Nintendo akhirnya telah menjawab salah satu teka-teki terbesar dalam sejarah permainan video dengan mengesahkan status hubungan antara Mario dan Princess Peach hanyalah “kawan baik”.
Pengumuman rasmi yang dibuat melalui aplikasi Nintendo Today minggu ini telah mencetuskan kejutan dalam kalangan peminat, sekali gus menghangatkan semula perdebatan mengenai bibit-bibit cinta antara mereka yang telah berlarutan selama hampir empat dekad.
Menerusi satu posting, syarikat itu menjelaskan bahawa Mario dan Princess Peach adalah “rakan baik yang sentiasa membantu antara satu sama lain ketika boleh.” Walaupun kenyataan ini kelihatan ringkas dan mungkin bertujuan meredakan spekulasi, ia sebaliknya telah menyimbah minyak ke api.
Ramai pemain mula membangkitkan semula pelbagai bukti daripada siri game Super Mario yang menunjukkan sebaliknya.
Sejak Super Mario Bros. pada tahun 1985 lagi, hubungan antara tukang paip ini dengan pemerintah Mushroom Kingdom itu sentiasa menjadi elemen penting, walaupun sering digambarkan secara samar. Misi utama Mario dalam kebanyakan game adalah untuk menyelamatkan Princess Peach daripada cengkaman Bowser.
Sebagai ganjaran, dia sering menerima kucupan di pipi atau hidung—satu isyarat yang sekian lama ditafsirkan oleh peminat sebagai tanda cinta.
Momen-momen sebegini banyak dipaparkan dalam game ikonik seperti Super Mario 64 (1996), di mana Peach menghadiahkan kek dan kucupan di hidung Mario. Malah, versi terbaharu Super Mario RPG (2023) juga masih mengekalkan elemen romantis antara kedua-dua watak ini.
Malah, Nintendo sendiri sebelum ini sering menguatkan lagi spekulasi percintaan mereka. Dalam Mario Party 5 (2003), Mario dan Peach dirujuk sebagai “pasangan paling comel.” Akaun media sosial rasmi Nintendo juga pernah menyiarkan kad ucapan Hari Valentine yang memaparkan mereka berdua pada tahun 2014.
Paling ketara, dalam Super Mario Odyssey (2017), Mario dilihat melamar Peach, walaupun lamarannya ditolak.
Di sebalik semua bukti ini, pengumuman terbaharu Nintendo ini dilihat sebagai satu langkah strategik. Syarikat gergasi itu sememangnya terkenal dengan pendekatan mereka yang sengaja membiarkan hubungan watak-watak utamanya tidak begitu jelas. Tujuannya adalah untuk mengekalkan fleksibiliti naratif.
Dengan menetapkan Mario dan Peach sebagai kawan, Nintendo memastikan watak-watak ini kekal sebagai ‘kanvas kosong,’ membolehkan mereka disesuaikan dalam pelbagai genre permainan dan cerita tanpa terikat kepada sebarang plot percintaan yang rasmi.






Discussion about this post