Pemain Nintendo di Malaysia kini mempunyai cara baharu untuk terus berhubung dengan game dan watak kegemaran mereka dengan pelancaran rasmi aplikasi peranti pintar “Nintendo Today!“.
Aplikasi yang boleh dimuat turun secara percuma ini menyampaikan pelbagai berita, acara dan kandungan hiburan berkaitan Nintendo terus ke peranti anda, dan berfungsi sebagai kalendar harian yang dinamik dan interaktif.
Pertama kali diumumkan dalam Nintendo Direct pada Mac 2025, aplikasi ini telah dilancarkan secara berperingkat di pelbagai negara di seluruh dunia.
Pengguna di Malaysia kini boleh menyertai komuniti global peminat Nintendo yang menerima kemas kini harian tentang segala-galanya daripada maklumat game terkini hingga video dan komik eksklusif.

Antara ciri menonjol aplikasi “Nintendo Today!” ialah kalendarnya yang mempunyai animasi menarik. Pengguna boleh memperibadikan pengalaman mereka dengan memilih tema daripada tujuh siri game ikonik: Super Mario, The Legend of Zelda, Animal Crossing, Splatoon, Pikmin, Kirby, dan tema Donkey Kong yang baru ditambah.
Watak daripada siri yang dipilih akan mengumumkan tarikh dengan animasi yang menarik, menambahkan sentuhan magis dalam kehidupan seharian.

Aplikasi ini berfungsi sebagai hab komprehensif untuk semua perkara berkaitan Nintendo, menyediakan kandungan harian yang disesuaikan dengan siri game pilihan pengguna.
Ia juga menampilkan jadual acara, memaklumkan peminat tentang tarikh pelancaran game, acara dalam permainan, dan pembentangan Nintendo Direct yang akan datang. Ciri mudah membolehkan pengguna memautkan kalendar dalam aplikasi dengan aplikasi Google Calender atau Calender iOS peribadi mereka.

Untuk kebolehcapaian yang lebih baik, “Nintendo Today!” menawarkan widget skrin utama yang membolehkan pengguna melihat kalendar dan kandungan harian mereka sekali imbas. Ciri ini memastikan berita dan kemas kini terkini sentiasa mudah diakses.

Pelancaran aplikasi “Nintendo Today!” di Malaysia menyusuli pelancaran rasmi Nintendo eShop di negara ini baru-baru ini, menandakan tumpuan yang semakin meningkat daripada gergasi gaming Jepun itu terhadap pasaran Asia Tenggara.
Aplikasi “Nintendo Today!” kini tersedia untuk dimuat turun di Google Play Store dan Apple App Store.









Discussion about this post