Setelah tiga tahun dinanti-nantikan, Dynasty Warriors: Origins akhirnya hadir, memperkenalkan perubahan besar yang berani untuk siri ini. Kami berpeluang mencuba separuh daripada previu game ini, yang meliputi tiga bab secara keseluruhan, sebelum berhenti di pertengahan Chapter 2.
Berbanding demo Tokyo Game Show (TGS) yang hanya memberikan gambaran ringkas satu peringkat, previu yang lebih panjang ini menawarkan pengalaman yang lebih mendalam dan jelas tentang naratif dan gameplay yang ditawarkan.
Kisah Serba Baharu dengan Unsur Mitologi
Bab pertama memberi tumpuan kepada Shu dan Liu Bei sebelum melibatkan watak-watak penting lain seperti Cao Cao (Wei), Sun Jian (Wu), dan Dong Zhuo, yang menjadi fokus utama dalam Chapter 2.
Berbeza dengan siri sebelumnya yang lebih menekankan drama sejarah Three Kingdoms, Dynasty Warriors: Origins membawa kelainan dengan elemen naratif yang mengejutkan. Pemain mengambil peranan sebagai seorang pengembara, penjaga keamanan yang latar belakangnya perlahan-lahan terungkai sepanjang perjalanan.
Sebagai pengembara, pemain diberi kebebasan untuk memilih pihak mana yang ingin disokong. Elemen ini menjadikan pendekatan kali ini terasa segar dan berbeza.
Unsur mitologi yang diperkenalkan turut menambah misteri kepada perjalanan protagonis. Jalan cerita Zhang Jiao yang diluaskan lebih menarik, kerana ia tidak hanya mengupas sejarahnya tetapi juga mengaitkannya dengan latar belakang protagonis.
Naratif ini semakin menarik dengan kehadiran Zhuhe, seorang pembimbing misteri yang membantu pemain membuat keputusan penting.
Pendekatan ini mengingatkan kepada game seperti Nioh atau Wo Long: Fallen Dynasty, di mana protagonis memegang peranan penting dalam dunia yang kaya sejarah dan unsur supernatural.
Pengalaman Pertempuran yang Dinamik
Pertempuran dalam Dynasty Warriors: Origins masih mengekalkan aksi hack-and-slash yang menjadi identiti francais ini, namun kali ini turut disertakan elemen Soulslike yang lebih mencabar.
Pemain perlu lebih berhati-hati untuk menangkis (parry) dan mengelak serangan musuh, di mana beberapa serangan tidak boleh dihalang dan memerlukan kemahiran tertentu untuk mengatasinya. Malah, askar biasa kini jauh lebih agresif, sering melancarkan serangan yang ditidak boleh ditahan, menjadikan mereka lebih berbahaya berbanding musuh pasif dalam game sebelumnya.
Tambahan pula, askar pemanah dengan serangan jarak jauh mereka memberikan tekanan tambahan, memaksa pemain bertindak pantas sama ada mengelak atau bertahan.
Pertempuran bos pula membawa perubahan besar dengan meninggalkan formula tradisional melawan gelombang musuh sebelum menghadapi bos. Berdasarkan demo di TGS, kami menjangkakan pendekatan yang sama, tetapi kali ini pertempuran bos benar-benar berbeza.
Sebagai contoh, pertempuran menentang Zhang Jiao terasa seperti pertarungan dalam RPG aksi. Saya perlu mengelak serangannya dengan cermat, mencari peluang untuk menangkis, dan menyesuaikan diri dengan fasa kedua apabila serangannya menjadi lebih agresif dan sukar dijangka.
Selain jalan cerita utama, Origins turut menawarkan misi sampingan yang memberikan dimensi tambahan kepada game. Tugasan seperti menghapuskan kumpulan penjahat membolehkan pemain meningkatkan level watak dan memperoleh senjata langka.
Setelah bertemu dengan watak baru, mereka akan muncul di peta dengan kisah sampingan untuk diteroka. Menyelesaikan misi sampingan ini boleh membuka cabaran tambahan serta ganjaran menarik, menjadikan pengalaman gameplay lebih berbaloi.
