Capcom telah memberi info baharu untuk game yang amat dinanti-nantikan, Resident Evil Requiem, semasa acara Gamescom: Opening Night Live, dengan mempersembahkan gameplay yang menjelaskan asal-usul bagi protagonis baharu game ini, Grace Ashcroft.
Gameplay ini, yang merupakan gabungan flashback dan adegan in-engine, menyediakan penjelasan kepada jalan cerita utama, yang berlatarkan 30 tahun selepas insiden wabak Raccoon City.
Sebagai konteks, game ini mengisahkan Grace, seorang penganalisis teknikal FBI muda, di mana dia terpaksa kembali ke runtuhan bandar tersebut dan berdepan dengan memori pahit yang menghantuinya sejak zaman kanak-kanak.

Satu pendedahan penting untuk peminat lama, Grace disahkan sebagai anak perempuan kepada Alyssa Ashcroft, salah seorang protagonis dari game klasik Resident Evil Outbreak.
Gameplay baharu ini memfokuskan kepada hubungan mereka, memaparkan babak yang menunjukkan Grace ketika remaja sedang leka dengan komputernya semasa ibunya, Alyssa, pulang lewat dari kerja.

Keadaan tenang di kediaman mereka tidak bertahan lama apabila bertukar menjadi mimpi ngeri. Semuanya bermula dengan satu panggilan telefon aneh untuk “Miss Ashcroft” yang kemudiannya terputus, diikuti dengan bekalan elektrik di pangsapuri mereka yang tiba-tiba padam. Atas desakan ibunya, Grace terpaksa melarikan diri bersamanya.
Keadaan menjadi berbahaya apabila mereka menyaksikan seorang jiran dibunuh dengan kejam oleh satu individu misteri. Babak tersebut mencapai klimaksnya apabila Alyssa diserang oleh entiti yang tidak kelihatan, dengan nasibnya sengaja dibiarkan tidak pasti apabila klip gameplay itu tamat, membuatkan kami tertanya-tanya.

Resident Evil Requiem akan dilancarkan bagi PlayStation 5, Xbox Series X|S, dan PC melalui Steam pada 27 Februari 2026. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.









Discussion about this post