Warner Bros. Games dan Player First Games telah mengumumkan bahawa perkhidmatan game MultiVersus secara rasmi akan berakhir pada 30 Mei, dengan Season 5 sebagai musim terakhir game ini. Selepas tarikh tersebut, game ini tidak lagi boleh dimuat turun dari kedai digital.
Memandangkan game ini dikeluarkan pada 28 Mei tahun lepas, ini bermaksud MultiVersus hanya mampu bertahan lebih kurang setahun sahaja.
Salah satu tarikan utama MultiVersus ialah barisan wataknya yang pelbagai, menampilkan ikon terkenal daripada pelbagai francais Warner Bros. Discovery.
Pemain boleh mengawal wira DC seperti Batman dan Superman, watak klasik Looney Tunes seperti Bugs Bunny dan Taz, serta watak daripada rancangan Cartoon Network seperti Adventure Time dan Steven Universe. Malah, game ini turut menampilkan watak daripada Game of Thrones dan The Matrix, membolehkan kombinasi pasukan yang unik dan gameplay yang dinamik.

Dengan Season 5 sebagai musim terakhir, tiada lagi kemas kini kandungan baharu selepas 30 Mei. Walaupun menghadapi pelbagai cabaran, MultiVersus masih menambah watak baharu, dengan Season 5 memperkenalkan Aquaman dari DC dan Lola Bunny dari Looney Tunes.
Kedua-dua watak ini, bersama kandungan lain dalam musim terakhir, boleh dibuka melalui gameplay tanpa perlu membuat pembelian dalam game.

Selepas MultiVersus menamatkan perkhidmatannya, pemain masih boleh bermain dalam mod local multiplayer atau bersendirian dengan lawan AI. Namun, mod online multiplayer tidak lagi akan tersedia.
Selain itu, semua transaksi menggunakan wang sebenar telah dihentikan mulai hari ini, bermakna pemain tidak lagi boleh membeli Gleamium (mata wang dalam game). Sebarang baki Gleamium atau Character Tokens yang tidak digunakan masih boleh dibelanjakan di kedai dalam game sehingga musim terakhir tamat.

Pada awal pelancaran, MultiVersus mendapat sambutan hangat kerana konsep crossover antara francais dan model free-to-play. Namun, selepas pelancaran penuh, ramai mengkritik game ini kerana terlalu menekankan unsur komersial, dengan banyak kandungan yang memerlukan pembelian menggunakan wang sebenar.
Walaupun masih mampu menarik pemain, Warner Bros. mendedahkan pada November 2024 bahawa MultiVersus gagal mencapai jangkaan mereka. Walaupun ada usaha untuk menarik minat semula, termasuk penambahan watak, ia tidak cukup untuk menyelamatkan game ini daripada dihentikan.
Bagi yang berminat, game MultiVersus masih boleh dimainkan di PlayStation 5, Xbox Series X|S, PlayStation 4, Xbox One, dan PC melalui Steam sehingga perkhidmatannya berakhir pada 30 Mei.
@gamersantaimy
Discussion about this post