Hari ini, Sony telah mengumumkan Ghost of Tsushima Director’s Cut akan tiba di platform konsol PlayStation 5 dan PlayStation 4. Pemenang anugerah game terbaik ini akan menerima ciri tambahan khas untuk pemain PS5 bersama kandungan pengembangan sebuah pulau baru bernama Iki Island. Sony menyatakan kemaskini terbaru ini bakal dilancarkan pada 20 Ogos tahun ini.
Ghost of Tsushima Director’s Cut akan disertakan dengan game asalnya dan beberapa tambahan kandungan yang bakal dikeluarkan oleh Sucker Punch Production. Mereka juga turut menambah pengembangan Iki Island sebagai tempat baru untuk pemain mengembara di Ghost of Tsushima. Anda boleh lihat trailer pengumuman ini dibawah.
Iki Island
Iki Island merupakan sebuah pulau yang berdekatan dengan Tsushima dan ia akan menjadi penambahan babak baru untuk pengembaraan Jin. Pemain boleh menjelajahi pulau ini kerana ia mengandungi jalan cerita baru yang boleh diikuti di Ghost of Tsushima. Buat masa ini, Sony tidak memberi maklumat terperinci mengenai apa yang ada di dalam edisi Director’s Cut ini, tetapi pemain boleh menjangkakan ketibaan persekitaran baru, armor baru, teknik baru dan pelbagai perkara menarik semasa bermain di Iki Island.
Ciri tambahan baru untuk pemain PS5
Sony turut memberikan penambahan ciri baru untuk pemain konsol next-gen mereka. Antara tambahan ciri yang bakal pemain PS5 terima adalah seperti lip sync untuk suara dalam versi Bahasa Jepun dan Bahasa Inggeris. Pemain PS5 turut menerima fungsi DualSense seperti Haptic Feedback dan Adaptive Trigger, audio 3D, peningkat drastik untuk load time, pilihan resolusi 4K yang berbeza, serta 60FPS. Malah, pemain Ghost of Tsushima dari PS4 boleh membawa fail simpanan mereka untuk dipindahkan ke PS5.
Tambahan lain
Dalam Ghost of Tsushima Director’s Cut ini juga, pemain yang sudah memiliki game ini boleh memuat turun patch untuk beberapa kemaskini terbaru. Di patch ini, anda akan menerima mod foto terbaru, akses pilihan baru untuk remapping controller, serta pilihan untuk membolehkan lock-on pada target semasa bertarung. Malah ia turut disertakan dengan ciri penyembunyian quiver semasa bermain.
Peminat Ghost of Tsushima: Legends turut diberikan beberapa kemaskini terbaru, seperti sebuah mod baru yang bakal diumumkan pada minggu akan datang. Kesemua kemaskini Ghost of Tsushima: Legends akan tersedia secara percuma untuk pemilik mana-mana versi platform Ghost of Tsushima.
Tawaran pra-pesanan
Ghost of Tsushima Director’s Cut akan dilancarkan untuk seluruh negara Asia Tenggara, dan pemain dari Malaysia boleh mendapatkannya dengan harga RM299 bagi versi PS5, dan RM249 di versi PS4! Anda boleh membuat pra-pesanan secara digital di PlayStation Store, atau membeli versi fizikal di mana-mana pengedar sah Sony.
Bagi pemain yang membuat pra-pesanan dengan pengedar yang mengambil bahagian untuk acara ini, anda boleh menebus soundtrack mini digital bersama beberapa trek lain dari Ghost of Tsushima asal. Anda juga bakal menerima dua lagu baru dari Iki Island, sebuah art book digital yang menampilkan beberapa seni dari game Ghost of Tsushima, beserta 10 keping concept art Iki Island.
Selain itu, pembeli pra-pesanan dari PS Store sebelum pelancaran juga akan mendapat akses untuk memuat turun Ghost of Tsushima. Jadi anda boleh menikmati game utama lebih awal dan menghantar progress gameplay ke Director’s Cut yang akan dilancarkan pada bulan Ogos ini!
Ghost of Tsushima Director’s Cut bakal tersedia pada 20 Ogos ini dan boleh didapatkan dengan harga RM299 untuk versi PS5 serta RM249 bagi versi PS4. Untuk membaca lebih banyak lagi liputan kami mengenai Ghost of Tsushima, anda boleh tekan sahaja pada pautan ini.
Sumber: PS Blog
@gamersantaimy
Discussion about this post