Ramai pemain tidak sabar untuk bermain Onimusha semula, namun entri terbaharu Way of the Sword bukanlah percubaan untuk mengulangi kegemilangan silam.
Kami meluangkan masa selama tiga jam menguji game ini sekali lagi pada PS5 pada tetapan “Action difficulty”, dengan meneroka sistem combat, mekanik eksplorasi baharu, serta sistem kemajuan yang lebih moden.
Sangat jelas bahawa Capcom membuat perubahan besar daripada formula asal, dan inilah ulasan kami bagaimana perubahan tersebut membentuk keseluruhan pengalaman gameplay.

Cabaran Tiga Boss Genma

Walaupun versi preview ini menampilkan pelbagai musuh biasa (seperti pemanah, pembawa pedang, pembawa perisai, Kubi Akari, Togemaru, serta musuh “elite” yang mempunyai health dan attack power lebih tinggi), variasi musuh asas secara keseluruhan agak terhad. Tumpuan utama combat sebenarnya terletak pada “boss fight”.
Demo ini menampilkan tiga boss: Daidara, Rasho-gan, dan Byakue. Daidara dan Rasho-gan merupakan boss daripada Main Story, manakala Byakue berfungsi sebagai boss yang ditemui sewaktu “acara purification.” Malangnya, kami tidak pasti sama ada akan melihat lebih banyak event boss sebegini dalam versi penuh nanti.

Preview ini bermula selepas demo terdahulu, di mana kita menewaskan Ganyu. Selepas sedikit eksplorasi dan menyelesaikan puzzle, kita akan berdepan dengan main boss pertama, iaitu Daidara.
Genma gergasi bertaring panjang yang memegang belantan besar ini didorong oleh kelaparan, menyebabkannya sentiasa cuba menangkap dan menggigit pemain.
Sifat lapar ini berkait rapat dengan mekanik soul-absorption yang dimiliki oleh setiap boss: jika boss menjatuhkan “soul” semasa bertarung dan anda tidak mengumpulnya dengan cepat, boss tersebut akan menyerapnya semula untuk menjadi lebih kuat sambil membuka gerakan yang lebih berbahaya.
Daidara menyerang dengan ganas (cukup sama seperti babi hutan). Apabila meluru sekeliling arena, dinding rendah dan persekitaran boleh tersangkut pada senjatanya atau menyebabkannya tersandung, lantas menjadikan persekitaran sebahagian daripada strategi pertarungan.
Pada fasa kedua, belantannya bertukar menjadi cemeti, mengubah rentak dan tekanan combat.

Story boss kedua, Rasho-gan, merupakan lembaga humanoid yang terbentuk daripada segerombolan tangan. Berbeza dengan Daidara, Rasho-gan bergerak lebih pantas dan lincah.
Ia gemar membaling orb kecil, meluru untuk serangan “grab” secara mengejut, serta mengeluarkan gunting gergasi pada fasa kedua demi mengelirukan timing serangannya. Ia juga boleh menyeru bebola gergasi, di mana kita boleh memusnahkannya atau dodge ke tempat selamat.
Pertarungan ini memberi beberapa pendekatan berbeza kepada pemain; dan ini pun adalah satu pilihan reka bentuk yang dijelaskan oleh pengarah permainan dalam sesi temubual kami.

Boss ketiga, Byakue, merupakan musuh bersaiz sederhana yang sangat agresif. Ia sentiasa mengasak kita tanpa henti menggunakan hayunan kapak yang luas serta serangan melompat. Sebagai “stronghold boss”, Byakue tidak mempunyai arena istimewa.
Kita akan bertarung di mana-mana sahaja pemain bertembung dengannya, di mana AI musuh ini akan beradaptasi mengikut persekitaran.
Teknik Bertahan, Abiliti Oni & Pilihan Tahap Kesukaran

Sistem combat dibina berasaskan tiga ciri utama: “defensive counter”, “forced stagger”, dan “area-of-effect burst”. Bagi serangan biasa, kita akan bergantung pada pertahanan asas seperti Parry, Deflect, dan Evade, yang digabungkan dengan skil Reflex untuk membalas ruang kosong musuh.
Teknik Issen turut kembali dengan tempoh timing yang sangat ketat. Walaupun susah dilakukan secara konsisten, melaksanakannya amat berbaloi dalam combat, di mana ia serta-merta mengganggu rentak musuh dan membuka ruang serangan yang besar.
Gerakan seperti Blade Barrage & Lock turut menambah elemen samurai, untuk menjadikan combat lebih bebas daripada urutan gerakan kaku.

