Assassin’s Creed Valhalla membolehkan pemain di seluruh dunia menjadi “viking” sejak dilancarkan pada hujung tahun 2020 dan sejak itu, ramai pemain sudah berjaya menakluk England. Seperti yang anda semua tahu, setiap permainan Assassin’s Creed mempunyai jumlah kandungan yang besar, dan AC Valhalla pun tidak terkecuali. Pemain boleh menghabiskan lebih dari 100 jam, dan itu pun belum tentu boleh menyelesaikan jalan cerita utama. Pada bulan lepas, Ubisoft melancarkan pengembaraan baru untuk pemain yang menamatkan kempen utama, di mana kami di Gamer Santai berpeluang untuk mencuba. Tanpa melengahkan masa lagi, inilah review saya untuk DLC besar pertama Assassin’s Creed Valhalla: The Wrath of the Druids. Jom kita mulakan.
Meluaskan pengalaman di Ireland
Setelah menetapkan kediaman baru di England, si “viking” Eivor atau nama samarannya “Wolf-Kissed” ingin menemui tanah baru untuk meluaskan pengaruh. Seorang saudagar bernama Azar mendarat di perkampungan Ravensthorpe sebagai utusan dari sepupu Eivor, Barid mac Imair. Nampaknya Barid kini menetap di Ireland, dan berjaya membina sebuah bandar pelabuhan di Dublin. Disebabkan Barid mempunyai asal usul dari Denmark, dia menghadapi masalah untuk mendapatkan kepercayaan Flann Sinna, Raja Tinggi untuk Ireland pada ketika itu.
Dengan nilai setia kawan dan persahabatan yang tinggi, Eivor membuat keputusan untuk pergi ke Ireland. Di sana, dia tanpa sengaja melibatkan diri dalam politik tempatan di Ireland, terpaksa membunuh beberapa sasaran, dan berperang dengan kumpulan ajaran sesat, iaitu “the Children of Danu“.
Itu sahaja untuk sinopsis cerita. Bagi visual pula, Ireland tidak begitu berbeza dengan England. Pemain masih akan melihat bukit-bukit kehijauan, hutan luas yang bermisteri, gua yang seram, dan persisiran tebing yang curam. Selain daripada bangunan-bangunan, Ireland tidak terlalu jauh berbeza dengan England. Kita masih boleh menjelajah, menaiki kapal panjang, dan menunggang kuda ketika merentasi Ireland, sambil mempelajari asal usul tanah ini.
Ireland terbahagi kepada empat wilayah iaitu: Dublin, Meath, Connacht, dan Ulster. Dublin adalah tempat di mana Eivor memulakan perjalanan dan merupakan wilayah kecil. Tiga wilayah lain adalah seluas seperti kebanyakan wilayah di permainan asas, dan kita memerlukan beberapa jam untuk menyelesaikan misi-misi di setiap satu.
Bagi saya, Dublin antara adalah wilayah yang paling menarik secara visual, dan menawarkan beberapa pemandangan yang lebih menarik daripada kebanyakan kawasan England dan Ireland dalam permainan. Itu tidak bermaksud pemandangan di dalam permainan kelihatan bosan. Ubisoft adalah pakar dalam aspek real world location rendering, dan setiap pemandangan amat menakjubkan apabila kena dengan suasana.
Disebabkan ini adalah expansion, Wrath of the Druids sebenarnya lebih mudah untuk pemain hadam. Assassin’s Creed Valhalla adalah permainan dengan kandungan yang sangat besar! Kempen jalan cerita utama sudah memakan masa lebih 60 jam tetapi untuk sesiapa yang ingin menghabiskan permainan 100%, ia pasti akan mengambil masa lebih dari 100 jam. Untuk expansion DLC Wrath of the Druids, paling banyak pun akan ambil mengambil masa 30 jam dan itu sejujurnya lebih lama dari kebanyakan permainan AAA sekarang (contoh: Resident Evil 3). DLC ini memang lebih mudah untuk pemain faham, dan kita pun tidak perlu terlalu “grinding“.
