Social Club, platform milik Rockstar Games yang diperkenalkan sejak Grand Theft Auto IV pada tahun 2008 kini kelihatan bakal ditamatkan.
Apabila pemain melawat URL Social Club, mereka kini dialihkan terus ke laman web utama Rockstar Games, menandakan sama ada penutupan atau penstrukturan semula secara besar-besaran sedang berlaku.
Meskipun tiada pengumuman rasmi dikeluarkan oleh Rockstar, langkah ini mencetuskan spekulasi tentang masa depan platform tersebut terutamanya dengan Grand Theft Auto VI yang bakal dilancarkan pada Mei 2026.

Selama ini, Social Club berfungsi sebagai hab utama buat para pemain untuk mengakses statistik permainan, profil, gambar dan video yang dikongsi, serta pelbagai ciri lain untuk tajuk seperti GTA IV, Max Payne 3, L.A. Noire, GTA V dan mod Online-nya, Red Dead Redemption 2 serta GTA: The Trilogy – The Definitive Edition.
Namun, kini banyak ciri utama tersebut (termasuk profil pemain, wall, dan media perkongsian) sudah tidak boleh diakses lagi.
Beberapa fungsi masih tersedia, seperti pengurusan kru GTA Online menerusi laman khasnya, semakan kemajuan permainan di laman rasmi Rockstar, dan akses kepada senarai rakan, tetapi maklumat terperinci pengguna telah dihadkan.

Tanda-tanda ini telah mula kelihatan sejak November 2023, apabila satu kemas kini besar-besaran memadamkan kebanyakan rujukan kepada platform tersebut. Istilah seperti “Social Club members” telah diganti dengan “Rockstar Games members”, manakala “Social Club account” pula kini dirujuk sebagai “Rockstar Games account”.
Perubahan ini mula dibangkitkan oleh pengguna media sosial seperti videotechuk_, yang mendapati banyak ciri penting telah hilang.
Dengan pelancaran GTA VI semakin hampir, ramai yang percaya Rockstar sedang merancang platform baharu untuk menyokong mod online game tersebut. GTA VI dijangka memperkenalkan komponen online yang lebih luas dan menyeluruh, walaupun buat masa ini tumpuan pemasaran masih diberikan kepada penceritaan utama permainan.
Penutupan Social Club secara besar-besaran ini menimbulkan tanda tanya sama ada fungsi komuniti yang ada akan diperbaharui untuk GTA VI, atau dihentikan sepenuhnya.
![[Khabar Angin] Servis “Social Club” Milik Rockstar Games Akan Dihentikan?](https://cdn.gamersantai.com/2025/07/Rockstar-Games_Social-Club_FIU-750x375.jpg)








Discussion about this post