Hai semua! Saya Amir Haziq, dan merupakan pelajar semester 8 dari kursus Digital Game Design di Universiti Pendidikan Sultan Idris, atau lebih dikenali sebagai UPSI. Sekarang ini saya sedang menjalani latihan praktikal di Gamer Santai sebagai seorang intern Jurnalis selama enam bulan sejak dari bulan Mac yang lalu. Mesti ramai nak tahu kan macam mana kerja intern Jurnalis ni? Ianya sama seperti wartawan yang menulis di surat khabar, cuma bezanya disini, kami berkongsi berita mengenai dunia game.
Gamer Santai
Sebelum itu, saya nak kongsi dengan pembaca apa itu Gamer Santai? Gamer Santai merupakan sebuah platform media dimana mereka menyediakan pelbagai info serta berita terkini mengenai dunia game, anime, manga, e-Sukan dan juga gadget dari dalam dan luar negara dengan menggunakan Bahasa Malaysia yang lebih santai untuk pembaca mereka. Ianya ditubuhkan oleh pengarah, Sean Lim iaitu pemilik kepada Digital Braves Media Group dan dua lagi media iaitu GamerBraves untuk Bahasa Inggeris dan Wanuxi untuk Bahasa Cina serta GamerWK dari Indonesia
Sesi temuduga yang membuka mata
Baiklah, saya akan kongsikan dengan anda, perjalanan saya dari mula sesi temuduga, sehingga menjadi salah seorang ahli dalam Gamer Santai. Saya telah ditemuduga oleh Sean Lim pada bulan Disember dan sesi itu membuatkan saya jadi teruja untuk mendalami dunia industri permainan video sebagai seorang intern Jurnalis. Pada mulanya, saya sangkakan yang saya tidak berjaya temuduga tersebut kerana banyak perkara yang saya masih kurang tahu mengenai selok belok dunia game ini. Dengan peluang yang diberikan ini, saya mula nekad untuk membuat “ulang kaji” mengenai Gamer Santai seperti cara penulisan mereka, proses kerja dan kandungan yang mereka berikan kepada pembaca.
Perjalanan sebagai seorang Internship
Hari pertama praktikal saya bermula pada 8 Mac 2021, dan saya diletakkan di bawah pemantauan Nyny.A (ketua pasukan Gamer Santai), iaitu selaku pengurus sepanjang saya dalam tempoh latihan praktikal dan bekerja bersama Razin Syafiq (senior jurnalis Gamer Santai). Saya telah diberikan akses sebagai admin, diajar cara menguruskan halaman Facebook Gamer Santai dan perkara asas dalam menulis sebuah artikel, serta diberikan tugasan pertama, iaitu membuat artikel mengenai DLC Dragonball. Sebagai seorang pelajar design, ianya sedikit sukar bagi saya kerana semasa belajar, saya tidak diajar untuk menulis artikel berita. Namun, saya tolak tepi pemikiran negatif tersebut dan mencuba belajar ilmu baru untuk menyiapkan tugasan yang diberikan.

Semasa minggu pertama dan kedua latihan intern ini, saya banyak didedahkan dengan cara penulisan yang betul dan lebih kasual, memahami isi sebuah berita dan menyiapkan tugasan dalam masa yang ditetapkan. Tugasan saya banyak dipantau oleh Kak Nyny serta Razin, dan mereka cuba melatih saya supaya dapat menghasilkan artikel yang terbaik. Bak kata pepatah melayu, “buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan, saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan”.

Selain dari belajar menulis artikel berita, saya juga diajar cara untuk menulis artikel review, iaitu menceritakan pandangan pertama mengenai Digimon Digital Vital Bracelet. Razin banyak memberi tunjuk ajar dari segi pengolahan ayat, mengajar format penyampaian penulisan lebih kasual dan menerangkan cara menyempurnakan artikel tersebut. Saya juga turut diberi pendedahan mengenai peranti tersebut oleh Ben dari GamerBraves, seperti cara ianya berfungsi dan berkongsi pengalamannya dalam menggunakan peranti tersebut.
Cabaran yang datang bukan penghalang

Tipu la kalau saya kata tiada cabaran sepanjang beberapa minggu menjalankan latihan praktikal di Gamer Santai. Antara cabaran yang saya hadapi adalah perlu sentiasa peka dengan setiap tugasan yang diberikan dan perlu mengejar masa untuk menyiapkan sesebuah artikel. Ada ketika saya membuat kesilapan yang menyebabkan saya perlu menulis semula artikel tersebut dan lewat dalam menyiapkannya. Pernah juga saya mengambil masa yang terlalu lama untuk menyiapkan sesebuah artikel dan menyebabkan gangguan pada jadual yang ditetapkan oleh Kak Nyny.
Pernah ada ketika saya berasa kecewa kerana gagal menyiapkan sesuatu tugasan dengan baik. Namun, Kak Nyny dan Razin selalu memberi sokongan moral dan nasihat serta menaikkan keyakinan saya. Senang kata, saya beruntung mendapat rakan sekerja dan mentor yang bukan sahaja tidak lokek berkongsi ilmu. Malah sentiasa memberi sokongan dan membimbing saya dalam apa jua aspek, tidak kira bab kerja ataupun kehidupan seharian.
Pengalaman membuat review game