Sistem Trading Post
Barid ingin menjadikan Dublin sebagai pusat perdagangan utama untuk Ireland dan ia bergantung kepada Eivor untuk membawa barang dan perkhidmatan bagi urusan perdagangan, dengan bantuan Azar. Di sekitar peta terdapat beberapa “Trading Post” yang boleh kita tawan dan bina untuk tujuan produktiviti. Setiap Trading Post akan menghasilkan sumber khas untuk Ireland seperti:
- Clothing
- Texts
- Delicacies
- Luxuries
Azar perlu memenuhi pesanan dari pelbagai negara, dan mereka tidak akan pesan sumber satu-satu. Kadang-kala, mereka akan pesan untuk sejumlah barang dari setiap sumber. Ganjaran selepas memenuhi setiap pesanan adalah pelbagai set baju besi, tatu, bahagian kapal, dan sumber “Settlement” untuk Valhalla.
Ubisoft sebenarnya menggunakan taktik yang bijak kerana menggunakan sistem ini sebagai cara untuk menyediakan barang-barang kosmetik yang tidak boleh dijumpai di England atau Ireland. Seperti yang saya kata, kita akan menerima perisai dari Mesir, Yunani, dan Rusia dan ini pun boleh dianggap sebagai “easter egg” untuk permainan lama Assassin’s Creed.
Mengambil alih sebuah “Trading Post” terbahagi kepada dua proses. Kita mesti terlebih dahulu membersihkan markas Trading Post itu dari musuh dan kemudian mengikuti petunjuk untuk mendapatkan geran. Sebaik sahaja jumpa geran, kita harus membawanya kembali ke markas Trading Post itu untuk membina bangunannya semula.
Setelah selesai, setiap Trading Post mempunyai beberapa penambahbaikan untuk meningkatkan pengeluaran sumber atau jumlah simpanan. Bagi saya, sistem ini lebih mudah daripada sistem “Settlement” di Valhalla. Jika anda memerlukan lebih banyak bahan untuk membuat peningkatan, cara paling senang adalah dengan menyerbu markas-markas musuh.
Seterusnya, saya ingin menjelaskan tentang ‘Royal Demand“. Misi sampingan ini dihasilkan secara rawak di kandang merpati berhampiran setiap bandar, di mana majoriti misi adalah lebih kurang sama. Contohnya, kita harus pergi ke lokasi ini, bunuh sasaran ini, curi objek ini. Tiada apa yang terlalu rumit. Apa yang kita dapat? Ganjarannya adalah bahan untuk meningkat markas Trading Post dan sejumlah sumber dari Ireland. Satu perkara menarik yang saya suka tentang Royal Demand adalah sub-objektifnya. Setiap sub-objektif memfokus pada bahagian “stealth” seperti:
- Tiada pembunuhan yang tidak perlu.
- Jangan dikesan.
- Jangan cedera.
Menyelesaikan sub-objektif ini akan menggandakan ganjaran anda untuk Royal Demand.
Kedua-dua sistem Trading Post dan Royal Demand tidak rumit dan mudah, tetapi sejujurnya, saya lebih menikmati fitur ini lebih berbanding mekanik di Valhalla. Sebabnya? Trading Post agak straightforward. Dirikan semua bangunan, dan kalau tak cukup bahan, dapatkan lebih banyak sumber. Royal Demand pula mendorong pemain ke arah gameplay yang lebih “stealthy“, dan ini merupakan ciri utama Assassin’s Creed memandangkan permainan terbaru lebih kepada aksi.
Bunuh sasaran “the Children of Danu”
Sejak Assassin’s Creed Origins, setiap permainan selepas itu mempunyai senarai sasaran khusu untuk kita bunuh. Dalam Odyssey, mereka mengembangkan idea itu dengan memperkenalkan Cult of Kosmos, di mana kita perlu mencari petunjuk dan membunuh satu persatu. Valhalla membawa konsep yang sama dengan memperkenalkan Order of the Ancients.
