Kita sering melihat laporan-laporan mengenai kutipan keuntungan untuk game mobile lebih-lebih lagi pada game bertemakan gacha. Mana tidaknya, keuntungan itu yang menentukan nasib dan kelangsungan untuk game itu terus beroperasi. Baru-baru ini, kami telah melihat kutipan game Genshin Impact untuk bulan yang lalu dan terkejut melihat data tersebut. Jom kami tunjukkan kepada anda.

Melalui data yang diambil melalui AppMagic, game Genshin Impact telah meraih keuntungan paling rendah untuk bulan Mei 2023. Lebih mengejutkan sekali, ianya kutipan terendah sejak game itu dilancarkan pada September 2020. Pada bulan tersebut, Genshin Impact hanya mengutip sebanyak $53 juta (anggaran RM 299 juta). Walaupun begitu, angka tersebut masih lagi tinggi jika nak dibandingkan dengan game gacha yang lain.

Sudah tentu ada beberapa faktor yang membuatkan keuntungan game tersebut jatuh dengan begitu drastik. Antaranya, HoYoverse telah pun melepaskan Honkai: Star Rail pada penghujung April 2023, membuatkan ramai pemain Genshin Impact beralih ke game baru tersebut. Selain itu, berkemungkinan besar ramai yang menunggu kemas kini Fontaine yang akan datang. Faktor lain pula adalah rekod jualan buruk semasa banner watak Baizhu, menjadikannya salah satu banner yang mempunyai jualan rendah dalam game.

Melihat faktor-faktor tersebut, memang tidak peliklah mengapa kutipan Genshin Impact tidak begitu tinggi pada bulan yang lalu. Tetapi itu tidak langsung memberi kesan yang banyak kerana game tersebut masih lagi game gacha terbesar sekarang. Berkemungkinan selepas kemas kini Fontaine, kutipan game pasti meningkat.
Ikuti Gamer Santai untuk mendapatkan liputan menarik mengenai game, anime, filem dan banyak lagi.
@gamersantaimy
Discussion about this post