Diumumkan pada bulan Mei yang lalu semasa acara Xbox 2020, Scarlet Nexus adalah action RPG gaya anime dari Bandai Namco Studios, yang bakal dilancarkan untuk konsol generasi sekarang dan generasi baru. Sebelum pelancaran rasmi, kami dari GamerSantai berpeluang untuk mencuba ARPG akan datang ini, dan merasakan sedikit gameplay asas dari permainan penuh. Selepas mencuba beberapa jam, saya ingin menerangkan apa yang bakal kamu rasa apabila permainan ini keluar. Inilah pandangan pertama Scarlet Nexus saya! Jom kita mulakan!
Latar belakang & naratif
Scarlet Nexus kebanyakannya berlangsung di New Himuka. Pemain akan mengawal dua watak – Yuito Sumeragi dan Kasane Randall, di mana kedua-duanya merupakan anggota Other Suppression Force (OSF) dan mempunyai keperibadian yang sangat berbeza. Yuito adalah rekrut OSF yang muda, cerdas dan positif. Dia adalah anak kedua dalam keluarga Sumeragi, sebuah keluarga berprestij yang nenek moyangnya adalah pengasas kepada New Himuka. Ketika masih kecil, dia hampir dibunuh oleh seekor Other tetapi diselamatkan oleh OSF, lantas memberi inspirasi kepadanya untuk mempertahankan kota.
Kasane pula bersikap dingin, penuh keyakinan, dan tidak peduli dengan orang di sekelilingnya. Sebagai askar elit dengan kemahiran pertempuran yang hebat, dia diperhatikan oleh OSF dan lulus di kedudukan tertinggi dalam kelasnya. Hakikatnya, Kasane kehilangan kedua ibu bapanya semasa serangan Other ketika masih muda dan diambil sebagai anak angkat oleh keluarga Randall, sebuah keluarga dengan kuasa militari yang besar. Hubungannya dengan ibu bapa angkatnya agak rumit, tetapi dia mempunyai hubungan yang kuat dengan kakak angkatnya, Naomi.
Walaupun saya menyukai reka bentuk dan naratif permainan, satu perkara yang mengecewakan saya ialah bahagian “cutscene“. Selepas disahkan akan mempunyai adaptasi anime, sudah tentu saya teruja untuk melihat adegan cutscene. Saya tidak sangka pula ia akan menunjukkan animasi berbentuk “slide” di mana hanya mulut sahaja yang bergerak. Dah macam main dating simulator saya rasa..
Kadang-kala bila adengan itu serius, kita akan dapat animasi bergerak bagus ala-ala anime, tetapi kebanyakan masa, pemain hanya akan menonton slide sahaja semasa bergerak. Walaupun jalan ceritanya menarik, bahagian ini serta merta membuat saya hilang minat terhadap jalan cerita.
Selain itu, bahagian muzik agak bagus kerana mengambil inspirasi yang besar dari J-Rock. Ia seolah-olah kita di dalam anime di mana BGM elektronik yang digunakan ketika dalam pertempuran sangat sesuai mengikut tempo permainan.
Gameplay asas & sistem pertempuran melee
Seperti yang saya kata di atas, Scarlet Nexus mempunyai dua protagonis yang boleh dimainkan, iaitu Kasane Randall dan Yuito Sumeragi. Kedua-duanya dilengkapi dengan senjata jarak dekat, seperti pedang dan belati, serta memiliki kemampuan psikokinesis untuk membolehkan mereka melemparkan objek pada musuh.
Walaupun mempunyai kemahiran yang sama, gaya pertarungan mereka amat berbeza dari aspek pertempuran jarak dekat. Yuito dapat melakukan kombo serangan cepat menggunakan pedang manakala Kasane boleh mengawal sejumlah belati terbang untuk menyerang musuh. Kita ada dua kombo utama iaitu menekan butang X sebanyak tiga kali (bermain di controller Xbox) untuk membuat kombo biasa manakala menekan butang A dan X serentak untuk melakukan Rising Slash Attack bagi menyerang musuh di udara.
Harap maklum bahawa serangan musuh boleh dielakkan dengan menekan butang B. Apabila mengelak musuh pada saat terakhir, masa akan tiba-tiba perlahan dan ini dipanggil Perfect Dodge, yang memberi pemain imun sementara kepada serangan musuh.
Semasa mengalahkan musuh, pemain akan mengisi sejenis meter. Apabila meter ini diisi penuh, kita akan masuk ke mod Brain Drive. Dalam mod ini, nilai damage yang dilakukan oleh pemain akan meningkat, masa yang diperlukan untuk mengecas abiliti psikokinesis (saya akan jelaskan di bawah) akan dikurangkan, dan rupa kita akan berubah seperti watak anime ala-ala ninja macam geng ANBU dari siri Naruto.
Akhir sekali saya nak jelaskan di bahagian ini adalah musuh mempunyai dua jenis bar: bar biru yang mewakili HP, dan bar kuning yang mewakili “stun gauge” mereka. Jika bar kuning habis, pemain hanya perlu menekan LT untuk membunuh musuh serta-merta. Ini sangat berguna semasa menghadapi musuh yang mempunyai banyak HP atau perisai.
Abiliti “psikokinesis”
Komponen utama yang menjadikan Scarlet Nexus salah satu ARPG unik adalah kita dapat menggunakan abiliti psikokinesis untuk berinteraksi dengan persekitaran di sekelilingnya semasa bertarung. Dengan memegang salah satu butang, pemain boleh melemparkan pelbagai objek di persekitaran ke arah sasaran.
