The Pokémon Company telah secara rasmi mengesahkan bahawa Pokémon Pokopia akan menemui peminat pada 5 Mac 2026. Game ini akan dilancarkan secara eksklusif untuk konsol Nintendo Switch 2.
Projek ini merupakan sebuah kolaborasi antara pembangun siri utama Pokémon, Game Freak, dengan Koei Tecmo, studio yang dikenali melalui siri Dragon Quest Builders.
Membawakan genre life simulation, Pokémon Pokopia disamakan dengan siri popular Animal Crossing. Dalam game ini, pemain akan menggalas peranan yang istimewa, iaitu sebagai seekor Pokémon Ditto yang berupaya mengubah dirinya menjadi manusia.
Tugasan utama pemain adalah untuk mewujudkan sebuah persekitaran yang aman damai untuk Pokémon lain dengan cara mengumpul bahan mentah, mencipta pelbagai kelengkapan, serta mendirikan kediaman untuk mereka.
Satu perkara yang menarik perhatian komuniti pemain adalah keputusan untuk melancarkan edisi fizikal Pokémon Pokopia menggunakan format “game-key card”.
Berdasarkan penjelasan Nintendo melalui sebuah video, format baharu ini menjadikan kad fizikal tersebut sebagai kunci untuk memuat turun game dari eShop, yang mana sambungan internet diperlukan semasa proses pemasangan pertama kali.
Meskipun kad itu perlu sentiasa berada di dalam konsol untuk bermain, keseluruhan data permainan akan dipasang dan disimpan terus ke dalam memori konsol.

Peminat yang ingin melihat sendiri game ini tidak perlu menunggu lebih lama lagi. Ini kerana sebuah trailer baharu berdurasi sekitar 10 minit akan ditayangkan pada 13 November, jam 10:00 malam waktu tempatan Malaysia. Trailer tersebut akan disiarkan melalui saluran-saluran YouTube rasmi Pokémon.









Discussion about this post