Sony Interactive Entertainment dan pembangun Sucker Punch Productions telah mengumumkan satu update penting untuk Ghost of Yōtei. Khususnya, kemas kini Ghost of Yōtei versi 1.100.000 itu akan dilancarkan pada 24 November, memperkenalkan mod New Game+ yang amat dinanti-nantikan di samping pelbagai kandungan dan ciri baharu.
Tarikan utama kemas kini ini, New Game+, akan menawarkan peluang kepada pemain yang telah menamatkan jalan cerita utama untuk memainkan semula misi Atsu dalam membalas dendam.
Pemain akan mengekalkan semua peralatan, teknik, dan item kosmetik yang diperoleh pada permainan pertama, membolehkan mereka menghadapi musuh dengan semua senjata mereka dari awal lagi.

Mod baharu ini bukan sekadar ulangan biasa. Ia akan memperkenalkan pilihan tahap kesukaran baharu yang lebih mencabar bagi mereka yang inginkan ujian kemahiran yang lebih hebat. Untuk memberi ganjaran kepada pemain yang menyahut cabaran yang lebih sukar ini, dua Trophy baharu telah ditambah.

Satu mata wang yang dipanggil “Ghost Flowers” juga akan diperkenalkan, yang boleh diperoleh dalam mod New Game+. Seorang vendor baharu akan menerima bunga ini sebagai pertukaran untuk lebih daripada 30 item kosmetik baharu.
Ini termasuklah set perisai dan pewarna senjata baharu, memberikan lebih banyak pilihan untuk penyesuaian. Selain itu, pemain boleh membuka tahap peningkatan tambahan untuk set perisai dan senjata sedia ada mereka.

Selain daripada New Game+, kemas kini ini juga akan membawa penambahbaikan kepada game asas untuk semua pemain Ghost of Yōtei. Selepas melengkapkan jalan cerita utama, pemain akan dapat memainkan semula kandungan yang telah diselesaikan dan menjejaki prestasi mereka dengan paparan statistik baharu.

Kemas kini akan datang ini juga memfokuskan kepada ciri kebolehaksesan, dengan menambah keupayaan untuk menyusun semula butang arah. Penggemar fotografi pastinya akan gembira dengan ciri-ciri baharu untuk Photo Mode, termasuk kawalan kelajuan shutter, grid komposisi, dan pilihan penapis baharu.
Ghost of Yōtei kini tersedia untuk PlayStation 5.









Discussion about this post