Sejak diumumkan di acara E3 PC Gaming Show pada tahun 2019, Cris Tales telah berjaya memukau mata kebanyakan gamer di seluruh dunia. Dengan gaya seni-nya yang berbentuk kartun comel dan persekitaran berwarna-warni, ia segera menarik perhatian saya. Selepas dua tahun kemudian, permainan ini akhirnya dilancarkan di konsol dan PC. Dibangunkan oleh sebuah pasukan indie kecil di Colombia bernama Modus Games, Cris Tales adalah judul sebenarnya diilhamkan oleh beberapa JRPG klasik. Selepas mencuba permainan selama seminggu lebih, ini adalah review saya untuk Cris Tales!
Latar belakang

Cris Tales menceritakan tentang seorang gadis yatim piatu bernama Crisbell. Pada suatu hari, dia pergi mengutip bunga ros untuk Mother Superior tetapi ia dicuri oleh katak bercakap bernama Matias. Kisahnya agak “perlahan” pada awal permainan, di mana dunia kelihatan aman damai. Malangnya, semua berubah apabila Crisbell dibawa ke Narim Cathedral di mana Crisbell akhirnya mendapat tahu dia mempunyai sihir Time Mage. Selepas kejadian ini, Crisbell harus memulakan pengembaraan yang berbahaya melalui dunia Crystallis demi menghalang malapetaka yang bakal melanda dunia oleh antagonis utama, si Time Empress.
Dari aspek naratif, ia adalah kisah yang agak “simple” dan “straightforward”. Saya tidak akan menjelaskan begitu banyak tentang plot cerita, tetapi satu perkara yang saya amat suka ialah watak dan perwatakan dalam permainan. Saya rasa setiap watak memberi impak yang cukup berkesan dan berjaya menarik hati saya dengan keunikan masing-masing. Sudah tentu, ini termasuk watak utama kita, Crisbell. Walaupun dia mempamerkan ciri-ciri tipikal sebagai seorang protagonis dalam mana-mana JRPG, ada sesuatu daya tarikan yang membuatkan saya jatuh cinta pada watak ini. Saya tidak pasti jika ia adalah kerana reka bentuk watak? Adakah sebab lakonan suara? Atau mungkin gayanya semasa bertarung? Saya tidak begitu pasti, tetapi ia memang mengagumkan kerana pihak pemaju boleh mencipta watak yang mudah untuk disukai dan tidak membosankan.

Permainan ini berlangsung dalam gaya novel visual, dengan beberapa cutscene animasi antara babak. Jika anda tidak tahu, saya memang penggemar visual novel tetapi agak terkejut apabila melihat setiap perbualan bersama NPC (walaupun tidak penting) mempunyai lakonan suara lengkap. Memang ketara lah usaha pihak pemaju dan ini sepatutnya dicontohi oleh mana-mana JRPG pada masa sekarang. Walaupun saya menyebut tentang JRPG di tajuk, harap maklum ini bukanlah permainan Jepun. Oleh itu, lakonan suara adalah dalam bahasa Inggeris, dan bagi saya, itu pun bagus. Selain lakonan suara, saya rasa soundtrack turut meningkatkan pengalaman naratif dan suasana permainan. Keseluruhan muzik memang padu, terutama sekali untuk tema lagu semasa bertarung.
Gameplay asas

Secara umum, gameplay Cris Tales meminta kita untuk melawan musuh dan meneruskan kisah utama atau melakukan misi sampingan ketika menjelajah dunia. Semasa bertarung, permainan akan beralih kepada sistem turn-based tradisional, tetapi dengan beberapa ciri-ciri unik. Pertama, kedudukan watak berada di tengah-tengah skrin, manakala musuh akan mengelilingi kita dari bahagian kiri atau kanan. Dalam kebanyakan JRPG, ini nampak seperti kita diserang hendap. Sebenarnya ini fungsi mekanik Time Travel yang saya bakal jelaskan di bawah.
Anda boleh melakukan pelbagai aksi seperti melakukan serangan asas, skill, item, atau melarikan diri apabila keadaan memerlukan. Semuanya perkara asas, tetapi yang membuatkan permainan lebih menarik adalah kita dapat melakukan lebih daripada satu aksi pada satu giliran. Sebagai contoh: anda dapat melakukan dua kombo apabila melakukan serangan asas atau mengurangkan “damage” yang diterima ketika musuh menyerang dengan menguatkan pertahanan. Untuk melakukan semua aksi tambahan ini, ia bergantung kepada “timing” kita. Jadi anda perlu memperhatikan waktu apabila serangan hampir terkena musuh dan sebaliknya. Sayangnya, tidak ada petunjuk yang jelas atau mungkin saya terlalu bodoh. Kebanyakan masa, saya hanya “spam” sahaja. Jangan salah anggap! Cara ini berfungsi, tetapi kesannya tidak begitu efektif berbanding jika kita tekan butang pada masa yang tepat.

