Dalam satu podcast baru-baru ini, penulis dan pengarah Ryan Coogler telah berkongsi maklumat mengenai skrip asal untuk filem sekuel Black Panther 2. Ia merupakan sebuah kisah yang berpusat pada hubungan T’Challa dengan anaknya, yang dirancang sebelum pemergian pelakon utamanya, Chadwick Boseman.
Plot asal itu jauh berbeza daripada naratif “Black Panther: Wakanda Forever,” yang ditulis semula untuk memberi penghormatan kepada Boseman selepas kematiannya pada Ogos 2020.

Boseman, yang berjuang melawan kanser kolon secara senyap selama empat tahun, meninggal dunia pada usia 43 tahun.
Beliau pertama kali menghidupkan watak T’Challa dalam filem “Captain America: Civil War” pada tahun 2016 dan membawa semula watak tersebut dalam “Black Panther” (2018), “Avengers: Infinity War” (2018), dan “Avengers: Endgame” (2019).
Rakaman arkib telah digunakan untuk kemunculannya dalam “Black Panther: Wakanda Forever” (2022).
Bercakap dalam podcast “Happy Sad Confused“, Coogler mendedahkan bahawa beliau telah menyiapkan draf setebal 180 muka surat untuk Black Panther 2. Beliau berharap agar Boseman dapat menyemaknya, tetapi pelakon itu terlalu sakit untuk membacanya.

Konsep awal untuk “Black Panther 2” ialah sebuah kisah selepas “peristiwa Blip” yang melihat kepulangan T’Challa selepas kehilangan selama lima tahun berikutan peristiwa “Avengers: Endgame.” Tema utamanya adalah perjalanan beliau untuk berhubung semula dengan anaknya, Toussaint, yang tidak mempunyai ingatan tentangnya.

“Dalam skrip itu, T’Challa ialah seorang bapa yang terpaksa ‘hilang’ selama lima tahun dari kehidupan anaknya,” kata Coogler sebelum ini kepada The New York Times. Filem itu sepatutnya dimulakan dengan sebuah babak animasi yang memaparkan Nakia (Lupita Nyong’o) menceritakan kisah tentang Black Panther.
Cerita itu kemudian akan beralih ke hari “pembalikan Blip”, menunjukkan T’Challa bertemu dengan anaknya buat kali pertama.

Naratif kemudian akan melonjak ke hadapan tiga tahun, menggambarkan T’Challa sedang berusaha menjalakan tanggungjawab sebagai seorang bapa. Tajuk filem itu ialah “Summer Break,” yang berkisar tentang musim panas yang diluangkan oleh putera muda itu bersama bapanya.
Elemen penting dalam filem ini ialah “Ritual of Eight”, sebuah tradisi Wakanda di mana seorang putera raja berusia lapan tahun mesti menghabiskan masa selama lapan hari di dalam hutan bersama bapanya tanpa sebarang alatan. Dalam tempoh itu, si putera boleh bertanya apa sahaja soalan, dan bapanya wajib menjawab dengan jujur.

Ritual untuk mengeratkan hubungan ini sepatutnya diganggu oleh serangan daripada Namor. “Dia terpaksa berdepan dengan seseorang yang sangat berbahaya, tetapi disebabkan ritual ini, anaknya perlu sentiasa berada di sisinya sepanjang masa,” jelas Coogler.
Ini akan mewujudkan satu senario berisiko tinggi di mana T’Challa terpaksa menyelamatkan dunia dengan anaknya di sisi. “Ia sangat gila, dan Chad pasti akan melakonkannya dengan hebat,” tambah Coogler.

Pemergian Boseman memberi kesan kepada Coogler dan hala tuju francais ini. Skrip tersebut telah ditulis semula sepenuhnya untuk kematian T’Challa, dengan mengalihkan fokus kepada adiknya, Shuri (Letitia Wright), yang bergelut dengan kesedihan dan akhirnya menggalas identiti Black Panther.

Melangkah ke hadapan, Coogler telah disahkan akan mengarahkan “Black Panther 3.” Walaupun butirannya masih terhad, telah disahkan bahawa Denzel Washington akan menyertai barisan pelakon sebagai watak yang belum diumumkan.
Filem ini dijangka tidak akan ditayangkan dalam masa terdekat, di mana beberapa laporan mencadangkan tarikh tayangan pada tahun 2028, iaitu selepas berakhirnya Multiverse Saga dalam MCU.









Discussion about this post