya sebutkan tadi, jalan ceritanya masih cukup mudah untuk faham dan kita tahu apakah lokasi seterusnya untuk maju.
Saya akan gunakan watak Maiden in Black sebagai contoh. Dia merupakan panduan kita ke Nexus, yang dapat menukar “Souls” yang dikumpulkan oleh pemain untuk meningkatkan kekuatan watak (dalam Dark Souls, kita boleh meningkatkan statistik watak di mana-mana Bonfire). Dialog dan penampilan Maiden in Black yang menakutkan menunjukkan ada “udang di sebalik batu”. Pemain tidak akan mempelajari keseluruhan jalan cerita jika tidak memerhatikan keadaan sekeliling, tetapi beberapa sentuhan kecil seperti ini menjadikannya naratif permainan lebih seronok secara keseluruhan.
Selain itu, permainan juga memiliki persekitaran yang menarik. Boletaria adalah kerajaan yang penuh diversiti, dan terdiri daripada menara yang tinggi, gua-gua yang gelap, pulau-pulau terpencil, di mana kita dapat menjelajah lima kawasan unik sebelum menamatkan permainan.
Gameplay Asas
Mungkin saya tidak perlu menggambarkan gameplay asas siri Souls dengan terlalu terperinci, tetapi kita semua harus ingat bahawa Demon’s Souls adalah pelopor kepada formula ikonik ini. Bagi mereka yang belum pernah bermain genre ini, Demon’s Souls adalah action-RPG di mana kita mencipta watak sendiri dan memulakan pengembaraan untuk menyelamatkan dunia yang hampir musnah. Setiap musuh yang kita kalahkan akan menjatuhkan “Souls“, yang boleh kita gunakan untuk menaikkan atribut, membeli peralatan dan barang, serta menambahbaik peralatan.
Bagi sistem pertempuran, ia mudah difaham oleh sesiapa sahaja yang pernah bermain genre ini. Setiap senjata mempunyai serangan ringan (light) dan berat (heavy), dan kita boleh memilih sama ada untuk menggunakannya dengan satu atau dua tangan. Pelbagai set baju dan perisai dapat meningkatkan berat badan watak, yang bermaksud anda harus memilih sama ada ingin mahukan pertahanan yang lebih baik, atau lebih banyak mobiliti. Kita juga dapat mempelajari sihir, lalu menggunakannya untuk mencederakan musuh atau memberi kekuatan kepada diri sendiri. Terdapat banyak pilihan untuk bermain, dan semuanya terasa intuitif.
Dengar pun macam mudah kan? Di sinilah Demon’s Souls membezakan dirinya daripada kebanyakan genre-genre lain.. dengan kesukarannya yang kejam. Kebanyakkan musuh boleh membunuh kita dalam hanya beberapa serangan, termasuk musuh “lemah” yang muncul bersama bos yang lebih mengancam. Berlari, menyerang, mengelak dan menghalang (block) akan memakan stamina, lantas membuatkan setiap pertarungan lebih sukar kerana kita harus berfikir dan merancang. Adakah ia lebih bagus untuk menepis serangan musuh dan menunggu peluang untuk menyerang, atau cuba untuk menyerangnya tanpa henti sehingga ia pening? Satu-satunya cara untuk kita tahu adalah dengan mempelajari corak gerakan setiap musuh. Disebabkan permainan ini mempunyai banyak musuh untuk kita lawan, ini boleh menjadi proses yang lama dan rumit.
Oleh itu, kita akan sering mati. Dalam siri Souls, kematian bukan sahaja mengembalikan pemain ke “checkpoint“, malah kita juga akan kehilangan semua “Souls” yang terkumpul, dan separuh daripada HP maksimum. Perkara ini boleh dielakkan jika pemain menumpukan perhatian pada persekitaran dan bertarung setiap musuh baru secara perlahan dan bijak. Pemain perlu mengalahkan bos untuk memulihkan HP, tetapi “Souls” boleh dipulihkan serta merta, dengan syarat kita dapat kembali ke lokasi terakhir kita mati. Jika anda mati sekali lagi dalam perjalanan ini, maka “Souls” itu akan hilang selama-lamanya.
Keseimbangan antara “risk” dan “reward” dalam Demon’s Souls memang ketara, kerana, tidak seperti permainan Dark Souls lain, kita tidak ada “Bonfire” untuk pulihkan HP dan membelanjakan “Souls” untuk menambahbaik watak. Sebaliknya, setiap level dikategorikan sebagai kawasannya sendiri, dan satu-satunya jalan untuk kembali ke Nexus (hub) adalah dengan berjalan kaki ke permulaan level, atau maju dan mengalahkan bos di kawasan tersebut.
Bagi pendapat saya, permainan ini bukan sengaja ingin menyukarkan keadaan untuk pemain, kerana kebanyakan cabaran mempunyai beberapa pilihan untuk pemain mengelak atau menyelesaikannya dengan lebih berkesan. Tetapi segelintir level dan pertarungan bos benar-benar kejam, dan tidak ada cara lain untuk melepasi mereka selain daripada mengalahkan mereka daripada segi “trial-and-error“. Sekiranya dapat mengatasi cabaran ini, pemain biasanya akan mendapat rentak yang lebih selesa, tetapi saya sendiri tertanya berapa ramai yang membaling DualSense mereka selepas kalah berkali-kali.
