APAC Predator League 2025 mempertemukan beberapa bakat terbaik dalam dunia esports, termasuk John “johnxfire” Nathan Fernandez dan Mike “MLPDotA” Le Phoenix, dua pengacara/caster yang amat dikenali dalam dunia Dota 2.
Sebagai pengacara Bahasa Inggeris rasmi untuk segmen Dota 2 dalam kejohanan ini, mereka membawakan gabungan casting bertenaga dan analisis mendalam kepada peminat di seluruh dunia. Dengan pengalaman mengacarakan acara besar seperti ESL One Stockholm Major 2022 dan The International 2022, sinergi dinamik ini menjadikan mereka pasangan pengacara kegemaran ramai.

Kami berpeluang bertemu dengan johnxfire dan MLPDoTA di MITEC, Kuala Lumpur, tempat berlangsungnya kejohanan tahun ini, untuk membincangkan perjalanan mereka, pandangan mengenai pertandingan, dan apa yang menjadikan APAC Predator League begitu istimewa.
“Makanan Malaysia Sungguh Lazat!”
Ditanya tentang pengalaman mereka dengan makanan Malaysia, MLPDoTA memuji tanpa henti: “Makanan di sini memang luar biasa. Saya sudah beberapa kali datang ke Malaysia dan sentiasa menghargai kualiti serta variasinya yang menakjubkan.”
Sementara itu, johnxfire, yang pernah tinggal lapan tahun di Singapura, berkongsi makanan kegemarannya: “Setiap pagi bila saya bangun, perkara pertama yang saya teringin adalah nasi lemak.”
johnxfire turut memuji keramahan orang Malaysia: “Malaysia mempunyai orang-orang yang sangat mesra. Kuala Lumpur begitu hidup berbanding kampung kecil saya. Salah satu kenangan yang menyeronokkan adalah ketika kami pergi ke taman tema di Times Square dan melihat pengacara lain terkejut di atas permainan!”
MLPDotA turut bersetuju, mengingati lawatan bulan madu beliau: “Orang di sini sangat ramah dan mesra. Geografi Malaysia juga sangat unik—seperti Genting Highlands, yang terasa seperti berada di pergunungan!”
Dari Pekerjaan Biasa ke Shoutcasting
Peralihan kerjaya MLPDotA berlaku kerana ketidakpuasan dengan pekerjaan biasa yang dijalani: “Saya jual segala-galanya, termasuk rumah saya, dan terus terjun ke dunia casting. Tak lama selepas itu, saya bertemu dengan John dan terfikir, ‘Kenapa tidak kita bekerjasama?’”
Bagi johnxfire, minatnya dalam dunia casting tercetus selepas menonton The International Dota 2 Championships 2013: “Pada mulanya, saya tidak terfikir untuk menceburi dunia casting, tetapi setelah bertemu dengan Mike, kami mula bekerjasama, dan ia terus serasi.” Semangat dan minat mereka terhadap Dota 2 dan dunia pengacaraan terus menguatkan kerjasama tersebut.

Bagi MLPDotA, salah satu cabaran terbesar adalah membina nama dalam arena antarabangsa: “Eropah mempunyai pilihan caster mereka sendiri, jadi untuk masuk dan dikenali di sana memang sukar.”
johnxfire turut merasakan perkara yang sama, mengimbas kembali pengalaman mereka di awal perjalanan: “Kami bermula dengan liga amatur—acara tanpa tajaan yang kami cast pada waktu siang. Untuk keluar dari situasi itu sangat mencabar.”
Walaupun melalui pelbagai kesukaran, kedua-duanya sepakat bahawa ketekunan dan usaha yang berterusan adalah kunci untuk berjaya dalam dunia casting esports.
Bagi MLPDotA, kunci kejayaan duo shoutcasting adalah jelas: “Keserasian antara kami sangat penting. Saya pernah melihat caster hebat yang tidak serasi, dan penonton boleh rasa perbezaannya. Bagi kami, segala-galanya dilakukan bersama—ia sangat terserlah.”
johnxfire bersetuju, menekankan bahawa kerjasama mereka yang panjang sudah membentuk sinergi yang kuat: “Keserasian yang baik membuatkan semuanya berjalan dengan lancar. Selepas tujuh tahun bersama, kami telah membina persahabatan yang kukuh, dan itulah yang membuatkan pengacaraan kami berkesan.”
