Sony Pictures Entertainment telah melancarkan teaser pertama bagi filem reboot live-action Resident Evil akan datang. Pihak studio turut mengesahkan bahawa filem ini bakal ditayangkan di pawagam Malaysia pada 17 September 2026, menurut GSC.
Walaupun francais ini terkenal dengan watak handal seperti Leon S. Kennedy dan Jill Valentine, adaptasi kali ini akan membawakan pendekatan yang lebih realistik.
Zach Cregger, selaku pengarah dan sebelum ini mendapat pujian melalui filem seram Barbarian serta Weapons, akan mengetepikan elemen aksi “super-soldier” seperti dalam filem-filem terdahulu. Sebaliknya, beliau memfokuskan kepada tema seram yang lebih mendebarkan.

Filem ini dibintangi oleh Austin Abrams sebagai Bryan, seorang penghantar barangan perubatan yang malangnya terperangkap di Raccoon City pada malam wabak T-Virus mula tular. Berbeza dengan protagonis Resident Evil yang lain tidak kira game mahupun filem, Bryan tidak mempunyai sebarang latihan tentera atau senjata khas.
Dia hanyalah seorang lelaki biasa yang terpaksa berhadapan dengan mimpi ngeri tersebut.

Teaser bermula dengan adegan Bryan mengetuk pintu sebuah rumah ladang yang sunyi untuk meminta bantuan selepas keretanya rosak. Apabila menyedari talian telefon terputus dan panggilan kecemasan tidak dapat dibuat, perasaan takut mula menyelubungi dirinya.
Dia meninggalkan pesanan suara terakhir buat kekasihnya dan mengakui bahawa dia mungkin tidak akan selamat.

Zombie hanya mula muncul selepas minit pertama teaser tersebut. Berbanding babak tembak-menembak, kita sebaliknya melihat Bryan berlari sekuat hati demi menyelamatkan diri daripada serangan zombie yang muncul dari kegelapan.









Discussion about this post