Fame life simulation santai “Pokémon Pokopia” telah dilancarkan sejak 5 Mac untuk Nintendo Switch 2. Sempena pelancaran ini, The Pokémon Company telah menganjurkan sebuah acara jelajah bernama Pokémon Truck Experience, yang kini sedang bergerak ke seluruh Malaysia untuk memberi peluang kepada peminat di Lembah Klang mencuba game ini secara langsung.

Konsepnya cukup mudah difahami… sebuah trak akan berhenti di pusat membeli-belah popular di sekitar kawasan dan mengubah ruang di sekelilingnya menjadi zon bertema Pokémon Pokopia yang lengkap dengan game, tempat bergambar, dan demo secara hands-on.
Hari ini, kami dijemput untuk melihat sendiri acara ini di Sunway Pyramid dan merasai pengalaman tersebut dari dekat.
Trak Ungu Besar Serupa Ditto
Trak ini diletakkan di Level G berhampiran Orange Entrance Sunway Pyramid, dan jujurnya, memang mustahil untuk terlepas pandang.

Seluruh kenderaan ini dicat dengan warna ungu yang terang dan jelas terinspirasi daripada Ditto… siap ada muka Ditto yang comel di bahagian hadapan lagi. Di bahagian sisi trak pula, ada skrin besar yang memaparkan trailer Pokémon Pokopia, yang secara semula jadi menarik orang ramai untuk datang dan lihat apa yang sedang berlaku.

Kru acara pun turut menghayati tema tersebut di mana semua yang menyambut pengunjung memakai sun visor bertema Pokémon Pokopia. Walaupun kami ke sana pada waktu tengah hari biasa pada bulan Ramadan, kawasan tersebut masih meriah dengan orang yang singgah untuk melihat trak dan mencuba pelbagai aktiviti.
Beratur untuk Main
Anda tidak boleh terus masuk ke dalam trak begitu sahaja. Pertama sekali, anda perlu scan QR code di kawasan acara untuk mendaftar. Selepas itu, anda akan diberikan nombor giliran yang dipaparkan di skrin digital berdekatan.

Sistemnya agak lancar. Anda boleh semak skrin pada bila-bila masa untuk lihat giliran, dan sementara menunggu, anda bebas berjalan-jalan dan singgah di gerai serta mencuba aktiviti lain yang disediakan di sekitar trak.

Ada juga sun visor kertas boleh lipat yang boleh diambil selagi stok masih ada. Tiga reka bentuk ditawarkan: satu bergambar Pikachu, satu bergambar Peakychu (varian khas unik dalam Pokémon Pokopia), dan satu lagi bergambar Ditto.
Banyak Aktiviti Untuk Buat Sambil Menunggu
Ada beberapa aktiviti yang disediakan di kawasan sekitar untuk memastikan pengunjung tidak bosan sambil menunggu giliran masing-masing.

Salah satu yang paling menarik perhatian ialah photo booth bertema Pokémon Pokopia, di mana kita boleh bergambar dengan standee watak-watak dari game ini. Professor Tangrowth ada di situ, bersama watak-watak kegemaran ramai seperti Squirtle.

Ada juga stesen mewarna di mana anda boleh pilih lukisan Pokémon dan warnakan menggunakan marker yang disediakan. Aktiviti ini sangat popular dengan kanak-kanak, dan ia memang sesuai dengan suasana santai dan kreatif yang Pokémon Pokopia cuba sampaikan.

Satu lagi gerai membolehkan kita mencuba game Nintendo yang lain, termasuk Mario Kart World dan Donkey Kong Bananza. Bermain game-game ini akan menghadiahkan pelekat Pokémon Pokopia yang berbeza kepada si tukang cuba, jadi memang ada sebab kukuh untuk anda mencuba semua aktiviti yang ada di acara tersebut.
Suasana Di Dalam Trak
Bila nombor giliran dipanggil, barulah anda boleh masuk ke dalam trak.

Bahagian dalam trak disusun macam sebuah gaming lounge kecil tetapi selesa. Anda duduk atas bean bag di hadapan TV yang disambungkan kepada Nintendo Switch 2 yang dipasangkan dengan Pokémon Pokopia. Di dalam trak juga ada dua unit penghawa dingin, jadi trak kekal sejuk dan selesa walaupun orang keluar masuk sepanjang hari.

Setiap sesi berlangsung lebih kurang 15 minit. Memang tidak lama, tapi cukup untuk anda dapat “merasa” game ini.

Staf akan membimbing kita sepanjang demo dan memberi tip di sepanjang jalan. Ada orang mungkin lebih suka terokai sendiri, tapi memandangkan masa yang terhad, bimbingan ini sebenarnya memang masuk akal. Ia membantu kita melepasi asas-asas dengan cepat supaya anda boleh merasai pelbagai bahagian game sebelum masa habis.
Pengalaman Bermain dalam Masa Singkat
Demo ini memberi gambaran kecil tentang apa yang Pokémon Pokopia tawarka; iaitu membiarkan kita membentuk dunia yang damai secara perlahan-lahan sambil membina hubungan dengan teman Pokémon.

Kita boleh berinteraksi dengan watak-watak Pokémon, bantu mereka dengan tugasan kecil, dan mencuba sistem building serta eksplorasi dalam game. Walaupun hanya dalam masa 15 minit, suasana santai dalam game ini terasa dengan jelas.

Selepas sesi tamat, kami menerima satu set pelekat Pokémon Pokopia. Dan memandangkan gerai aktiviti lain juga turut mengedarkan pelekat, anda boleh pulang dengan koleksi yang agak banyak kalau cuba semua tiga stesen game di acara tersebut.
Satu Perkara yang Kami Terlepas
Ada satu bahagian acara yang kami tidak sempat tengok iaitu persembahan maskot Pikachu.
Staf memberitahu kami bahawa maskot Pikachu akan membuat penampilan khas semasa sesi hujung minggu. Oleh kerana kami datang pada hari biasa, kami tidak berpeluang untuk menonton persembahan tersebut.
Kalau anda bercadang untuk pergi pada hujung minggu, kemungkinan besar anda boleh tengok maskot Pikachu beraksi dan berinteraksi dengan peminat.
Berbaloi Dikunjungi Kalau Anda Ada di Kawasan Ini
Secara keseluruhan, Pokémon Truck Experience adalah cara yang menyeronokkan untuk mengenali Pokémon Pokopia.

Demo-nya memang pendek, itu tidak dinafikan, tapi segala-galanya di sekeliling (seperti hiasan bertema, aktiviti, dan barangan koleksi) semuanya bergabung untuk membuatkan lawatan ini terasa seperti acara yang betul-betul berbaloi.
Trak ini menangkap semangat santai dan mesra game ini sambil memberi peluang kepada orang ramai untuk duduk dan bermain sendiri.

Kalau anda berada di mana-mana sahaja di Lembah Klang, ini adalah cara yang kreatif untuk meraikan Pokémon Pokopia… dan satu alasan yang baik untuk melangkah seketika ke dalam dunia Pokopia, walaupun hanya untuk beberapa minit.
Kalau anda belum sempat pergi, pantau sahaja media sosial Pokémon Malaysia untuk jadual terkini dan lokasi akan datang.









Discussion about this post