Sebuah siri anime baharu Evangelion disahkan dalam proses pembikinan. Pengumuman ini dibuat pada hari terakhir festival “Evangelion: 30+; 30th Anniversary of Evangelion.”
Projek ini merupakan kolaborasi antara Studio Khara (studio yang ditubuhkan oleh pencipta asal francais, Hideaki Anno) bersama CloverWorks, yang sebelum ini terkenal dengan karya seperti Spy x Family dan Bocchi the Rock!.
Apa yang menarik perhatian ramai adalah penglibatan pencipta francais NieR, Yoko Taro, yang akan mengetuai bahagian series composition serta bertindak sebagai penulis skrip siri ini.

Yoko Taro, yang sememangnya masyhur melalui siri game NieR dan Drakengard, dikenali dengan penceritaannya yang di luar kotak serta naratif yang menyayat hati. Beliau sekali lagi akan bekerjasama dengan komposer setianya, Keiichi Okabe. Okabe, yang pernah menghasilkan runut bunyi untuk NieR: Automata dan NieR Replicant, bakal menguruskan skor muzik siri ini.

Tanggungjawab untuk mengarahkan siri ini pula akan digalas oleh dua tokoh berpengalaman:
- Kazuya Tsurumaki: Beliau pernah mengarahkan filem End of Evangelion original dan Rebuild tetralogy, selain karya terbaharunya, Mobile Suit Gundam GQuuuuuuX.
- Tōko Yatabe: Penolong pengarah untuk filem Evangelion: 3.0+1.0: Thrice Upon A Time serta mendapat pujian menerusi pengarahannya bagi The Birth of Kitaro: The Mystery of GeGeGe.

Sejak mula diperkenalkan pada tahun 1995, Neon Genesis Evangelion hasil ciptaan Hideaki Anno telah merevolusikan genre “robot gergasi.” Ia bukan sahaja menjadi fenomena budaya global, malah dianggap sebagai salah satu karya seni paling penting dalam sejarah Jepun.
Selepas siri televisyen asal dan filem The End of Evangelion pada tahun 1997, Anno telah meneruskan naratifnya melalui empat buah filem di bawah projek Rebuild of Evangelion (2007–2021).
Walaupun filem terakhirnya, Evangelion: 3.0+1.0: Thrice Upon a Time, dilihat sebagai ucapan selamat tinggal daripada Anno, beliau pernah mengacah bahawa dunia Evangelion masih cukup luas untuk diterokai oleh tokoh-tokoh lain dengan idea yang lebih segar.
Butiran lanjut mengenai tarikh tayangan rasmi mahupun senarai pelakon suara yang terlibat masih belum diumumkan.









Discussion about this post