Berita baik buat peminat Guilty Gear Strive kerana Arc System Works akhirnya mengesahkan tarikh pelancaran untuk watak crossover yang amat dinanti-nantikan, Lucy, iaitu pada 21 Ogos 2025.
Pengumuman yang dibuat semasa acara EVO 2025 ini turut memperlihatkan buat pertama kalinya gameplay Lucy secara terperinci, di samping memberi pendedahan tentang rombakan besar “Version 2.00” yang dijadualkan untuk tahun 2026.
Watak dari siri anime popular Netflix, Cyberpunk: Edgerunners ini akan dilancarkan untuk PlayStation 5, Xbox Series X|S, PlayStation 4, Xbox One dan PC. Pemain boleh membelinya secara individu atau mendapatkannya secara percuma jika memiliki Season Pass 4.
Walau bagaimanapun, disebabkan proses pengoptimuman tambahan, pengguna Nintendo Switch hanya akan menerima Lucy pada hujung tahun 2025, bersama-sama watak Season 4 yang lain seperti Venom dan Unika.

Trailer gameplay baharu yang ditayangkan di acara tersebut akhirnya menunjukkan bagaimana watak ini beraksi dalam dunia Guilty Gear. Hasil kerjasama dengan CD Projekt Red, gaya bertarung Lucy banyak mengambil inspirasi daripada mekanik Cyberpunk 2077.
Dia dilihat berkebolehan menggunakan serangan monowire jarak jauh serta sistem “quickhack” yang unik.
Dengan mengakses Cyberdeck, Lucy mampu menghentikan masa seketika untuk melancarkan serangan siber seperti “Algorithm Malfunction” yang memberi debuff kepada musuh, lengkap dengan ikon yang biasa dilihat oleh pemain Cyberpunk.

Kehadiran Lucy melengkapkan barisan watak Guilty Gear Strive Season 4 yang turut disertai oleh Queen Dizzy, Venom dan Unika.

Beralih ke perancangan masa hadapan, Arc System Works turut mengacah Version 2.00, satu update besar yang bakal membuka lembaran baharu untuk game itu pada 2026. Walaupun maklumat masih terhad, trailer tersebut menunjukkan dua watak baharu untuk Season 5.
Berdasarkan siluet yang ditunjukkan, para peminat pantas membuat spekulasi bahawa watak lama kegemaran ramai, Robo-Ky dan Jam Kuradoberi, akan membuat kemunculan semula.
Version 2.00 dijangka tiba seiring dengan kandungan tahun kelima game ini, yang dikatakan bakal membawakan empat lagi musim baharu. Hala tuju jangka panjang ini jelas menunjukkan komitmen Arc System Works untuk terus mengembangkan kejayaan Guilty Gear Strive, yang kini mempunyai lebih 3.5 juta pemain di seluruh dunia.
Guilty Gear Strive kini boleh dimainkan di PlayStation 5, Xbox Series X|S, PlayStation 4, Xbox One, Switch, dan PC melalui Steam.









Discussion about this post