Sekarang saya ingin menjelaskan tentang mekanik Time Travel. Dalam pertarungan, anda dapat menggunakan sihir Crisbell sebagai Time Mage untuk menghantar musuh ke masa lalu atau masa depan. Sihir ini bergantung pada posisi musuh pada skrin di mana bahagian kiri bermaksud Masa Lalu manakala bahagian kanan bermaksud Masa Depan. Ini nampak terbatas, terutama ketika bertarung dengan bos di mana mereka selalu berada di satu sisi, tetapi sebenarnya menampilkan pendekatan yang lebih strategik dan menjadikan gameplay keseluruhan lebih mudah untuk difahami. Mekanik ini memang menarik kerana kita bukan sahaja dapat menghantar musuh ke Masa Lalu atau Masa Depan untuk mempengaruhi usia dan kemampuan pertempuran mereka, malah kesan ini akan terserlah apabila musuh kembali kepada garis Masa Sekarang.
Saya menjadikan bos pertama sebagai contoh. Crisbell akan melawan seorang wanita gergasi dengan perisai yang tidak dapat ditembusi. Anda tidak boleh melakukan apa-apa terhadap bos ini kerana pertahanannya terlalu kuat, jadi anda perlu menyerang dengan sihir jenis Air lalu menghantarnya ke masa depan di mana perisai itu akan menjadi lemah kerana terhakis. Walaupun bos kini terdedah, ia sebenarnya menjadikannya lebih kuat kerana mempunyai lebih banyak pengalaman dalam pertempuran selepas dihantar ke Masa Depan. Di situ, kita ada sistem “Pro and Con”. Malangnya, mekanik ini tidak begitu efektif pada hujung permainan kerana musuh akan menjadi lebih sukar, tetapi masih adalah mekanik penting pada bahagian awal permainan.

Selain pertempuran, mekanik ini juga penting untuk kita menyelesaikan misi tertentu serta memberi masa depan yang lebih baik untuk apa sahaja yang ditemui, tidak kira sama ada nasib NPC atau bandar di mana mereka tinggal. Dengan mengubah Masa Lalu atau Masa Depan (bergantung pada situasi), anda boleh mengelakkan perkara yang buruk daripada terjadi. Sebagai contoh, ada seorang gadis ingin memperbaiki hubungan dengan kekasihnya. Untuk menjayakan hubungan ini, anda perlu kembali ke masa lalu dan melakukan tugas-tugas tertentu untuk memastikan hubungan mereka berkembang. Terdapat begitu banyak misi sampingan yang menggunakan mekanik ini, jadi hasilnya kadang-kala mudah untuk diramal. Walaupun begitu, ia masih lebih menarik daripada melakukan misi tipikal di kebanyakan RPG lain. Bukan setakat itu sahaja, Crisbell akan diberi pilihan penting yang boleh membuka kepada pelbagai kesimpulan berbeza.
Walaupun Crisbell dapat memanipulasi waktu dan masa, kita memerlukan bantuan daripada Matias untuk misi utama dan misi sampingan. Dia akan melakukan segala yang kita suruh semasa merentasi masa, kerana Crisbell hanya akan memantau keadaan sambil mengawal sihirnya. Aksi ini dipanggil sebagai “Time Hop”. Satu lagi aspek menarik tentang sihir Crisbell adalah dia dapat melihat dunia dari tiga garis yang berbeza secara sekaligus. Oleh itu, apabila skrin dibahagikan kepada tiga bahagian, anda dapat melihat bagaimana dunia dan NPC di sekitar menjadi lebih muda, lebih tua, atau berubah sehingga kita sendiri pun tidak boleh mengenali mereka lagi.

