Bandai Namco baru sahaja melancarkan sebuah trailer berdurasi lapan minit untuk Code Vein II. Trailer ini memberikan gambaran yang lebih mendalam kepada sistem penciptaan watak, mekanik combat yang telah ditambah baik, serta dunia pasca-apokalips permainan.
Sekuel ini bakal dikeluarkan pada 30 Januari 2026, di platform PlayStation 5, Xbox Series X|S, dan juga PC melalui Steam.
Sorotan utama Code Vein II terletak pada sistem combat yang telah dikembangkan. Elemen utama sistem ini adalah Drain Attacks yang telah dikemas kini, iaitu gerakan serangan yang digunakan untuk menyedut Ichor daripada musuh. Sumber ini kemudian digunakan untuk menggerakkan abiliti terkuat pemain yang dikenali sebagai Formae.
Abiliti ini terbahagi kepada tiga jenis: Weapon Formae, yang berfungsi untuk mengubah suai serangan dan memberikan buff; Bequeathed Formae, yang membolehkan pemain menyeru senjata unik untuk melancarkan serangan dahsyat; dan Defensive Formae, yang menyediakan keupayaan block, counter, serta gerakan mengelak.
Bagi memberikan lebih banyak pilihan customization dalam combat, game ini memperkenalkan artifak yang digelar Jails. Apabila dipakai, artifak ini berupaya mengubah statistik dan juga Drain Attacks untuk memberikan kelebihan kepada pemain.
Sistem Blood Code juga kembali, membolehkan pemain bertukar-tukar antara set kuasa Revenant yang berlainan untuk disesuaikan dengan corak permainan mereka. Turut diperkenalkan adalah dua jenis senjata baharu, iaitu Twin Blades dan Rune Blades yang sesuai untuk combat jarak jauh.
Senjata-senjata ini akan ditemani barisan senjata dari game pertama seperti Bayonet, Halberd, dan Greatsword.
Trailer tersebut turut mengetengahkan Partner System yang telah diperbaharui, satu ciri yang amat penting dalam game pertama. Dalam Code Vein II, rakan seperjuangan boleh melaksanakan “Restorative Offering”, untuk memulihkan pemain yang telah tewas dengan menggunakan nyawa mereka sendiri.
Walau bagaimanapun, tindakan ini akan menyebabkan mereka tidak dapat membantu untuk seketika. Pemain diberi pilihan sama ada untuk menyeru rakan seperjuangan untuk bertarung bersama-sama atau “mengasimilasi” mereka bagi mendapatkan peningkatan statistik untuk pertempuran solo.
Bagi mereka yang tidak sabar untuk mencuba, sebuah “Character Creator Demo” akan disediakan mulai 23 Januari. Demo ini akan membuka akses kepada sistem customization watak, membolehkan kita mereka bentuk Revenant Hunter tersendiri.
Dengan 64 slot simpanan yang disediakan, setiap watak yang dihasilkan boleh dipindahkan terus ke dalam game penuh apabila ia dilancarkan nanti. Demo ini juga memberi peluang kepada pemain untuk menerokai kawasan utama, iaitu Institut MagMell, dan mencuba Photo Mode yang disediakan.









Discussion about this post