Bermula hari ini, Epic Games Store kembali dengan tawaran game percuma mingguan mereka. Walaupun nampak seperti ada dua game sahaja dalam senarai kali ini, anda sebenarnya boleh membawa pulang empat buah game.
Sorotan utama minggu ini adalah koleksi Tomb Raider 1-3 Remastered dan sebuah game indie puzzle-adventure yang cukup menarik bernama Down in Bermuda. Kedua-dua judul ini tersedia untuk ditebus secara percuma sehingga jam 11:00 malam, 28 Mei.
Dengan nilai keseluruhan mencecah RM94.98, ini adalah antara tawaran paling berbaloi yang pernah diberikan oleh Epic baru-baru ini. Seperti biasa, sekali sudah tebus, game ini akan menjadi milik anda selamanya di dalam library.
Cara untuk mendapatkannya cukup mudah: log masuk ke aplikasi Epic Games Store atau layari laman web rasmi mereka, cari bahagian “Free Games,” dan klik sahaja untuk simpan ke dalam akaun anda.
Tomb Raider 1-3 Remastered
Bintang utama minggu ini sudah tentulah game klasik Lara Croft. Koleksi ini dilancarkan pada awal 2024 dan bukanlah port biasa, malah menggabungkan tiga game ikonik pertama bersama semua expansion asal: Unfinished Business, The Golden Mask, dan The Lost Artifact.
Apa yang menarik tentang versi ini adalah fleksibiliti yang ditawarkan. Jika anda peminat tegar gaya retro, anda boleh bermain menggunakan kawalan “tank control” dan grafik “low-poly” yang klasik. Namun, jika lebih suka gaya moden, anda boleh tukar ke visual yang lebih tajam dan kawalan kamera yang lebih lancar.
Versi remaster ini pun lebih seronok berbanding semasa ia mula-mula dilancarkan. Pihak Aspyr baru-baru ini menambah “Challenge Mode” yang membawakan pelbagai cabaran serta kostum baharu untuk Lara yang mampu meningkatkan lagi kebolehannya.
Down in Bermuda
Kalau inginkan sesuatu yang lebih santai, Down in Bermuda adalah pilihan terbaik. Dibangunkan oleh studio Yak & Co (pasukan di sebalik game Agent A: A Puzzle in Disguise), game ini mengisahkan Milton, seorang juruterbang yang terperangkap dalam “gelembung masa” di Segitiga Bermuda selama berpuluh-puluh tahun.
Dengan gaya pengembaraan point-and-click, anda akan menerokai enam buah pulau unik untuk menyelesaikan pelbagai teka-teki, mengumpul magic orb, dan mengatasi makhluk laut yang aneh demi membantu Milton mencari jalan pulang. Game yang cantik dan unik ini asalnya cukup popular di Apple Arcade sebelum ia dikembangkan ke platform PC dan konsol.









Discussion about this post