Capcom mengumumkan bahawa action RPG popular Monster Hunter Wilds akan dilancarkan di Nintendo Switch 2 pada 4 Disember 2026, dengan pra-tempah digital dibuka bermula 19 Oktober. Peminat survival horror juga tidak perlu menunggu lama, kerana remake untuk Resident Evil 2, Resident Evil 3, dan Resident Evil 4 akan tiba di platform ini lebih awal.
Asalnya dilancarkan untuk PlayStation 5, Xbox Series, dan PC pada Februari 2025, Monster Hunter Wilds membawa kita meneroka Forbidden Lands bagi mencari pemangsa apeks misteri yang dikenali sebagai “White Wraith”. Pemain boleh menggunakan 14 jenis senjata ikonik, sambil mengumpul bahan daripada raksasa untuk menghasilkan gear yang lebih kuat sepanjang pengembaraan.
Pelancaran di Switch 2 ini lengkap dengan kesemua kandungan Title Update yang pernah dikeluarkan sebelum ini. Ini bermakna pemain akan mendapat akses serta-merta ke Grand Hub, dapat buru Lagiacrus, serta jalan cerita kolaborasi bersama Final Fantasy XIV Online.
Kelebihan paling menarik terletak pada mod multiplayer. Game ini menyokong ciri local wireless play, membolehkan anda dan rakan-rakan menyambungkan konsol Switch 2 tanpa memerlukan sambungan Wi-Fi. Apabila pulang ke rumah pula, sokongan cross-play membolehkan anda bermain secara online bersama rakan yang bermain di PS5, Xbox Series, mahupun PC.
Edisi digital Standard Edition dijual pada harga RM135.90, tetapi pembeli awal boleh mendapatkannya pada harga diskaun RM101.92 sekiranya membuat pre-order antara 19 Oktober hingga 3 Disember 2026. Bagi yang menginginkan barangan tambahan, digital Gold Edition yang dimuatkan dengan pelbagai kosmetik add-on turut ditawarkan. Pengumpul game fizikal pula boleh mendapatkan Deluxe Edition versi kotak, yang mengandungi base game bersama kosmetik bonus. Selain itu, Prologue Demo percuma akan datang ke eShop sebelum hari pelancaran, memberi peluang kepada pemain menguji game ini terlebih dahulu.
Sokongan Capcom untuk Switch 2 tidak terhenti di situ sahaja. Remake bagi Resident Evil 2, Resident Evil 3, dan Resident Evil 4 akan tiba secara digital di Switch 2 pada 16 Oktober 2026. Bagi mereka yang lebih gemar kartrij fizikal, salinan fizikal akan datang pada awal tahun depan, iaitu pada 29 Januari 2027.









Discussion about this post