Kami baru-baru ini berpeluang menghadiri acara previu hands-off bagi DOOM: The Dark Ages | Revelations bersama Co-Studio Director and Game Director, Hugo Martin. DLC ini bermula tepat di titik kisah Slayer terhenti… dikhianati, dibuang, dan diseksa di Purgatory.
Berdasarkan apa yang ditunjukkan, gameplay kali ini terasa lebih ganas, padat, dan sangat menekankan aspek pergerakan ‘vertical’. Selain mendalami latar cerita, expansion ini turut menyatukan peringkat-peringkat retro daripada DOOM klasik ke dalam pengembaraan anda. Izinkan kami jelaskan apa yang kami belajar.
Apa yang Pemain Boleh Dijangkakan

Bukan expansion kecil biasa, Revelations direka sebagai satu pengalaman premium besar yang merangkumi kegemilangan 35 tahun sejarah DOOM. Kempen game ini menawarkan sekitar 10 hingga 12 jam masa bermain bergantung pada tahap kesukaran pilihan anda; menyamakan tempoh kedua-dua DLC DOOM Eternal jika digabungkan.
Walaupun masih mengekalkan ciri francais ini yang mudah dimainkan pada bila-bila masa, cabaran keseluruhan direka lebih tinggi berbanding game asas.
Anda boleh melaraskan tahap kesukaran melalui difficulty slider; namun seperti biasa dalam DOOM, anda perlu mahirkan setiap fungsi dan senjata dalam simpanan untuk kekal hidup dalam fasa endgame… terutamanya semasa menentang bos.

Selain combat, ada juga fokus pada aspek world-building melalui lambakan collectible dan halaman lore yang bertaburan di merata tempat. Jalan cerita akan terus memacu kita ke hadapan sambil membongkar sejarah rahsia Slayer dan mengenali siapa dirinya yang sebenar.
Sebagai satu kelainan, pemain akan dibawa masuk ke “Nightmare Levels”; iaitu satu perspektif gameplay baharu yang memberi penghormatan kepada era retro DOOM. Ini bukan sahaja Easter Egg, malah gameplay retro klasik juga disatukan ke dalam naratif silam Slayer sebagai Flynn Taggart.
Falsafah Combat dan Chain Spear

Teras combat masih mengekalkan aksi yang pantas dengan memfokuskan dual-wielding; senapang di sebelah tangan, dan alat utiliti di tangan sebelah lagi. Tangan kiri akan memegang Shield Saw serta senjata baharu yang dinamakan Chain Spear, di samping serangan melee biasa.
Gameplay loop yang biasa kita lihat masih dikekalkan: tembak iblis untuk melemahkan mereka, gunakan Shield atau Spear untuk mengeksploitasi kelemahan musuh, dan agresif menggunakan serangan melee untuk mengisi semula bekalan sumber anda.

Selain barisan senjata utama, expansion ini mengalihkan sebahagian besar tahap mekanikal dan ‘power progression’ ke tangan kiri anda. Kita boleh bertukar antara Shield Saw dan Chain Spear, membolehkan pemain menggabungkan kedua-duanya untuk menghasilkan kombo yang dahsyat.
Namun, tarikan utama DLC ini pasti adalah Chain Spear, di mana keseluruhan perkembangan kempen serta strategi late-game dibina di sekeliling senjata ini.
Walaupun boleh memilih untuk terus menggunakan Shield Saw atau fokus sepenuhnya pada tombak sahaja, memahirkan Chain Spear adalah sangat penting pada penghujung permainan bagi melepasi cabaran tahap tinggi seperti Master Arena.

Chain Spear mengubah tempo combat sepenuhnya dengan memperkenalkan sistem ‘high-mobility movement tech’, termasuk abiliti ‘dash’ dan ‘grappling hook’ yang membolehkan kita mengelilingi musuh.
Ini memberikan Slayer era Dark Ages yang berbadan tegap seperti kereta kebal satu momentum pergerakan yang lincah ala “kereta kebal terbang”. Tombak ini mempunyai mekanikal yang tinggi, memerlukan latihan untuk benar-benar dikuasai, serta dilengkapi dengan upgrade tree tersendiri yang luas.
Anda boleh menggunakannya untuk menikam, menghempas ke bawah (seperti Sentinel Hammer dalam Eternal), membalingnya dengan ketepatan sniper, atau mengelilingi sasaran.