Jika tidak ingin mengambil risiko melakukan precision parry terhadap “charged attack” musuh, kita boleh menggunakan Oni Armament untuk stagger musuh lalu membatalkan serangan mereka.
Bagi crowd control, skil “Wind-Whipper” membolehkan kita memutar naginata bermata dua untuk menghasilkan vortex yang menerbangkan musuh berdekatan, melapangkan kawasan, dan menepis serangan jarak jauh musuh seolah-olah perisai.
Jika vortex ini terkena api di medan lawan, ia akan naik taraf menjadi puting beliung berapi yang memberikan damage tambahan.

Capcom cuba memudahkan akses game ini untuk pemain baharu mahupun veteran aksi. Selain menawarkan sehingga lima pendekatan berbeza untuk menewaskan setiap boss, kita juga boleh memanfaatkan persekitaran untuk dodge atau memberikan damage tambahan.
Di samping mod kesukaran Story dan Action, pemain boleh menghidupkan penunjuk “Attack Assist Prompt” untuk membaca serangan musuh dengan lebih mudah; atau mematikannya jika mahukan cabaran atau visual yang bersih.
Cuma kami perlu pesan, semua skill telah dibuka untuk preview ini, yang menyebabkan versi demo terasa lebih mudah berbanding versi penuh. Walaupun kami berharap versi penuh akan membawakan misi yang lebih mencabar, Capcom masih mengutamakan keselesaan pemain untuk game ini berbanding judul-judul Onimusha yang dahulu.
Peralatan Oni, Menyelesaikan Puzzle & Hub Pekan Kyoto

Mekanik eksplorasi banyak bergantung pada penggunaan peralatan khas untuk membuka laluan baharu dan menyelesaikan teka-teki. Dalam demo ini, kami membuka Oni Bow dan Oni Strength, yang kedua-duanya memainkan peranan penting dalam navigasi serta combat.
Oni Bow bukan sekadar senjata jarak jauh; ia digunakan untuk mengaktifkan mekanisme, mengaktifkan perangkap, menjatuhkan batu ke atas musuh, atau membalas serangan musuh tertentu, di mana sebahagian teka teki memerlukan kita menembak sasaran dengan tepat.

Oni Strength pula berfungsi serupa dengan Oni Vision dari segi membuka laluan terhalang, tetapi juga boleh digunakan dalam combat untuk menolak musuh berperisai dan memecahkan jampi perlindungan.

Proses memperoleh peralatan terasa agak linear. Sebaik sahaja mendapatkannya, kita akan terus menggunakannya untuk objektif berikut. Walau bagaimanapun, pihak pembangun mengesahkan dalam sesi temubual bahawa pemain yang suka “backtracking” ke kawasan lama akan dibalas dengan ganjaran dan item tersembunyi.
Bagi navigasi, mengaktifkan Oni Vision akan memberikan panduan apabila kita tersesat, di samping penanda kuning pada peta.

Demo ini turut menampilkan pekan Kyoto yang berfungsi sebagai “Central Hub”. Kita boleh fast travel antara checkpoint, menewaskan kumpulan musuh untuk membuka peti ganjaran, serta melakukan side-quest daripada penduduk kampung untuk menghalau ancaman.
Objektif utama di pekan ini adalah “menyucikan” beberapa “rift” yang dikawal oleh gelombang musuh, walaupun masih belum pasti sama ada “rift” ini akan berkembang menjadi side quest yang lebih serius atau membuka kawasan peta dalam game penuh nanti.
Pekan ini tidak terlalu besar, tetapi kawasan pangkalan utama dikelilingi lokasi penting seperti titik fast travel, Oni Lady, dan Bell Tower, di mana hampir kesemua fungsi upgrade tertumpu di sini.

