Square Enix dan pembangun Deck Nine Games secara rasmi mengumumkan Life is Strange: Reunion hari ini melalui siaran langsung, sambil mengesahkan bahawa protagonis asal, Max Caulfield dan Chloe Price, akhirnya kembali bersama untuk naratif seterusnya.
Game ini akan dilancarkan pada 26 Mac 2026, untuk PlayStation 5, Xbox Series X|S, dan PC (melalui Steam dan Microsoft Store).
Sejak game pertama diperkenalkan pada tahun 2015, dinamik “Max dan Chloe” telah menjadi fokus siri ini, namun mereka tidak pernah berkongsi jalan cerita dalam entri utama selama lebih sedekad. Walaupun Max baru sahaja kembali dalam Life is Strange: Double Exposure pada tahun 2024, ketiadaan Chloe menjadi isu hangat bagi pemain lama siri ini.
Kebakaran, Gelung Masa, dan Garis Masa yang Rosak
Jalan cerita bersambung terus dari penamat Double Exposure. Max Caulfield masih bekerja sebagai guru fotografi di Caledon University. Setelah kembali dari cuti hujung minggu, dia mendapati kampus tersebut musnah dijilat api, serta meragut nyawa para pelajar, rakan-rakan, dan fakulti.

Berdepan dengan kemusnahan ini, kuasa Max berevolusi sekali lagi. Jika sebelum ini dia bergantung pada abiliti “Pulse” untuk beralih antara garis masa dalam game dahulu, Reunion mengembalikan kuasa ikonik asal beliau iaitu Rewind. Terselamat daripada kebakaran itu, dia menggunakan gambar selfie untuk melompat kembali ke masa lampau, memberinya hanya tiga hari untuk mencari punca kebakaran dan menghalang malapetaka tersebut.

Walau bagaimanapun, kebakaran itu bukan satu-satunya kejutan yang menanti. Chloe Price tiba di Caledon, akibat tindakan Max menggabungkan garis masa di penghujung Double Exposure.
Chloe bukan sekadar watak sampingan; dia adalah protagonis kedua. Dia tiba selepas dihantui mimpi ngeri tentang masa silam yang tidak pernah dilaluinya, dan pegangannya terhadap realiti semakin goyah akibat memori yang bercanggah daripada garis masa yang telah digabungkan.
Gameplay Dua Protagonis
Buat pertama kali dalam sejarah siri ini, pemain akan mengawal kedua-dua Max dan Chloe dalam game yang sama, bertukar perspektif seiring dengan perkembangan naratif.

Mekanik gameplay disesuaikan dengan personaliti unik setiap watak:
- Max akan menggunakan abiliti Rewind untuk membatalkan keputusan, mengulang semula perbualan, dan memanipulasi persekitaran untuk menyelesaikan “teka-teki empat dimensi.”
- Chloe akan menggunakan mekanik Backtalk dari prekuel Before the Storm. Pemain akan menggunakan kebijaksanaan, keagresifan, dan sikap tegas beliau untuk mengakses kawasan yang tidak dapat dimasuki Max serta menekan suspek untuk membocorkan rahsia.









Discussion about this post