Berbalik kepada bahagian review, saya telah banyak diberi tugasan menulis review game dari pelbagai jenis platform dan genre sepanjang 13 minggu saya bersama Gamer Santai. Antara review yang telah saya tulis seperti The Nioh Collection, Yakuza: Like a Dragon, Outriders, Devil May Cry: Pinnacle of Combat, dan Total War: Rome Remastered. Saya turut merasai pengalaman menyertai ujian beta game seperti Naraka: Bladepoint dan Diablo Immortal dan memberikan pandangan saya sendiri mengenai game tersebut. Saya juga diberikan peluang sebagai “person in charge” dalam membuat review mengenai MotoGP 21. Ianya merupakan pengalaman menulis review yang paling menyeronokkan kerana dapat berkongsi dengan pembaca tentang game experience dan analisis dari saya sendiri.

Kerja luar waktu
Tambahan pula, saya dapat merasai tugasan luar dari pejabat, iaitu menguruskan booth pengedaran tiket untuk tayangan perdana Mortal Kombat di TGV One Utama. Sebagai seorang kaki wayang yang telah setahun tak menjejakkan kaki ke panggung wayang, tidak sangka saya dapat merasai semula suasana tersebut semasa keadaan pandemik ini. Saya turut ditugaskan untuk menulis review tanpa spoiler mengenai filem Mortal Kombat, dan ianya merupakan review filem saya yang pertama. Tak sabar untuk diberikan peluang seperti ini lagi apabila masalah pandemik ini reda nanti.

Selain dari itu, di Gamer Santai ini, saya turut diajar cara kerja sebagai seorang jurnalis melalui menjaga sesi siaran media untuk produk berjenama yang bakal dilancarkan seperti ROG, Acer dan MSI, membuat liputan mengenai acara game seperti Square Enix Present, Resident Evil Showcase dan Monster Hunter Digital Event. Di sini saya belajar untuk sentiasa menyediakan liputan terkini dengan cepat untuk pembaca walaupun acara tersebut berlangsung pada pukul 4 pagi.
Apa yang dipelajari?

Banyak perkara yang telah saya belajar tentang dunia game dan cara kerja sebagai seorang intern jurnalis sepanjang 13 minggu saya menjalani latihan praktikal di Gamer Santai. Malah, saya turut didedahkan dengan pelbagai ilmu baru seperti bahagian teknologi mengenai perkakasan PC, laptop dan telefon pintar, serta perkembangan mengenai e-Sukan di Malaysia termasuk juga di luar negara. Saya menganggap pengalaman latihan praktikal ini seperti kerja dan mengambil segala peluang yang diberikan untuk belajar benda baru setiap hari. Setiap kali menulis artikel berita mengenai apa yang berlaku dalam dunia game, saya dapat lihat industri ini sangat laju bergerak ke arah kemajuan hari demi hari. Walaupun mungkin kerja nampak banyak, tapi dengan teknik yang betul dan minat untuk mendalami sesuatu perkara, pasti tidak akan ada banyak masalah.
Dari sudut pandangan sebagai seorang pelajar pula, saya dapat belajar banyak perkara baru yang tidak pernah diajar sepanjang saya di universiti. Pendedahan ini membuatkan saya lagi bertambah bersemangat untuk terus mempelajari perkara baru di Gamer Santai dan sentiasa ingin mengambil pelbagai peluang bagi menambahkan kemahiran dan meningkatkan kualiti kerja.
Penutup
Bagi anda yang mempunyai minat dengan dunia gaming, suka membaca dan menulis, serta ingin meneroka industri permainan video dengan lebih mendalam, saya syorkan anda untuk mencari bidang jurnalis kerana ia sangat membuka mata dan minda anda sebagai seorang pencinta game. Kepada yang berminat untuk menyertai team Gamer Santai, anda boleh menghantar email resume bersama artikel berkaitan gaming melebihi 800 patah perkataan ke pautan ini.
Saya harap perkongsian pengalaman latihan praktikal saya sebagai intern jurnalis ini dapat menarik minat anda untuk meneroka dunia gaming dan terus menyokong Gamer Santai sebagai media perkongsian permainan video di Malaysia.
@gamersantaimy
Discussion about this post