Hanya dua butang sahaja yang diperlukan untuk abiliti psikokinesis, iaitu butang RT yang tidak memerlukan masa yang banyak untuk mengecas, dan butang LT yang memerlukan lebih banyak masa untuk mengecas. Semasa mengecas butang RT, kita masih boleh menyerang dan mengelak serangan musuh, tetapi butang LT akan menghalang kita untuk melakukan apa-apa. Sekiranya kita mengecas sepenuhnya LT, sejenis adegan QTE (seperti menekan butang yang betul di paparan atau memusing analog stick kiri) akan bermula untuk menangani lebih banyak “damage“.
Sebenarnya, permainan mengharapkan pemain untuk mencampurkan kombo serangan melee dan abiliti psikokinesis (PK). Kombo ini meminta kita untuk menyerang musuh beberapa kali dengan senjata, kemudian melempar objek pada musuh dengan abiliti PK, diikuti dengan serangan melee dan sebagainya.
Salah satu kombo adalah Step-In Attack, yang membolehkan pemain melakukan serangan pedang setelah memukul musuh dengan objek PK. Di samping itu, terdapat PK Object Follow-Up Attack yang berlaku selepas kita menyerang musuh dengan pedang, dan kemudian bersambung dengan melemparkan objek menggunakan abiliti PK. Harap maklum bahawa kombo ini akan cepat menghabiskan bar PK tetapi boleh ditambah semula dengan serangan melee.
Struggle Arm System, Bond Episode & Brain Map
Kedua-dua Yuito dan Kasane akan ditemani oleh anggota OSF lain, masing-masing dengan latar belakang dan abiliti unik termasuk kuasa duplikasi, halimunan, api, elektrokinesis, dan lain-lain. Di sini, saya diperkenalkan kepada Struggle Arm System (SAS), yang membolehkan kita menggunakan kuasa rakan sekutu buat sementara waktu. SAS merupakan sistem ikatan watak di mana Yuito dapat menjalin hubungan dengan anggota parti lain, bagi menawarkan bonus dalam permainan. Dengan menjalin ikatan dengan mana-mana rakan, pemain dapat menggunakan abiliti mereka ke dalam serangan sendiri.
Berdasarkan pengalaman saya, hanya empat abiliti SAS sahaja dapat digunakan pada satu masa. Setiap abiliti SAS mempunyai tempoh pengaktifan dan cooldown sendiri. Sebagai contoh, apabila ikon “duplikasi” milik Kyoka bernyala, pemain boleh melemparkan dua kali ganda lebih banyak objek untuk masa yang terhad. Perkara yang sama berlaku untuk rakan-rakan lain di mana kita akan memperoleh kebolehan baru dalam kombo serangan. Harus diingatkan bahawa abiliti SAS hanya berlangsung untuk waktu yang terhad, dan setelah habis, anda mesti menunggu tempoh cooldown sebelum mengaktifkannya semula dalam pertarungan.
Seterusnya, saya ingin menjelaskan tentang “Bond Episode“, sejenis misi istimewa di mana kita harus menemani watak tertentu untuk menyelesaikan matlamat mereka. Secara keseluruhan, setiap watak akan ada total 6 Bond Episode. Setelah menyelesaikan setiap satu, hubungan dan kemahiran watak tersebut akan meningkat, yang memberi kesan tambahan kepada abiliti unik mereka.
Mana-mana RPG tidak akan lengkap tanpa sistem customization. Dalam Scarlet Nexus, sistem ini bernama Brain Map dan mengambil Skill Tree. Brain Map dibahagikan kepada empat bahagian berasingan iaitu: Enhance, Expand, Support, dan Brain Dive. Enhance lebih kepada peningkatan statistik ofensif seperti “5% attack increase“, Expand lebih kepada kemahiran pertempuran/kemahiran mobiliti, seperti “double jump” atau “mid-air dash“, Support adalah tentang daya ketahanan dan peningkatan MP untuk menggunakan psikokinesis, manakala cabang keempat memberi fokus khusus pada Brain Drive.
Pendapat
Dengan gameplay, art style, dan jalan ceritanya yang lain daripada lain, nampaknya Scarlet Nexus boleh menjadi satu lagi permainan hebat dari Bandai Namco. Penggunaan pertempuran jarak dekat dan kuasa psikokinesis memberikan banyak potensi kepada sistem pertempuran dan merupakan satu pengalaman yang akan bertambah lebih menarik apabila kita memperoleh lebih banyak upgrade dan ahli baru. Walaupun mekanik pertempuran agak mengelirukan, tetapi selepas membiasakan diri, saya yakin ramai akan suka.
Semuanya cun bagi saya.. kecuali adegan cutscene. Sebelum ini, saya bukan sahaja mahu bermain Scarlet Nexus kerana sistem pertempurannya, tetapi juga untuk mengetahui jalan ceritanya. Tetapi selepas melihat adegan cutscene yang merupakan satu “slide presentation“, saya terpaksa menikmati permainan dari segi gameplay.
Itu sahaja untuk pandangan pertama Scarlet Nexus saya! Permainan ini akan keluar pada 24 Jun di PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series X, dan PC. Untuk segala liputan lama kami tentang permainan, sila tekan pautan ini. Sehingga kita berjumpa lagi, selamat ber-gaming!
@gamersantaimy
Discussion about this post