Gerakan paling serba bolehnya ialah ‘slash’, yang mampu memecahkan perisai tebal, menuai sumber daripada musuh kecil, atau parry serangan melee serta projektil musuh dengan timing yang tepat. Senjata ini berfungsi seperti Shield Saw yang lebih pantas tetapi berisiko tinggi, lengkap dengan Glory Kill tersendiri pada iblis yang lebih besar.
Tambahan pula, sut perisai Slayer bermula dalam keadaan rosak pada awal kempen, bermakna kita perlu mencari upgrade khas sepanjang perjalanan untuk membina semula pertahanan.
Barisan Musuh

Setiap combat terasa seperti permainan catur yang pantas, dengan gabungan maut antara iblis baharu dan lama untuk menguji kemahiran serta senjata anda. Ancaman baharu paling utama ialah The Wizard, musuh lincah yang memberi buff kepada iblis lain dan mesti diburu dengan segera.
Musuh yang digeruni sebelum ini seperti Arch-Vile dan Pain Elemental turut kembali. Selain itu, anda akan berdepan variasi musuh yang lebih agresif dan dinaik taraf, termasuk Specter Whiplash, Purple Hell Knight, serta Zombie yang boleh meletup dan berfungsi sebagai ‘environmental hazard’.

Kempen, Endgame, dan Rahsia

Kempen dibahagikan kepada kandungan game asas dan Endgame, yang boleh diuruskan melalui Automap dengan menukar overlay objektif yang berbeza. Menurut Hugo Martin, misi cerita utama merangkumi sekitar 60% daripada keseluruhan game, manakala 40% selebihnya dikhaskan untuk bahagian Endgame.

Selepas menamatkan cerita utama, fasa Endgame akan terbuka untuk memperkenalkan cabaran Master Level dan laluan alternatif unik yang tersembunyi di sepanjangpermainan. Kandungan endgame ini termasuk:
- Pertarungan Praetor Suit: Arena cabaran yang sangat susah.
- Slayer Trials: Peringkat ala arked yang memfokuskan kepada pungutan mata tinggi dan teka-teki.
- Sumber Endgame: Peningkatan baharu untuk kelengkapan anda.
- Peringkat Retro: Peringkat klasik yang boleh dimainkan sepenuhnya, daripada game retro DOOM.

Sepanjang bermain kandungan Endgame, anda akan memperoleh Astral Key yang membuka laluan ke pertarungan Uber Boss yang sangat susah. Menewaskan bos ini akan memberikan Master Arena Key, lalu membuka empat Master Arena yang sangat sengit… direka khas untuk menguji had kemahiran pemain secara maksimum.
Ini merupakan pertarungan paling mencabar yang ditawarkan dalam game ini. Berjaya melepasi arena-arena terakhir ini akan membuka kandungan post-game di Ripatorium, termasuk naik taraf penuh tombak, peta tambahan, dan encounter preset.

Slayer’s Hub dan Lore

Slayer’s Hub menjadi pusat kepada keseluruhan pengembaraan in; ia sebuah kubu besar yang berfungsi sebagai penjara dari segi naratif. Hub ini dibina dengan reka bentuk berkonsepkan Metroidvania, menampilkan laluan rahsia serta teka-teki persekitaran yang akan berkembang seiring dengan kemajuan anda.
Bagi membantu kita menavigasi, objective wheel baharu disediakan untuk kita mencari dan menandakan cabaran tertentu.
Dari sudut cerita , bab ini merupakan bahagian yang lebih gelap untuk francais, dengan memaparkan bagaimana Slayer jatuh maruah selepas dilucutkan segala senjatanya, sebelum dia bangkit semula mengumpul kekuatan untuk mengubah dunia sekeliling.

Ripatorium dan Runut Bunyi

DLC ini juga memperkenalkan versi Ripatorium paling lengkap setakat ini iaitu Ripatorium 3.0. Ini merupakan mod ‘endless arena’ yang boleh diubah suai mengikut kehendak pemain, direka untuk sesi permainan pantas di mana anda boleh terus beraksi tanpa perlu memainkan kempen utama.
Ia dilengkapi dengan preset sedia ada untuk aksi serta-merta di samping senario combat yang sentiasa dikemas kini. Arena lawan tanpa henti ini diiringi dengan muzik heavy-metal hasil gubahan duo komposer Finishing Move, serta runut bunyi klasik oleh Andrew Hulshult.
Pendapat Setakat Ini

Walaupun combat dalam The Dark Ages mengekalkan impak yang berat dan penuh berkaedah, kehadiran Chain Spear mempercepatkan tempo aksi dengan drastik. Menggunakannya membuatkan kita berasa seperti sebuah “kereta kebal terbang”, berpaut dan meluru dari satu iblis ke iblis yang lain dalam sebuah tarian.
Musuh-musuh pun lebih berbahaya kali ini, yang bermakna kita perlu sentiasa agresif dan memahirkan setiap jenis senjata untuk terus hidup.

Di sebalik aksi yang rancak, latar naratifnya juga sama menarik. Melihat Slayer dilucutkan kuasa dan dicampak ke dalam Purgatory memberikan gambaran yang lebih gelap dan jarang dipaparkan melibatkan detik kerapuhannya sebelum dia bangkit semula dengan penuh amarah.
Expansion ini akan datang pada 7 Julai 2026 untuk PlayStation 5, Xbox Series X|S, dan PC (Steam, Microsoft Store). Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi.









Discussion about this post