Movie superhero nampaknya semakin susah untuk menarik perhatian ramai setelah berakhirnya Avengers: Endgame. Saban tahun kita melihat banyak movie superhero yang mendapat kutipan rendah tidak kiralah daripada Marvel mahupun DC. Filem superhero baharu yang melibatkan Spider-Verse, Madame Web juga menerima layanan yang sama. Tetapi kami faham mengapa ia menerima layanan begitu. Nak tahu kenapa, teruskan baca review kami untuk Madame Web.
Madame Web membawa kita mengikuti kisah Cassandra “Cassie” Webb, seorang paramedik yang telah mendapat kuasa untuk melihat masa depan setelah terlibat dalam satu kemalangan tidak diingini. Kini dia berusaha untuk menyelamatkan tiga remaja yang telah diburu oleh lelaki labah-labah yang sanggup membuat apa sahaja untuk membunuh mereka.
Premis cerita ini nampak biasa sahaja, sama seperti filem superhero lain tetapi penceritaan Madame Web sangat kucar-kacir. Daripada permulaan cerita sehingga tamat kami tidak dapat tangkap perkara apa yang ingin disampaikan dalam filem ini. Kami tahu bahawa cerita ini seperti sebuah kisah origin untuk Madame Web tetapi penyampaiannya sangat teruk.

Antagonis filem, Ezekiel Sims juga tidak mempunyai motivation yang cukup kuat dalam filem ini. Sampai habis filem kita tidak tahu apa yang membuatkannya begitu obses kepada labah-labah berkuasa itu. Apa yang kita tahu adalah dia mahu melepaskan diri daripada masa depan yang menunjukkan bahawa dia akan dibunuh oleh tiga Spider-woman pada masa depan.
Filem ini betul tidak memberikan sebarang rasa misteri langsung mengenai identiti tiga spider-woman yang muncul dalam mimpi Ezekiel. Gunakan sahaja teknologi canggih NSA, boom anda sudah tahu siapa spider-woman tersebut.

Yang kelakarnya, tiga remaja itu tidak tahu apa yang membuatkan mereka menjadi mangsa kepada Ezekiel sampai habis filem. Paling dahsyat sekali kita hanya melihat spider-woman ini beraksi pada awal dan akhir filem sahaja. Itu pun tidak sampai 10 minit. Dengan tiada post-credit, rasa macam buang masa sahaja mereka mengacah watak-watak superhero itu. Suit yang dipakai Cassie juga hanya ditunjukkan pada akhir filem sahaja, itu pun tidak sampai 2 minit.
Kami bukanlah pembaca komik, tetapi tonton sahaja filem ini, kami tahu ada banyak benda yang tidak kena mengenai skrip cerita ini. Belum lagi cerita tentang cara quote terkenal Spider-Man yang diolah semula. Kelakar betul bila teringat balik. Banyak kali juga penonton diacah dengan beberapa perkara mengenai Spider-Man tetapi penyampaiannya sangat halus.

Rasanya sudah masa pembuat filem mencari mereka yang betul-betul mengetahui sumber original untuk menghasilkan filem. Sudah begitu banyak adaptasi sebegini membuatkan penonton cukup kecewa, lebih-lebih lagi peminat komik.
Kalau pembuat filem ini betul-betul serius ingin memperkenalkan Madame Web, lebih baik fokus sahaja kepada Madame Web daripada melibatkan spider-woman yang langsung tidak memainkan peranan penting pada filem. Mereka betul menjadi watak latar sahaja dalam filem. antagonis filem juga boleh diubah supaya mempunyai motivasi yang cukup kuat untuk menarik perhatian penonton. Ini tidak, dengan mudah sahaja Ezekiel ditumbangkan pada akhir filem. Itu pun tanpa menggunakan sebarang aksi. Hanya letup sana-sini sahaja.

Bercerita tentang CGI pula, ia terasa seperti projek-projek untuk filem pendek dengan bajet rendah. Setiap kali Cassie mendapat petunjuk tentang apa yang berlaku pada masa depan, ia seperti anda menonton filem Final Destination. Filem ini juga banyak bermain dengan kamera, terutamanya zoom in/out membuatkan kami terasa seperti melihat filem tamil yang terkenal dengan pergerakan kamera seperti itu.
Paling tidak boleh tahan adalah komersial dalam filem ini yang tersangat jelas. Tengok sahaja sudah tahu bahawa PepsiCo merupakan rakan kongsi dengan filem ini. Daripada tin minuman yang begitu menyerlah sehinggalah pertarungan akhir pada hujung filem.
Kesimpulan
Dengan penceritaan yang kucar-kacir dan CGI murahan, tidak peliklah mengapa begitu ramai yang mengkritik filem Madame Web ini. Kami juga kecewa kerana barisan pelakon yang diambil bukanlah calang-calang orangnya tetapi nampaknya mereka juga tidak mampu untuk menyelamatkan filem ini. Sampai ada yang mengatakan bahawa filem ini lebih teruk daripada Morbius.

Jujur kami rasakan bahawa filem ini boleh sahaja berjaya kalau ia mempunyai skrip yang betul-betul setia dengan sumber asalnya dan fokus dalam memperkenalkan satu watak penting sahaja, daripada memperkenalkan begitu banyak watak tetapi hanya menjadi watak latar semata-mata. Antagonis juga sepatutnya mempunyai motivasi yang cukup kuat untuk menarik perhatian penonton.
Madame Web sudah tersedia di pawagam seluruh negara jika anda ingin menontonnya. Untuk mendapatkan segala liputan mengenai filem daripada kami, boleh klik pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post