Untuk MLPDotA, salah satu detik paling mencabar adalah ketika mereka mengendalikan marathon 18 jam sambil bergelut dengan jangkitan telinga: “Saya tidak dapat dengar apa yang John katakan, tetapi kerana keserasian kami, saya masih dapat menjaga aliran pengacaraan. Ia sangat gila, tapi kami berjaya.”
johnxfire pula mengimbas kembali satu detik yang tidak boleh dilupakan di The International: “Itu adalah permainan paling lama dalam sejarah TI. Satu lagi detik yang bersejarah ialah Grand Final lima permainan di China yang berlangsung selama lapan jam—sangat mendebarkan dan penuh dengan taruhan tinggi.”
Cara Mereka Mempersiapkan Diri untuk Shoutcasting
Untuk johnxfire, persediaan bermula dengan analisis pasukan: “Saya meluangkan banyak masa untuk menilai perlawanan terbaru, menganalisis strategi, dan memahami meta semasa. Saya juga mengkaji sejarah pemain dan menonton semula perlawanan untuk bersedia sepenuhnya.”
Sebaliknya, MLPDotA mengambil pendekatan yang lebih santai: “Saya mengaku, saya mempunyai tugas yang lebih mudah! Fokus saya lebih kepada memastikan kehadiran saya dan penampilan kacak.”
Namun begitu, kedua-dua caster bersetuju bahawa kunci untuk menghidupkan suasana perlawanan adalah dengan mengekalkan semangat dan mencipta naratif yang menarik. MLPDotA lebih gemar pola kemenangan A-B-A-B: “Ia lebih mudah untuk membina cerita menggunakan cara ini. Ia membantu mengekalkan ketegangan sepanjang siri.”
Sementara itu, johnxfire melihat kebaikan dalam kedua-dua format: “Jika sesebuah pasukan memulakan dengan 2-0, sebarang comeback akan terasa lebih dramatik. Tetapi untuk siri yang lebih seimbang, A-B-A-B lebih memberi keseimbangan dan memudahkan ketegangan berkembang secara semula jadi.”
johnxfire menganggarkan bahawa permainan terpanjang yang mereka pernah cast bersama adalah sekitar “118 hingga 120 minit.” MLPDotA bersetuju: “Ya, lebih kurang dua jam.”
Sebagai nasihat untuk mana-mana caster yang veraspirasi. MLPDotA menekankan kepentingan dedikasi: “Berusaha dan terus berlatih. Jangan terlalu keras pada diri sendiri, dan sentiasa cari maklum balas. Tenang, teruskan peningkatan, dan jangan takut untuk menonton semula ulangan.”
johnxfire pula menggalakkan pemula untuk mencuba casting: “Mike dan saya bermula dengan casting komuniti sebelum kami menjadi caster rasmi. Jangan takut untuk minta maklum balas—teruskan casting dan perbaiki diri.”
Apa yang Membuatkan Acer Predator League Istimewa
Sebelum menutup temu ramah, johnxfire menegaskan bahawa Acer Predator League mempunyai keistimewaan dalam menyatukan pelbagai wilayah: “Ia mengumpulkan pasukan yang jarang berpeluang untuk bersaing di pentas besar. Ini amat penting untuk menggalakkan bakat tempatan dan mempamerkan kepelbagaian di rantau APAC.”
MLPDotA pula menambah: “Saya suka melihat bakat baru muncul. Kejohanan ini sentiasa menyeronokkan untuk cast—saya suka menyebutnya sebagai ‘percutian’ kerana suasananya yang begitu menggembirakan.”
Bagi kedua-dua caster, kejohanan ini lebih daripada sekadar persaingan—ia adalah perayaan untuk dunia gaming dan bakat. Untuk perkembangan terkini tentang mereka berdua, anda boleh melayari media sosial johnxfire dan MLPDotA.
@gamersantaimy
Discussion about this post