Bell Tower berfungsi sebagai arena untuk melatih kombo, mengulang tutorial, atau melawan semula boss yang telah ditewaskan demi ganjaran tambahan, dengan ganjaran berasingan bagi mod Story dan Action. Mekanik “Red Mist” pula menyekat pergerakan ke kawasan tertentu, untuk memastikan eksplorasi kekal pada kemajuan semasa.
Selebihnya, eksplorasi selalunya melibatkan aktiviti memecahkan tembikar dan membuka peti untuk mengumpul bahan crafting serta consumable.
Sistem Naik Taraf, Spirit Mirrors & Pengurusan Inventori

Titik checkpoint dipanggil Spirit Mirrors dan bukan sahaja berfungsi sebagai titik fast travel, malah menjadi pusat akses ke Storehouse, laluan pantas ke Practice Ground, serta hub utama untuk proses upgrade. Upgrade pula dibahagikan kepada tiga kategori:
- Equipment Enhancement meningkatkan tahap Sword, Gauntlet, dan Clothing untuk menaikkan stats seperti attack power dan health.
- Basic Skills berfungsi seperti skill tree di mana kita membelanjakan Power Stone untuk membuka skil baharu seperti Deflect, Reflex Combo, dan Chain Issen.
- Special Skills berfokus pada peningkatan Oni Armament dan Oni Vision.

Pemain tidak dipaksa mengikut urutan skill tertentu, yang membolehkan kita membuka skil mengikut citarasa dan playstyle sendiri. Oleh kerana setiap jenis item mempunyai had kapasiti simpanan yang ketat, kita perlu menggunakan Storehouse di Spirit Mirrors untuk menguruskan inventori lebihan.
Ujian pada Nintendo Switch 2

Kami turut meluangkan masa sekitar 10 minit menguji game ini pada Nintendo Switch 2, khususnya di kawasan Practice Ground. Prestasi terasa lancar sepanjang sesi tanpa sebarang frame drop besar.
Kami tidak dapat mencuba game ini pada senario lebih berat, tetapi cukup game bahawa game ini mampu beroperasi dengan baik pada konsol tersebut.
Pendapat Setakat Ini
Sangat jelas Capcom memberikan usaha bersungguh-sungguh untuk memodenkan Onimusha sambil mengekalkan elemen “oni samurai” yang menjadi identiti IP ini. Gabungan mekanik klasik seperti Issen dengan alatan baharu seperti Deflect dan Reflex memberikan ruang luas untuk pemain membina rentak combat mereka sendiri.
Tiga boss yang ditunjukkan setakat ini pun menyerlahkan musuh AI yang hebat dan reka bentuk persekitaran yang dinamik.

Eksplorasi agak linear dalam ujian kali ini, tetapi ganjaran yang dijanjikan untuk backtracking serta struktur hub di Kyoto menunjukkan potensi yang besar. Memandangkan ini hanyalah versi awal dengan skil yang telah dibuka, kita perlu menunggu versi penuh untuk menilai tahap kesukaran gameplay sebenar.
Walau bagaimanapun, selepas melihat betapa kemasnya sistem combat, persekitaran dunia, serta prestasi pada Switch 2, ada banyak sebab untuk para pemain dan peminat teruja.

Game ini akan dilancarkan pada 4 September 2026 untuk PlayStation 5, Xbox Series X|S, Nintendo Switch 2, serta PC menerusi Steam, Epic Games Store, dan Microsoft Store. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.



![[BIC2026] Selepas Fasa Bersama Sony, Misi Shuhei Yoshida Tertumpu Pada Memartabatkan Game Indie Global](https://cdn.gamersantai.com/2026/08/SHUHEI-YOSHIDA_BIC-GROUP-INTERVIU_FI-350x250.jpg)





Discussion about this post