Dalam DLC Wrath of the Druids, senarai ini lebih kecil tetapi berfungsi dengan cara yang sama. The Children of Danu adalah organisasi ajaran sesat yang ingin mengambil takhta Raja Flann. Keseluruhan senarai ada lebih pendek daripada permainan asas, dengan hanya beberapa sasaran, tetapi anda masih perlu mencari nota dan petunjuk untuk mengetahui lokasi mereka.
Musuh yang bakal anda lawan juga memperkenalkan beberapa mekanik pertempuran baru. Di kubu mereka, anda akan menemui kawasan yang penuh dengan kabus hijau. Kabus ini sebenarnya boleh menyebabkan halusinasi, yang menjadikan musuh kelihatan lebih kuat daripada diri sebenar mereka. Sebagai contoh, musuh yang melemparkan barang-barang terbakar tiba-tiba boleh bernafas api, konco-konco lemah boleh teleport di belakang kita, dan serigala peliharaan musuh akan berubah menjadi serigala jadian (werewolf) yang kuat.
Saya suka idea mereka, tetapi mendapati ia agak sukar untuk berlawan dengan musuh-musuh ini dalam kebanyakan situasi. Sudah tentu, kita boleh mengumpan serigala itu untuk keluar daripada kabus, tetapi “mudahlah kalau cakap”. Yang buat keadaan menjadi semakin susah pula ialah memang tidak ada cara untuk memadamkan kabus hijau ini, walaupun buat sementara waktu.
Musuh-musuh ini pun datang secara kombinasi yang bagi saya tidak sepadan dengan gaya pertempuran Assassin’s Creed Valhalla. Serigala jadian dapat melakukan serangan kombo, boleh melempar batu, dan dapat melompat dengan jauh. Jika bertarung dengan musuh-musuh lain, kita akan sentiasa berada dalam situasi “1v4” di mana taktiknya adalah untuk sentiasa mengelak atau bertahan (pemain harus menjaga stamina supaya tidak habis). Jika tersilap langkah, kemungkinan besar pemain boleh mati. Eivor pasti akan diganggu oleh konco-konco kecil, dan di situ serigala jadian akan mengambil kesempatan untuk membunuh anda.
Di samping itu, terdapat beberapa abiliti baru, tetapi tidak ada satu yang saya terasa benar-benar “mengagumkan. Abiliti “Smoke Arrow” bagus untuk melarikan diri, tetapi Viking Salute hanyalah abiliti stun manakala Irish Wolfhound boleh menyeru serigala dengan baka anjing yang berbeza.
Pendapat
Untuk review ini, saya akan tidak akan sarankan DLC Wrath of the Druids untuk pemain yang belum pernah menamatkan Assassin’s Creed Valhalla. Walaupun tidak ada apa-apa syarat tertentu DLC tersebut, tetapi kawasan permulaan mengesyorkan Eivor berada pada “power level 55“. Selain daripada itu, persekitaran Ireland adalah lebih kurang sama England kecuali kawasannya yang lebih kecil, senarai sasaran yang tidak terlalu untuk bunuh, dan beberapa mekanik lain. Sekiranya anda tidak puas bermain Valhalla, saya rasa DLC ini cukup untuk memuaskan selera anda.
Untuk pemain yang dah habiskan beratus-ratus jam di permainan asas, harap maklum bahawa DLC ini tidak memberi memberi banyak tambahan baru, jadi janganlah terlalu berharap untuk apa-apa drastik selain dari perkembangan jalan cerita dan pemandangan baru. Itu sahaja untuk review Assassin’s Creed Valhalla: Wrath of the Druids! Sehingga kita berjumpa lagi, selamat ber-gaming!
@gamersantaimy
Discussion about this post