ATLUS telah melancarkan laman web rasmi sempena ulang tahun ke-30 francais Persona, dan hal ini sudah cukup untuk menimbulkan pelbagai spekulasi di kalangan peminat di seluruh dunia.
Laman web yang baru dilancarkan hari ini memaparkan karya seni terbaharu daripada Shigenori Soejima, yang menampilkan kesemua protagonis daripada sejarah francais ini.
Lebih menarik lagi, laman web tersebut mengacah akan adanya info besar pertama pada 8 Januari, membuatkan kami tertanya-tanya apakah pengumuman yang bakal dibawa pada tahun 2026.
Francais Persona, yang sering diangkat sebagai salah satu wajah utama dalam genre JRPG sebaris dengan nama-nama besar seperti Final Fantasy, bermula pada tahun 1996 menerusi Revelations: Persona. Dalam tempoh tiga dekad, siri ini telah berkembang dengan lima judul utama, beberapa siri keluaran semula, serta spin-off.
Walaupun dekad yang lalu menyaksikan Persona 5 pada tahun 2016, kami masih menantikan game utama yang baharu; jadi sambutan ulang tahun ke-30 ini muncul sebagai detik harapan.

Pertama sekali, karya seni istimewa oleh Soejima telah menarik perhatian, terutamanya dengan kemunculan watak-watak daripada game Persona yang pertama.
Kehadiran mereka, setelah lama menyepi daripada sebarang bahan promosi, telah mencetuskan pelbagai teori dalam kalangan peminat mengenai kemungkinan port atau remaster versi moden untuk Revelations: Persona dan Persona 2.
Pelancaran semula judul-judul ini dengan grafik moden dan pembaharuan pada gameplay pasti akan mengujakan semua peminat. Namun, pihak ATLUS masih belum memberikan sebarang pengesahan rasmi.


Selain daripada kemungkinan remaster, harapan yang paling tinggi dalam kalangan peminat adalah pengumuman rasmi Persona 6 yang sudah lama dinanti-nantikan.
Kini setelah sedekad berlalu sejak Persona 5 dilancarkan – walaupun diisi dengan spin-off seperti Persona 5: The Phantom X – ramai yang berpendapat bahawa tahun 2026 merupakan tahun yang paling sesuai untuk ATLUS mengumumkan game utama mereka yang seterusnya.

Setakat hari ini, satu-satunya projek baharu Persona yang telah disahkan secara rasmi adalah remake Persona 4 Revival, yang diumumkan pada Jun 2025.
Meskipun maklumat mengenai projek ini masih lagi terhad tanpa sebarang tarikh pelancaran rasmi, besar kemungkinan pengumuman pada 8 Januari nanti akan mendedahkan butiran lanjut atau mungkin juga tarikh pelancaran untuk Persona 4 Revival.









Discussion about this post