Zenless Zone Zero, game aksi terbaru daripada HoYoverse, terus berkembang dengan pelancaran kemas kini Versi 1.4 yang diberi nama “A Storm of Falling Stars“.
Dilancarkan pada 18 Disember 2024, kemas kini ini memperkenalkan dua Agent S-Rank baharu, Hoshimi Miyabi dan Asaba Harumasa, serta dua mod—Hollow Zero: Shadows Lost dan Deadly Assault. Selain itu, ia turut membawa pengalaman gameplay yang lebih seronok dengan pelbagai cabaran baharu untuk pemain.
Kami berpeluang menemubual produser Zhenyu Li bagi membincangkan kemas kini ini, falsafah reka bentuk di sebalik perubahan terbaru, serta masa depan Zenless Zone Zero. Berikut adalah sorotan daripada perbincangan kami.
Mengubah Sistem HDD Monitor Array
Salah satu perubahan terbesar dalam Versi 1.4 ialah penambahbaikan sistem HDD Monitor Array, yang sebelum ini dikritik kerana mengganggu kelancaran pertempuran dalam jalan cerita utama.
Menurut Zhenyu Li, pasukan pembangun telah melakukan beberapa penyesuaian bagi memberikan pemain lebih banyak kebebasan untuk meneroka mod TV tanpa menjejaskan pengalaman gameplay utama mereka.
“Kami mahu pemain bebas memilih sama ada ingin menggunakan mod TV atau tidak, tanpa merasa dipaksa.”
Dengan mengurangkan kebergantungan pada mod TV dalam jalan cerita utama, pasukan pembangun dapat memberi tumpuan kepada penambahbaikan mod ini, mengambil inspirasi daripada kejayaan terdahulu untuk mencipta pengalaman yang lebih menarik dan berkualiti.
Reka bentuk semula ini membolehkan pemain menikmati jalan cerita utama dengan lebih lancar sambil masih menawarkan mod TV yang dioptimumkan bagi mereka yang ingin menerokanya.
Peranan Wise dan Belle Kekal Penting
Walaupun ada perubahan pada sistem penerokaan, peranan Wise dan Belle sebagai watak utama tetap tidak berubah.
Zhenyu Li meyakinkan peminat bahawa sebagai Phaethon yang terkenal, mereka masih memainkan peranan penting dalam jalan cerita, berinteraksi dengan pelbagai puak dan mengharungi pengembaraan mendebarkan di New Eridu.
“Pendekatan baharu ini membolehkan kami meneroka cara yang lebih kreatif dalam menyampaikan jalan cerita utama.”
Sebagai sebahagian daripada perubahan ini, elemen penyelesaian teka-teki dari mod TV telah diolah semula dan dimasukkan ke dalam peringkat utama cerita. Contohnya, teka-teki tolak-kotak kini diubah menjadi mini-game seni piksel, memperkenalkan pengalaman yang lebih pantas dan visual yang lebih menarik.
Selain itu, pemain juga boleh mengawal Eous dalam misi tertentu serta berinteraksi dengan Agent lain, membuka lebih banyak peluang untuk eksplorasi dan gameplay.
Mod Quality Time
Salah satu ciri utama dalam Versi 1.4 ialah pengenalan Mod Quality Time, yang mencerminkan komitmen HoYoverse dalam memperkukuh hubungan antara pemain dan watak kegemaran mereka.
“Sebagai sebuah ARPG, kami sentiasa mencari cara baharu untuk meningkatkan interaksi antara pemain dan watak dalam game, agar hubungan yang lebih mendalam dapat terjalin.”
Dengan memberi tumpuan kepada interaksi watak, Mod Quality Time membolehkan pemain lebih mendalami kisah Agent dalam game serta membentuk hubungan emosi yang lebih kuat dengan mereka.
Ia bukan sekadar tambahan untuk keseronokan, tetapi juga satu elemen bermakna yang meningkatkan pengalaman pemain serta memperkukuh ikatan dengan watak-watak dalam Zenless Zone Zero.
Hoshimi Miyabi Asalnya Bukan Frost Anomaly
Kemas kini terbaru ini membawa perubahan besar kepada Hoshimi Miyabi, salah satu Agent S-Rank baharu. Pada asalnya direka sebagai watak Ice Attack semasa CBT1, kebolehannya kini berkembang untuk menonjolkan identitinya sebagai Agent Ice Anomaly.
Atribut Frost, yang mencetuskan Disorder apabila berinteraksi dengan atribut lain, menyerlahkan gaya bertarungnya yang unik serta memperkukuh peranannya sebagai aset penting dalam pertempuran.
“Kami membayangkan Hoshimi Miyabi sebagai watak utama dalam pertempuran, dengan peranannya sebagai Agent Anomaly Atribut Frost, menjadikan gameplay lebih menyeronokkan dan dinamik.”
Menurut Zhenyu Li, perubahan ini bukan sahaja meningkatkan dinamik gameplay tetapi juga memastikan wataknya sesuai dengan mekanik yang terus berkembang.
Crossover di Masa Hadapan?
Ketika ditanya mengenai crossover dengan tajuk lain dari HoYoverse, Zhenyu Li menjelaskan bahawa buat masa ini, fokus utama pasukan adalah untuk memperkembangkan kisah New Eridu dan menyampaikannya dengan lebih baik kepada pemain.
“Kisah Zenless Zone Zero baru sahaja bermula, dan keutamaan kami sekarang adalah memastikan jalan cerita New Eridu dapat disampaikan dengan lebih baik kepada semua pemain.”
Dengan pelancaran “A Storm of Falling Stars”, Zenless Zone Zero terus menunjukkan komitmennya terhadap inovasi dan kepuasan pemain. Ketika pemain meneroka kandungan serta cabaran baharu, jelas bahawa New Eridu masih menyimpan pelbagai potensi dan kejutan menarik di masa hadapan.
Bagi mereka yang berminat, Zenless Zone Zero Versi 1.4 kini boleh dimainkan di PlayStation 5, PC (laman web rasmi & Epic Games Store), iOS, dan Android. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi.
@gamersantaimy
Discussion about this post