Memandangkan Godzilla Minus One tidak ditayangkan di Malaysia, kita pun layan sahaja filem baharu Godzilla x Kong: The New Empire yang membawa kita bertemu semula dengan kaiju hebat ini. Sejujurnya ia sebuah filem yang menyeronokkan ditambah pula dengan pertarungan epik serta kemusnahan berganda yang berlaku. Ingin tahu lebih lanjut, teruskan baca review penuh kami untuk Godzilla x Kong: The New Empire.
Untuk pengetahuan anda, ini merupakan filem kedua Monsterverse yang diarahkan oleh Ada Wingard. The New Empire merupakan sekuel kepada filem Godzilla vs. Kong, yang berlaku di Hollow Earth, sebuah ekosistem purba yang terletak pada teras planet Bumi. Tempat itu dipenuhi dengan pelbagai makhluk hebat dan diselubungi oleh alam semula jadi yang menawan. Memandangkan filem ini sebuah sekuel, anda perlu tonton filem pertama kerana ada beberapa perkara dalam filem itu dinyatakan dalam filem ini.
Walaupun tajuknya dan trailernya banyak menunjukkan kerjasama antara Kong dan Godzilla tetapi spotlight banyak diberikan kepada Kong manakala Godzilla pula seperti watak sokongan yang muncul untuk melakukan kemusnahan seperti biasa. Filem ini membawa kita melihat Kong mencari spesisnya yang mungkin masih wujud di dunia itu. Walaupun dia berjaya menjumpainya, mereka agak jahat dan ingin membawa kemusnahan kepada dunia. Daripada situlah Kong dan Godzilla bergabung tenaga untuk menjatuhkan beruk gergasi jahat itu.
Tidak lengkap filem ini tanpa sebarang manusia yang terlibat dalam konflik ini. Kembali daripada filem pertama adalah Rebecca Hall sebagai Dr. Andrews bersama anak perempuan angkatnya, Jia (Kaylee Hottle) yang memainkan peranan penting dalam filem ini. Jia hampir sama seperti Kong, yang juga mencari tempatnya sendiri di dunia itu. Bernie (Brian Tyree Henry) kembali menjadi watak “comic relief” sepanjang filem. Manakala Trapper (Dan Stevens), seorang doktor Kaiju yang berkarisma sering memberikan idea-idea gila.
Walaupun watak manusia sering lemah dalam filem kaiju, tetapi mereka juga merupakan satu keperluan untuk menyampaikan cerita. Sayangnya babak mereka sedikit mengganggu rentak filem ini, di mana ada babak yang terlebih panjang dan beberapa detik emosional yang tidak begitu berkesan.
Yang kelakarnya, animasi dan CGI pada Kong memaparkan emosi yang lebih baik berbanding babak manusia. Walaupun tanpa dialog, ekspresi serta pergerakan Kong mampu menyampaikan apa yang dirasainya serta perkara yang sedang berlaku. Sama seperti beruk yang lain yang juga ekspresif. Kami memang tabik melihat perincian pada model Kong dan Godzilla, sememangnya nampak betul.
Godzilla x Kong: The New Empire memang seronok ditonton dengan ScreenX, segala visualnya sungguh menawan dengan skrin 270 darjah yang membawa anda selami keajaiban Hollow Earth dan kemusnahan kaiju dengan sinematografi yang sangat baik.
Berbeza dengan filem Monsterverse yang lalu, filem sekuel ini lebih fokus pada elemen kurang serius dan itu sahaja sudah cukup untuk menontonnya oleh pelbagai jenis penonton. Ia tidak mempunyai penceritaan yang mendalam serta membawa elemen jenaka dengan baik. Tambah pula dengan babak hebat kaiju, anda pasti teruja menontonnya.
Godzilla x Kong: The New Empire sudah tersedia di pawagam seluruh negara. Untuk mendapatkan segala liputan mengenai filem daripada kami, anda boleh klik pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post