Customisation: Skil, Senjata, dan Gaya Bermain
Origins menawarkan sistem customization watak yang solid. Kini, pemain boleh menyesuaikan watak utama mengikut gaya permainan yang mereka gemari. Skil boleh dibuka melalui Skill Tree, yang membolehkan pemain menguatkan watak mereka dan mempelajari abiliti baru.
Dengan menyelesaikan misi sampingan, pemain dapat membuka cabaran daripada watak lain, dan kejayaan dalam cabaran ini akan memberikan ganjaran berbentuk Skill Point. Selain itu, tahap penguasaan senjata tertentu akan membuka abiliti eksklusif.
Kami berpeluang mencuba lima jenis senjata—sword, spear, gauntlet, wheel, dan podao—yang masing-masing menawarkan gaya permainan unik. Sebagai contoh, gauntlet membolehkan kombo dinamik yang menggabungkan serangan biasa dan serangan charge dengan lancar.
Dengan sembilan jenis senjata secara keseluruhan, terdapat potensi besar untuk pelbagai strategi, diperhebatkan lagi dengan keupayaan menggabungkan abiliti dan customization senjata.
Tambahan pula, sistem crafting dalam game menggunakan Pyroxenes, yang boleh dikumpul untuk mencipta lima jenis permata: Oblivion, Vortex, Scorch, Wellspring, dan Ascendance. Permata ini memberikan kelebihan pasif, seperti permata Scorch yang meningkatkan damage sebanyak 10% selepas berjaya menangkis serangan musuh.
Walaupun kesan permata ini mungkin kelihatan sederhana dalam versi previu—berkemungkinan kerana level rendah —potensi sebenar mungkin akan menyerlah dalam versi akhir. Pemain juga boleh mengumpul Old Coin di seluruh peta, yang boleh ditebus untuk pelbagai ganjaran tambahan.
Penjelajahan Melalui Peta Dunia
Peta dunia baharu membawa perubahan besar dengan memperkenalkan elemen eksplorasi dalam Dynasty Warriors. Ia menampilkan titik fast travel, misi sampingan, serta item seperti Old Coin dan Pyroxene, memberikan lebih banyak fleksibiliti berbanding jalan cerita linear dalam game dahulu.
Penambahan ini membolehkan pemain mengumpul sumber, meningkatkan level, dan bersiap sedia sebelum meneruskan misi utama.
Sebagai contoh, jika anda menemui senjata yang kuat tetapi mahal, anda boleh mengumpul wang melalui aktiviti sampingan, membelinya, dan menjadikan perjalanan anda melalui misi utama lebih mudah.
Pemain juga boleh memilih untuk menyelesaikan tugas kecil atau memburu item, membentuk gaya permainan mereka sendiri sambil memperkuatkan watak. Bandar-bandar yang tersebar di seluruh peta menambah utiliti baharu, termasuk Inn untuk meningkatkan senjata dan abiliti, serta kedai untuk membeli atau menjual barang.
Pendekatan eksplorasi ini memberikan kebebasan kepada pemain untuk menikmati game mengikut rentak mereka sendiri. Secara peribadi, saya suka mengumpul sumber sebanyak mungkin sebelum meneruskan jalan cerita utama, menjadikan pengalaman lebih mudah dan menyeronokkan.
Masa Depan Cerah untuk Dynasty Warriors
Dynasty Warriors: Origins berjaya menggabungkan inovasi dengan identiti utama siri ini. Kembalinya sistem naratif berasaskan peringkat, digabungkan dengan peta dunia, memberikan nafas baharu kepada francais ini.
Pertempuran terasa lebih seronok, naratifnya lebih mendalam dan peribadi, manakala pilihan customization membuka ruang untuk eksperimen.
Satu-satunya kebimbangan saya adalah panjang cerita. Menurut penerbit, naratif akan berakhir di Battle of Red Cliffs, menimbulkan persoalan sama ada cerita ini mungkin terasa terlalu singkat. Namun, berdasarkan previu ini, perubahan dalam gameplay dan penambahan kandungan menjanjikan pengalaman yang kaya dan memuaskan.
Dynasty Warriors: Origins akan dilancarkan pada 17 Januari 2025 untuk PlayStation 5, Xbox Series, dan PC melalui Steam. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi di SINI.
@gamersantaimy
Discussion about this post