Siri Total War merupakan game genre war-strategy yang dibangunkan oleh Creative Assembly bermula tahun 2000 lagi. Sejak dari itu, Total War kini telah memiliki 14 siri game seperti Total War: Shogun, Total War: Rome, Total War: Warhammer, Total War: Three Kingdoms dan yang terbaru, Total War: Warhammer III. Pada hujung April yang lalu, Creative Assembly telah mengeluarkan edisi Remastered untuk Total War: Rome di Steam, dan saya telah berpeluang untuk mencuba sendiri game tersebut.
Ini adalah kali pertama saya bermain Total War, tetapi elemen dalam game ini memudahkan pemain baru seperti saya untuk jadi tertarik bermainnya. Tanpa berlengah lagi, jom baca review mengenai pengalaman saya bermain Total War: Rome Remaster!
Menu
Apabila pemain memasuk game launcher, anda akan diberi pilihan tiga pilihan di menu, iaitu bermain game Rome Remastered atau memilih dua kandungan DLC, iaitu Barbarian Invasion dan Alexander. Di ruang menu ini juga, pemain boleh melakukan setting pada game, tetapi tidak banyak pilihan yang tersedia. Setting yang tersedia di ruang menu adalah anda boleh menukarkan resolusi skrin, atau menetapkan skrin game kepada full screen atau window mode.
Dalam Total War: Rome Remastered ini, pemain boleh menukar tetapan resolusi skrin kepada kualiti 4K. Tetapi, untuk mendapatkan fitur ini, anda perlu memuat turun “Enhance Graphic Pack” game bagi meningkatkan kualiti ke resolusi 4K.
Kualiti grafik yang telah ditingkatkan
Sebagai versi Remastered, Total War: Rome, telah mendapat peningkatan kualiti grafik yang sangat bagus untuk siri ini. Game tersebut bukan sahaja mempunyai pemandangan visual yang telah dipertingkatkan, malah model karakter sebelum ini juga turut mendapat peningkatan. Namun, dari segi interface game ini, mungkin agak sedikit mengecewakan pemain.
Walaupun game ini telah direka semula, tetapi grafik visualnya boleh dikatakan hampir seperti versi di mobile. Namun, bagi saya ianya tidaklah teruk mana kerana ia nampak lebih ringkas dan pemain boleh mencari fungsi di skrin dengan mudah semasa bermain.
Mekanisme game masih kekal sama
Walau bagaimanapun, disebabkan Total War: Rome Remastered adalah sebuah game strategi, mekanisme in-game masih lagi sukar, dan game ini memerlukan pemain untuk membaca penerangan mekanisme tersebut. Informasi tentang mekanisme ini lebih kurang sama dengan database, jadi pemain boleh menekan hujung kiri skrin atau di ruangan menu untuk membacanya.
Sebagai salah satu siri game Total War, dan juga versi remaster dari Total War: Rome, game ini masih mempunyai format yang sama, dimana pemain perlu menjaga wilayah mereka, menghantar pegawai diplomat dan menghantar pasukan peninjau untuk bekerja. Anda juga perlu membentuk pasukan tentera untuk menakluki wilayah lain dan melaksanakan tugas sebaik mungkin bagi memuaskan hati Senator.
Untuk tugas memuaskan hati senator itu sebenarnya tidaklah penting mana, kerana misi Senator mempunyai masa yang terhad dan pemain perlu menyiapkan misi-misi ini sebelum ia tamat. Tetapi jika anda berjaya menyelesaikan tugas tersebut, Senator akan menganjurkan karnival sempena dengan nama anda.
Tambahan pula, mekanisme game ini mungkin agak rumit bagi mereka yang tidak biasa dengan genre strategi seperti Total War. Pemain perlu membina kota untuk komuniti dan memastikan mereka dalam keadaan selamat serta menggunakan tentera bagi menjaga keamanan kota tersebut dari ancaman musuh.
Selain dari memastikan keselamatan komuniti, anda juga perlu menjaga tahap kepuasan mereka, kerana ini akan menyebabkan kota anda menjadi huru-hara. Pemain boleh menetapkan cukai kepada komuniti, tetapi perlu la mengawal kadar cukai itu. Kalau tidak, tahap kepuasan komuniti akan menurun dan mereka akan mula mogok. Tapi jangan risau, sebab pemain boleh serahkan tugas ini kepada AI untuk memudahkan perjalan game mereka.
Untuk urusan hubungan luar dalam Total War: Rome ini, anda akan memegang peranan sebagai pegawai diplomat untuk membuat rundingan dan pakatan secara diplomatik. Pemain juga boleh menghantar pasukan tentera untuk menyerang dan menaklukan daerah musuh. Dari sini, anda akan menggunakan pasukan peninjau untuk menyelinap ke kota musuh dan mengumpulkan segala maklumat bagi mengenal pasti kelemahan tempat mereka. Jika pasukan peninjau berjaya memasuki kota dengan selamat, mereka boleh membuka pintu untuk tentera anda masuk dan menyerang terus tempat tersebut.
Sama juga seperti siri game yang lain, pemain boleh mengawal tentera dan setkan formasi untuk mereka berperang. Setiap unit mempunyai kelebihan dan kekurangannya tersendiri, jadi anda perlu bijak untuk mengatur formasi sebaik mungkin mengikut ciri-ciri unit bagi memudahkan serangan. Selepas formasi diatur, pemain akan diberi pilihan sama ada untuk menyerang musuh terus atau memilih waktu yang sesuai untuk menyerang mereka.
Dari segi AI musuh, ia tidak memuaskan hati saya sebagai pemain kerana ketika membuat serangan di kota musuh, mereka seperti hanya menyerang secara buta-buta saja dan tidak mencabar pasukan tentera saya. Ada ketika, anda akan perasan yang musuh hanya berdiri tegak dan membiarkan diri mereka diserang tanpa membuat serangan balas. Ini menyebabkan saya rasa kurang cabaran ketika melakukan misi penaklukan kota musuh.
Penutup
Total War: Rome Remastered mempunyai banyak peningkatan, terutama dari segi grafik, pemandangan dan model. Namun, dari segi reka bentuk UI game ini kurang memuaskan, tetapi ia telah memudahkan pemain untuk mencari dan menggunakan fungsi yang ada di in-game.
Dari segi gameplay pula, ianya tidak mempunyai banyak perbezaan dari siri Total War: Rome yang asal. Ianya masih lagi mengekalkan gameplay membina penempatan, menjaga keamanan komuniti, mengutip hasil cukai, membuat hubungan diplomatik dengan kota lain dan juga menakluki kawasan baru menggunakan pasukan tentera.
Game ini mempunyai terlalu banyak teks informasi yang perlu pemain baca, bermula dari tutorial sehingga ke maklumat semua karakter yang ada dalamnya. Walaupun anda jenis yang suka membaca, tetapi ianya mungkin buatkan anda jadi rimas kerana terlalu banyak informasi yang perlu dihadam. Mungkin ianya lebih baik sekiranya mekanisme game ini boleh dijelaskan dengan cara yang lebih ringkas dan padat untuk pemain mereka.
@gamersantaimy
The Review
PROS
- Grafik makin canggih
CONS
- AI musuh yang tidak mencabar
- Terlalu banyak teks informasi ditunjukkan dalam skrin dalam satu masa
Discussion about this post