Rahsia di sebalik kehilangan mengejut Launch, salah satu watak kegemaran peminat dari era awal Dragon Ball, akhirnya terbongkar. Francais manga ikonik ini telah melalui banyak perubahan dari segi jalan cerita.
Akibatnya, beberapa watak seperti Yamcha dan Krillin semakin kurang menonjol, tetapi Launch pula hilang terus dari cerita, membuatkan ramai tertanya-tanya selama bertahun-tahun. Kini, maklumat baharu telah mendedahkan sebab sebenar watak unik ini lenyap daripada siri tersebut.

Launch dikenali dengan abiliti luar biasa… dia akan bertukar personaliti setiap kali bersin, daripada seorang gadis lembut berambut biru kepada wanita garang berambut perang yang gemar menembak.
Gelagatnya yang lucu serta hubungan “romantiknya” dengan Tien Shinhan menjadikan dia antara watak yang menyerlah dalam siri awal Dragon Ball. Namun, apabila dia tidak lagi muncul dalam bab-bab dan episod-episod seterusnya, ramai mula berspekulasi, malah ada yang percaya pencipta siri Akira Toriyama sekadar terlupa akan kewujudannya.
Namun, satu perkongsian yang tular di media sosial telah menyangkal andaian itu. Menurut posting, pelakon suara Launch, Mami Koyama, rupa-rupanya memainkan peranan tidak langsung dalam kehilangan watak tersebut.
Koyama dikatakan pernah memberitahu Toriyama bahawa dia akan ke luar negara dan tinggal di luar Jepun selama setahun. Dalam nada gurau (atau mungkin separuh serius) dia meminta agar Toriyama menghentikan kemunculan Launch dalam manga sepanjang ketiadaannya.
Anehnya, Toriyama benar-benar mengambil kata-kata itu secara serius, lalu mengeluarkan Launch daripada cerita.

Walaupun permintaan Koyama mungkin menjadi punca, pengurangan peranan Launch juga selari dengan perubahan arah cerita Dragon Ball yang mula menumpukan kepada konflik berskala besar membabitkan makhluk asing dan kuasa luar biasa.
Watak-watak manusia seperti Launch mula terpinggir apabila fokus utama beralih kepada pertempuran epik dan ancaman sejagat. Meski begitu, Launch tidaklah dilupakan sepenuhnya.
Dia muncul secara ringkas dalam anime Dragon Ball Z semasa Buu Saga—menyumbang tenaga kepada Genki-Dama (Spirit Bomb) dalam Episod 285, kali ini disuarakan oleh Tomiko Suzuki—dan juga sempat muncul sekilas dalam Dragon Ball GT.

Walaupun dia tidak lagi menjadi watak penting, kemunculan singkatnya tetap meninggalkan kesan besar buat peminat lama. Pendedahan ini akhirnya memberikan penjelasan yang memuaskan terhadap salah satu misteri paling lama dalam sejarah Dragon Ball.




![[Khabar Angin] Servis “Social Club” Milik Rockstar Games Akan Dihentikan?](https://cdn.gamersantai.com/2025/07/Rockstar-Games_Social-Club_FIU-75x75.jpg)




Discussion about this post