Di Nintendo Direct minggu ini, Atlus mengejutkan kami semua sekali lagi apabila mengesahkan bahawa game utama seterusnya Persona 6, dan remake Persona 4 Revival akan dilancarkan di Nintendo Switch 2.
Selain dua pengumuman besar tersebut, Atlus turut mengumumkan tarikh pelancaran versi Switch 2 bagi RPG fantasi Metaphor: ReFantazio.
Persona 6
Semasa Atlus mendedahkan Persona 6 pada awal tahun ini, mungkin ramai pemain Nintendo berasa bimbang apabila Switch 2 tidak tersenarai antara platform yang disokong. Namun, Nintendo Direct terbaharu akhirnya menjawab keraguan tersebut menerusi teaser yang mengesahkan bahawa game ini memang akan hadir ke Nintendo Switch 2, di samping PlayStation 5, Xbox Series X|S, Steam, serta aplikasi Xbox di PC.
Game baharu ini membawakan jalan cerita serba baharu bersama barisan watak yang kita belum jumpa. Pemain boleh menjangkakan gameplay ikonik siri ini yang melibatkan kehidupan harian di sekolah, menjalinkan hubungan sosial, serta bertarung dalam alam ghaib yang penuh bahaya.
Bagi mereka yang lebih gemar bermain di PC, ada berita baik yang menjimatkan poket. Persona 6 disahkan akan tersedia sejak hari pertama di PC Game Pass dan Xbox Game Pass. Walaupun Atlus masih belum menetapkan tarikh pelancaran rasmi, sekurang-kurangnya berita tentang Switch 2 dapat melegakan hati segelintir peminat.
Persona 4 Revival
Mengikut jejak Persona 3 Reload, remake Persona 4 Revival membina semula pekan Inaba yang tenang dan siri pembunuhan aneh Midnight Channel dengan aset moden serta sistem dungeon crawling yang lebih kemas. Pemain akan menggalas watak pelajar yang baru dipindahkan sekolah, lalu perlu bekerjasama bersama rakan sekolah untuk membongkarkan misteri berkenaan.
Pelancarannya akan dibahagikan kepada dua fasa. Pertama, Persona 4 Revival akan dilancarkan di PlayStation 5, Xbox Series X|S, Steam, dan PC pada 18 Februari 2027. Pemilik Nintendo Switch 2 pula perlu menunggu kira-kira tiga bulan lagi pada 20 Mei 2027.
Pra-tempah digital sudah pun dibuka di PlayStation Store, Steam, dan Xbox. Pelanggan PC Game Pass serta Xbox Game Pass Ultimate juga akan mendapat akses bermula dari hari pertama pelancaran.
Metaphor: ReFantazio
Atlus mengesahkan bahawa Metaphor: ReFantazio akan membuat kemunculan sulung di Switch 2 pada 12 November 2026.
Dihasilkan oleh barisan pembangun veteran di sebalik Persona 3, Persona 4, dan Persona 5, Metaphor: ReFantazio menukar latar sekolah menengah Jepun kepada sebuah kerajaan zaman pertengahan yang berada di ambang kehancuran. Pemain akan menyertai pertandingan diraja demi merebut takhta, menyelesaikan pelbagai quest, membina hubungan dengan sekutu, serta memanfaatkan Archetypes sepanjang pengembaraan. Walaupun game ini sudah pun dilancarkan di PS5, PS4, Xbox Series X|S, dan PC, versi baharu ini membolehkan pemain menikmati pengembaraan di mana-mana sahaja. Pra-tempah sudah dibuka sebelum pelancarannya pada November nanti.









Discussion about this post