Aspek Customization & Sistem Upgrade
Selain daripada tahap kesukarannya yang kejam, satu lagi perkara yang membezakan Demon’s Souls daripada action-RPG lain adalah kita mempunyai banyak pilihan untuk mencipta watak sendiri. Setiap senjata dalam permainan mempunyai animasi yang unik, dan kita ada hampir 80 senjata di 18 kategori yang berbeza, termasuk belati, pedang, cakar, tombak, kapak, dan banyak lagi. Itu belum tambah lagi semua baju, cincin, sihir dan peralatan yang akan kita akan perolehi sepanjang perjalanan. Tidak seperti RPG lain, peralatan baru tidak selalu bermaksud ia lebih baik kerana setiap peralatan yang diperolehi mempunyai kelebihan dan kekurangannya sendiri, serta bergantung kepada cara permainan individu.
Di sini, saya ingin menjelaskan tentang sesuatu yang lebih kompleks iaitu sistem pembinaan watak. Terdapat lapan atribut berbeza untuk ditingkatkan iaitu “Strength, Vitality, Endurance, Magic, Intelligence, Dexterity, Faith, dan Luck” dan setiap satu akan mempengaruhi statistik sekunder yang lebih luas. Permainan menjelaskan perkara ini dan memberitahu bagaimana watak kita akan bertambah kuat dengan setiap peningkatan, tetapi saya jamin anda semua akan menghadapi masa yang sukar untuk membina “build” yang berkesan.
Bagi pendapat saya, ini ialah salah satu kelemahan Demon’s Souls. Pemain akan belajar pelbagai jenis sistem di mana beberapa menu menjengkelkan akan menghalang kita untuk memahami isi kandungan permainan dengan berkesan. Walaupun pemaju ingin mengelak daripada mengguna tutorial yang komprehensif kerana ia bertentangan dengan sifat minimalis permainan, saya rasa masih ada cara yang lebih baik untuk menyampaikan maklumat-maklumat berguna.
Terdapat beberapa cara untuk mengatasi masalah ini! Pertama, kita harus tahu musuh apa yang bakal dihadapi bagi membuat perubahan yang sesuai atau jika anda malas mengubah “build“, elak sahaja daripada musuh-mush ini. Malangnya, Demon’s Souls mempunyai AI yang bijak. Walaupun diri ingin mengelak daripada pertarungan, kebanyakkan masa saya pasti akan terserempak dengan musuh.
Kelebihannya? Sistem penciptaan watak yang bervariasi membolehkan kita mencipta watak yang benar-benar mencerminkan personaliti pemain. Setiap pemain pasti akan mempunyai peralatan dan statistik yang berbeza kecuali kalau anda meniru “build” di internet dan tidak ada banyak permainan seperti Demon’s Souls yang membolehkan pemain memadankan “playstyle” unik mereka dengan watak sendiri .
Visual & Estetika
Saya berani kata.. Demon’s Souls adalah salah satu permainan terbaik semasa pelancaran PS5. Ini memang satu pujian yang tinggi, memandangkan Spider-Man: Miles Morales dan Astro Playroom pun dinilai tinggi, tetapi Demon’s Souls, secara visual, berjaya menarik perhatian saya daripada level pertama. Watak-watak dalam permainan sangat ekspresif dan bervariasi, tetapi yang menggagumkan saya adalah bagaimana setiap level direka dengan penuh kasih sayang, seperti bilik Nexus yang gelap dan dihiasi dengan lilin hingga ke Shrine of Storms yang basah dan berlumpur.
Seperti permainan-permainan PS5 lain, kita dapat memilih antara mod “Cinematic“, yang mengutamakan resolusi dan pencahayaan, atau mod “Performance“, yang mengutamakan frame rate. Saya mencuba kedua-dua mod, dan seperti yang diberitahu oleh Sony, ia melakukan tugasnya dengan sempurna.
Pendapat
Jika anda keliru untuk bermain permainan apa di PS5, saya harus sarankan anda untuk cuba Demon’s Souls atas dasar kreativiti pemaju untuk menggabungkan gameplay yang mencabar, grafiknya yang cantik dan persekitaran yang cantik. Demon’s Souls membuat debutnya pada tahun 2009 lalu berjaya mencipta sebuah genre unik dalam dunia gaming. Di remake ini, tiada yang kurang, dan kita pun boleh melihat kasih sayang yang dicurahkan oleh pemaju untuk mengekalkan elemen yang membuat permainan begitu popular sambil menambah beberapa idea bijak mereka sendiri. Semuanya hampir sama, tetapi pujian harus diberi pada grafiknya yang lebih cantik, animasinya yang lebih lancar dan “load time” yang hampir tidak wujud.
Walaupun Demon’s Souls agak menakutkan bagi mereka yang baru hendak cuba, jangan biarkan reputasinya mengaburi pilihan anda. Demon’s Souls memang sukar, tetapi kita boleh menerokai dunia yang menarik dan menikmati gameplay yang mencetuskan formula “Souls“. Memang permulaan yang bagus untuk PS5!
Gameplay
@gamersantaimy
The Review
Demon's Souls
Demon's Souls adalah salah satu judul yang bagus semasa pelancaran PS5, atas kreativiti pemaju untuk menggabungkan gameplay yang mencabar, grafik yang cantik dan persekitaran yang cantik. Demon's Souls membuat debutnya pada tahun 2009 lalu berjaya mencipta sebuah genre unik dalam dunia gaming.
PROS
- Gameplay yang mendalam
- Visual yang cantik
- Pertarungan bos yang unik
- Jalan cerita dan watak yang menarik
CONS
- Kadang-kala terlalu musuh terlalu sukar
- Beberapa mekanik permainan yang tidak dijelaskan dengan betul
Discussion about this post