SEGA secara rasmi mengumumkan melancarkan Farming Simulator 26 untuk Nintendo Switch, membawakan pengalaman pertanian yang realistik terus ke dalam genggaman.
Sebagai sekuel kepada Farming Simulator 23, edisi terbaharu menampilkan rombakan penuh bagi pengalaman bertani secara mudah alih, agar lebih mudah untuk dicuba berbanding sebelum ini.
Kelainan paling besar ialah pengenalan “Challenge System” serba baharu. Walaupun siri ini dikenali dengan gaya sandbox yang bebas dan santai, Farming Simulator 26 menambah elemen motivasi melalui objektif mingguan dan bermusim yang perlu diselesaikan oleh pemain.
Melalui sistem ini, anda boleh mendapatkan pelbagai ganjaran dengan menyiapkan tugasan tertentu. Cabaran ini juga berfungsi sebagai panduan untuk pemain memahami sistem ‘production chain’.
Sebagai contoh: selain menjual gandum di pasar, anda juga boleh menghantarnya ke kilang pengisar untuk dijadikan tepung, lalu membawanya ke kilang kek untuk menghasilkan produk siap. Ini mengubah aktiviti yang ringkas menjadi sebuah empayar perniagaan yang berkembang pesat.

Game ini turut menampilkan dua peta baharu yang sangat luas, berinspirasikan kawasan bukit di Eropah dan padang rumput di Amerika Utara. Di sini, peladang boleh mengusahakan sehingga 15 jenis tanaman yang berbeza.

Bagi ternakan, aspek ‘animal husbandry’ turut diperluaskan. Selain lembu, biri-biri, dan ayam, kambing turut menyertai senarai haiwan ternakan bagi membantu anda mempelbagaikan sumber pendapatan ladang.
Jika lebih gemar bekerja di dalam hutan, mekanik ‘forestry’ kembali dengan jentera khusus untuk memudahkan urusan pembalakan.

Kepuasan sebenar dalam Farming Simulator terletak pada peluang memandu jentera-jentera gergasi. Edisi kali ini menampilkan lebih 120 kenderaan dan alatan tulen daripada syarikat sebenar yang direka dengan cukup teliti, antaranya termasuklah:
- John Deere
- Case IH
- Kubota
- Fendt
- Massey Ferguson
- CLAAS

Kita semua tahu pengalaman bermain pada konsol handheld adalah berbeza berbanding di PC, jadi pihak pembangun telah memudahkan gameplay khas untuk pengguna Nintendo Switch. Antara penambahbaikan utama ialah sistem panduan GPS untuk pemanduan traktor yang lebih tepat serta tutorial yang direka semula sepenuhnya.
Penambahbaikan “quality of life” ini membolehkan pemain meluangkan lebih banyak masa menikmati hasil tuai tanpa perlu pening dengan menu atau kawalan yang rumit.
Farming Simulator 26 boleh didapati di Nintendo eShop dan juga di kedai-kedai game utama. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi.









Discussion about this post