Setakat ini saya banyak memuji permainan, betul? Lambat-laun, saya melihat beberapa masalah yang boleh mempengaruhi keseronokan secara keseluruhan. Pertama sekali, permainan berusaha untuk mencontohi sistem JRPG klasik dengan menambahkan pertarungan rawak dan fitur “save” yang terhad tanpa ciri auto-save. Walaupun suka permainan JRPG, saya sendiri amat benci dengan elemen-elemen tersebut, kerana ia adalah sesuatu yang tidak relevan lagi pada zaman ini. Pihak pemaju juga tidak menerapkan ciri-ciri ini dengan betul, kerana tidak ada tanda-tanda yang jelas apabila kita bertemu dengan musuh selain daripada loading screen berwarna putih. Dari segi Quality of Life (QoL), Cris Tales bukanlah contoh yang bagus.
Saya juga merasakan permainan tidak seimbang, di mana ia mempengaruhi aspek untuk menambahbaik watak seperti memperoleh EXP, dan wang untuk membeli senjata serta peralatan. Pada hujung permainan, ia menjadi semakin membosankan dan leceh kerana kita perlu “grinding” untuk tempoh masa yang terlalu lama. Saya tidak boleh mengabaikan isu-isu seperti ini kerana ia boleh mempengaruhi keseronokan pemain. Untuk pendekkan cerita, isu saya adalah lebih kepada masalah keseimbangan dan reka bentuk permainan yang kurang lancar. Itu sahaja rasanya untuk bahagian yang “kurang”. Anda tidak perlu bimbang tentang jalan cerita, gameplay, atau ciri-ciri lain yang saya sudah jelaskan di atas.
Reka bentuk visual

Perkara terakhir yang saya ingin tambah tentang Cris Tales dan apa yang membuatnya lebih menonjol adalah aspek reka bentuk visual. Sejujurnya, permainan ini betul-betul cantik dan saya hanya mampu memberi pujian sahaja. Dari watak dan reka bentuk dunia hingga ke animasi, semua menawan dan pasti menarik hati orang untuk mencuba. Terdapat banyak permainan di mana mereka hanya fokus pada saat-saat tertentu untuk aspek grafik (contoh: Scarlet Nexus), tetapi Cris Tales berjaya mengekalkan tahap yang konsisten pada semua adegan dengan reka bentuknya yang ala-ala kartun comel tapi bergaya.
Pendapat

Secara keseluruhan, saya suka Cris Tales dan ia terbukti adalah salah satu permainan paling unik yang pernah saya bermain pada tahun ini. Selain dari seni visualnya yang menakjubkan, permainan ini lebih menonjol kerana berjaya menunjukkan keunikannya daripada sekadar menjadi “surat cinta” kepada JRPG klasik. Salah satu elemen terkuat yang menjadikan keseluruhan pengalaman lebih seronok adalah mekanik Time Travel yang saya sebutkan di atas. Bersama jalan cerita utama yang berkait rapat pada tema tersebut, kita sebagai pemain boleh mengubah Masa Lalu atau Masa Depan untuk mengubah nasib dunia Crystallis. Segalanya terserah kepada pemain sahaja untuk membetulkan keadaan.
Malangnya, permainan ini tidak lah sempurna 100% dan saya sudah menyebutkan beberapa kelemahan jelas yang mungkin anda ingin perhatikan. Ia lebih kepada masalah keseimbangan untuk kemajuan watak, dan bagaimana kekurangan ciri QoL dapat mempengaruhi keseronokan pemain. Jangan terlalu risau apabila saya kata begitu kerana Cris Tales masih merupakan permainan yang bagus, dan sesuai untuk semua peminat JRPG.
Itu sahaja untuk review Cris Tales ini! Permainan kini tersedia di pelantar PC melalui Steam, Nintendo Switch, PS4, PS5, Xbox One, dab Xbox Series X|S. Untuk membaca review kami tentang permainan terkini, sila tekan pautan ini.
@gamersantaimy
The Review
Cris Tales
Secara keseluruhan, saya sangat suka Cris Tales dan ia terbukti adalah salah satu permainan paling unik dan menawan yang pernah saya mainkan pada tahun ini.
PROS
- Mekanik gameplay yang unik
- Gaya seni yang cantik
- Misi sampingan yang kreatif
CONS
- Masalah keseimbangan untuk kemajuan watak
- Kekurangan ciri QoL
Discussion about this post